Top Ad 728x90

Olimpik Beijing 2008 bermula


Temasya sukan terbesar, Olimpik secara rasmi memulakan saingan selepas majlis perasmian gilang gemilang di Stadium ‘Sarang Burung’ semalam.

Serentak itu juga lebih 10,000 atlet dari seluruh dunia bertanding mengerah segala kudrat dan kemahiran untuk mencipta kecemerlangan sehingga hari terakhir kejohanan pada 24 Ogos ini.

Malaysia menghantar 33 atlet dalam 10 acara dengan badminton disandarkan untuk harapan pingat emas Olimpik negara.

China menurunkan 639 atlet, jumlah terbesar yang akan mengambil bahagian dalam kesemua 28 acara Olimpik.

Selain Beijing, lima bandar raya lain di tanah besar China itu iaitu Qingdao, Qinhuangdao, Tianjin, Shanghai dan Shenyang - akan menjadi hos bersama bagi pertandingan bola sepak dan kapal layar, manakala Hong Kong bagi acara ekuestrian.

Kelebihan beraksi di tempat sendiri menjadikan China sebagai calon pilihan untuk muncul juara keseluruhan sekali gus menamatkan dominasi juara bertahan Amerika Syarikat (AS) dari segi kutipan pingat.

Di Athens empat tahun lalu, China meraih 32 emas, 17 perak dan 14 gangsa di belakang AS.

Kali ini China mempertaruhkan bilangan atlet lebih besar berbanding 407 pada temasya di Greece.

China tidak menjadikan olahraga dan renang sebagai ‘lubuk emas’ seperti mana seterunya AS.

Namun, negara itu gagah dalam beberapa acara seperti pingpong, badminton, gimnastik dan terjun.

Ia juga menyasarkan lebih banyak kutipan pingat dalam acara kanu, bola tampar pantai dan renang berirama.

Juara bertahan 110meter lari berpagar, Liu Xiang dan pemenang marathon London, Zhou Chunxiu menjadi sasaran realistik untuk pingat emas dalam acara olahraga.

Lin Dan dan Xie Xingfang disandarkan harapan emas dalam acara badminton China yang menyasarkan enam daripada sembilan emas.

China disaingi AS yang memiliki catatan terhebat dari segi kutipan pingat sukan Olimpik sejak temasya di Los Angeles pada 1932.

Pada Olimpik 2004, AS meriah 102 pingat dengan 36 daripadanya emas, Rusia 92 pingat keseluruhan, 27 emas.

Pada 2004, AS menang 28 pingat menerusi acara renang dan 25 pingat dalam acara olahraga.

Perenang Michael Phelps akan menjadi bintang utama AS untuk mengatasi rekod Mark Spitz yang menang tujuh emas dalam satu sukan Olimpik.

Phelps meraih enam emas dan dua perak di Athens.


Negara Asia lain mahu menjadikan Olimpik di Asia kali ini sebagai peluang untuk melakukan yang terbaik dalam meraih pingat sebanyak mungkin.

Jepun yang meraih 16 emas dan di tempat kelima keseluruhan pada Olimpik 2004 mahu melakukan lebih baik kali ini. Korea Selatan sembilan pingat emas dan menduduki tempat kesembilan.

Negara kecil seperti Thailand, Taiwan dan Hong Kong berjaya meletakkan atlet mereka di podium pada Olimpik 2004 dan kini mahu memperbaiki pencapaian pada sukan di Beijing.

Mongolia, Iran, Indonesia, Korea Utara, Uzbekistan, UAE, Kazakhstan, Syria dan India juga merasai kejayaan yang terhad.

Dengan penguasaan dalam acara judo, renang, gusti dan gimnastik, Jepun yang merupakan negara gergasi sukan Asia sebelum kebangkitan China, juga melakukan lebih baik daripada apa yang dijangkakan di Athens empat tahun lalu dan kini mahu melakukan lebih baik di Beijing.

Sasaran utama negara itu ialah mengambil alih kedudukan Australia dalam carta pingat, namun negara itu turut disaingi oleh musuh tradisi, Korea Selatan.

Jepun menyandarkan harapan tinggi di bahu ikon judo, Ryoko Tani untuk menang kali ketiga berturut-turut di Olimpik.

Mizuki Noguchi pula diharap dapat mempertahankan mahkota kejuaraan acara marathon.

