RAHSIA LULUS TEMUDUGA KERJA KERAJAAN

Kepada calon yang sedang mencari kerja boleh mendapatkan
Pakej Rahsia Lulus Temuduga Kerja --> http://www.ashadee.net/go/50249/myadha



Perbezaan Jenis-Jenis Demam

on Tuesday, August 26, 2008

Boleh dikatakan semua orang pernah demam dan kemungkinan besar akan demam lagi dalam hidup mereka kelak. Demam menjadi antara perkara yang perlu dilalui semua individu yang pernah mengalami jangkitan kuman atau penyakit tertentu.

Sememangnya kebanyakan kes demam melibatkan demam biasa yang jarang sekali mengancam nyawa. Namun, bila sahaja disebutkan terdapat penularan kes demam denggi, malaria, chikungunya atau kepialu, ramai pula yang cuak dan khuatir diri menghidap demam yang berbahaya.

Rasa khuatir sebegini timbul akibat rasa cemas yang ditambah kurangnya kefahaman tentang penyakit tersebut. Di sini, tindakan sewajarnya adalah untuk mendapatkan maklumat yang tepat daripada pakar perubatan, media dan juga Internet supaya punca demam yang dihadapi dapat ditangani sewajarnya.

* Membezakan

Demam sememangnya satu kebiasaan tetapi kita sebagai manusia biasa, yang pasti akan demam berulang kali lagi kelak, perlu juga membiasakan diri dengan maklumat dan cara membezakan demam yang biasa atau yang berbahaya. Demam itu sendiri bukanlah penyakit tetapi simptom (petanda) kepada sesuatu penyakit atau jangkitan kuman hasil tindak balas semula jadi badan mempertahankan diri. Maka, secara dasarnya, demam, seperti juga cirit-birit, adalah salah satu bentuk pertahanan badan terhadap jangkitan kuman atau toksin.

Pakar Perunding Perubatan dan Kardiologi Hospital Pakar Putra Melaka, Datuk Dr. Nor Izham Aziz menjelaskan ciri asas demam adalah peningkatan (sementara) suhu badan melebihi 37°C, mengikut gred tertentu.

“Biasanya, suhu demam adalah antara 38 hingga 40°C, dengan suhu antara 38 dan 39°C dikira sebagai demam gred rendah dan suhu melebihi 39°C sebagai gred tinggi.

“Ubat mungkin perlu diberikan kepada pesakit jika suhu badan melebihi 40°C yang mungkin membahayakan nyawa pesakit,” katanya.

Menurut beliau, suhu demam yang terlalu tinggi atau melebihi 41°C boleh membawa maut kerana enzim di dalam badan tidak boleh berfungsi pada suhu terlalu tinggi.

Dalam membezakan antara demam biasa atau yang berbahaya, Dr. Nor Izham menegaskan tempoh seseorang itu demam lebih penting daripada suhu badan ketika demam.

“Demam biasa cuma bertahan selama beberapa hari. Sebagai contoh, demam akibat jangkitan virus dengan suhu melebihi 40°C selama dua atau tiga hari tidak bahaya.

“Demam melebihi satu minggu pula mungkin berbahaya sementara demam melebihi 14 hari mungkin petanda masalah lebih serius dan berisiko membawa mudarat kepada pesakit,” jelasnya.

Beliau memaklumkan bahawa, jika pesakit mengalami demam kronik yang berpanjangan sehingga berbulan-bulan lamanya, ia mungkin petanda kepada penyakit lebih teruk seperti jangkitan pada jantung (endocarditis), kanser, penyakit sistem imuniti, tibi atau demam kepialu. Demam juga dikatakan menjadi antara tindak balas semula jadi badan menentang sel kanser terutamanya bagi kes kanser buah pinggang, leukemia dan limfoma.

Dr. Nor Izham turut menegaskan demam berbeza dengan hyperthermia (strok haba) yang menyebabkan peningkatan suhu badan akibat suhu persekitaran luar terlalu panas.

“Dalam kes hyperthermia, sumber haba datang dari luar, badan akan kekurangan air dan pesakit akhirnya mungkin maut akibat dehidrasi atau suhu terlalu tinggi untuk enzim badan berfungsi,” jelasnya.

* Mula dan akhir

Menurut Dr. Nor Izham, peningkatan suhu akan menyekat pembiakan kuman (jika jangkitan) dan membolehkan sistem imuniti bertindak membunuh kuman tersebut sebelum ia merebak.

“Demam bermula dengan badan membebaskan bahan dikenali pyrogen yang akan menyebabkan suhu badan meningkat.