Korea mempunyai harapan pingat menerusi perenang remaja sensasi Park Tae-Hwan yang meledak pada Sukan Asia 2006 apabila meraih tiga emas..

Dia kemudian mencatat kejayaan mengejutkan dalam acara 400m gaya bebas di Kejohanan Dunia di Melbourne tahun lalu. Kejayaan itu memberi inspirasi kepada lain-lain perenang Asia untuk memecah monopoli perenang AS dan Australia.

Hwan merupakan perenang Korea Selatan pertama memenangi Kejohanan Dunia dan dia disandarkan harapan tinggi untuk mencipta kecemerlangan di Beijing.

Selain itu, rantau Asia memiliki beberapa petinju terbaik di dunia dengan Thailand dan Uzbekistan memiliki bakat yang mampu menyekat kuasa tradisi tinju Olimpik, Cuba.

Thailand memiliki pasukan yang terbaik pernah dilahirkan, diterajui juara bertahan kelas light-welterweight, Manus Boonjumnong; flyweight, Somjit Jongjorhor, dan bantamweight, Worapoj Petchkoom.

Taiwan pula begitu kuat dalam acara taekwondo manakala badminton dan ping pong dikuasai oleh negara Asia.


SEJARAH KECEMERLANGAN MALAYSIA

MELBOURNE 1956
Pasukan hoki pertama kali menyertai sukan Olimpik serta atlet olahraga, renang, angkat berat dan menembak. Pasukan hoki negara beraksi cemerlang pada peringkat kelayakan, tewas sekali tetapi hanya menamatkan kejohanan di tempat kesembilan dari 12 pasukan.

TOKYO 1964

Datuk Dr. M. Jegathesan (gambar) menjadi atlet Malaysia yang pertama layak ke pusingan separuh akhir acara 200 meter. Dalam saringan kelima di pusingan pertama, dia mencatat masa 20.92 saat dan masih merupakan rekod Malaysia sehingga kini.

MUNICH 1972

Buat pertama kali dalam sejarah pasukan bola sepak Malaysia yang dibarisi oleh M. Chandran, Soh Chin Aun, Wong Kam Fook, Shaharuddin Abdullah, Wong Choon Wah, Namat Abdullah, Lim Fung Kee, Ali Bakar, pasukan bola sepak kebangsaan layak ke Sukan Olimpik buat kali kedua di Moscow 1980, tetapi tidak mengambil bahagian kerana Malaysia memulau sukan tersebut.

BARCELONA 1992

Adik-beradik Sidek, Razif dan Jalani mencipta sejarah menjadi pemenang pingat Olimpik pertama selepas memenangi pingat gangsa.

ATLANTA 1996

Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock memastikan pingat gangsa untuk negara selepas mara ke perlawanan separuh akhir acara badminton.

SYDNEY 2000

Lee Wan Yuen menjadi atlet taekwondo pertama negara layak di sukan Olimpik apabila ia pertama kali diperkenalkan di Sydney tetapi tewas kepada atlet Perancis, Myriam Baverel 4-8 di pusingan pertama kategori 67 kilogram wanita.

ATHENS 2004

Lim Keng Liat menjadi perenang pertama negara mara ke peringkat separuh akhir dengan mencatat masa kelapan terpantas 55.22 saat dalam acara kuak lentang lelaki. Pelumba basikal acara trek Josiah Ng turut layak ke akhir tetapi menduduki tempat kelima.

2 Comment:

  1. come to my blog.. at [url=http://ringgittune.blogspot.com]ringgittune.blogspot.com[/url] , i already create olympic widget in my blog, u can go there and grab the code... put it on ur blog/profile/site.. so its easy for u to check the event..and result

    BalasPadam
  2. Salam saudara Adha

    Tahniah, blog anda ada pelbagai bahan dimuatkan..
    Untuk menambahkan lagi di ruangan berita anda, saya baru sahaja membuka blog berdasarkan berita yang boleh anda layari di:

    ondscene.blogspot.com

    Blog saya bukan petikan dari mana-mana sumber atau bahan lain, tetapi merupakan catatan dan rakaman saya sendiri.

    Saya akan memasukkan pautan blog saudara di dalam blog saya.

    Salam perkenalan dan Salam Hari Kemerdekaan.
    ondscene.sham

    BalasPadam

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90