“Pyrogen boleh dihasilkan di dalam badan (endogenous) atau datang dari sumber luar (exogenous), seperti dari lipopolisakarid (LPS) pada bakteria,” ujarnya.

Tambahnya, demam akan diiringi ciri-ciri berbeza mengikut puncanya, yang turut menentukan tahap bahaya yang dihadapi pesakit.

Mengambil contoh demam denggi, Dr. Nor Izham menjelaskan pesakit mungkin mengalami kekurangan air akibat muntah, cirit-birit atau pendarahan.

“Kerosakan pada platelet dalam kes denggi membawa kepada pendarahan yang boleh merosakkan buah pinggang, paru-paru dan hati pesakit.

“Di sini kematian berlaku bukan akibat suhu demam yang tinggi, sebaliknya akibat kehilangan cecair badan (air dan darah) melalui dehidrasi dan pendarahan teruk,” katanya.

Kebiasaannya, demam akan berakhir tanpa komplikasi besar dan pesakit akan kembali sihat sepenuhnya selepas berehat beberapa hari. Memandangkan demam membantu pemulihan badan, ia tidak semestinya `dirawat’ kecuali peningkatan suhu berlaku secara mendadak, membahayakan nyawa pesakit atau berpanjangan terlalu lama.

Sebagai antara petanda penting badan yang memaklumkan terdapat kepincangan dalaman, demam juga dapat membantu pemantauan penyakit atau jangkitan, serta sebagai penanda aras keberkesanan rawatan yang diberikan. Perkara utama untuk pesakit yang demam adalah mengelakkan dehidrasi dengan mengekalkan kandungan air badan secukupnya.

* Bahaya pada kanak-kanak

Dr. Nor Izham turut membangkitkan satu risiko besar yang mungkin hadir bersama demam di kalangan bayi dan kanak-kanak.

“Suhu terlalu tinggi atau naik mendadak di kalangan bayi dan kanak-kanak prasekolah meningkatkan risiko berlakunya sawan (tarik).

“Kejadian sawan (tarik) ini biasa dilihat di wad pediatrik setiap bulan. Ia mudah berlaku jika suhu badan naik melebihi 40°C dalam tempoh hanya satu atau dua hari selepas demam bermula,” ujarnya.

Menurut beliau, kanak-kanak yang pernah mengalami sawan demam ini juga berisiko mengalami masalah serupa kelak.

Namun, beliau menjelaskan risiko sawan akan hilang dengan peningkatan usia berikutan sawan demam tidak berlaku di kalangan orang dewasa. Sawan akibat demam boleh menyebabkan otak terencat atau kematian akibat kekurangan bekalan oksigen ke otak.

Dr. Nor Izham memaklumkan kematian atau otak terencat boleh berlaku akibat salur udara pesakit tersumbat ketika sawan berlaku.

“Jika pesakit muntah ketika sawan, ia boleh masuk ke paru-paru dan menghalang laluan udara dan bekalan oksigen ke otak.

“Oleh itu, jika berlakunya sawan (ketika demam), posisi pesakit perlu dibetulkan bagi membuka laluan udara dan mengelakkan sebarang halangan salur pernafasan,” tegasnya.

Beliau menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi demam anak supaya suhu tidak meningkat mendadak dengan menjelum menggunakan tuala basah, memberi air secukupnya dan juga ubat bersesuaian.

Beliau turut menegaskan pentingnya anak dibawa ke hospital jika demam menjadi semakin teruk dan gagal dikawal.

“Demam itu sendiri tidak membunuh. Tetapi perlu berwaspada supaya tidak membawa kepada komplikasi lain yang mengancam nyawa pesakit,” tegasnya.
Ranking: 5

{ 2 comments... read them below or add one }

Anonymous said...

ley x wt perbazaan antara chikugunya dan denggi
wt dalm bntuk jadual kn seng


Friday, May 22, 2009 at 9:24:00 AM GMT+8
Anonymous said...

NAMA SAYA atai,,BOLEH X BAGI BEZA ANTARA DEMAM MALARIA DENGAN DENGGI,,PERBEZAAN ANTARA SIMTOM2 DAN MANAGEMENT DALAM BENTUK JADUAL,,TERIMA KASIH


Tuesday, May 21, 2013 at 11:54:00 AM GMT+8

Post a Comment

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© MY ADHA - Soalan Exam Pegawai Tadbir Diplomatik PTD | Hakcipta Terpelihara 2008 - 2014
D.I.Y Themes ByBelajar SEO