Top Ad 728x90

201 bayi Hari Merdeka

Seramai 201 bayi 'Merdeka' dilahirkan di beberapa di beberapa hospital kerajaan dan swasta di seluruh negara pada ulang tahun Hari Kebangsaan ke-51, semalam.

Di Lembah Klang, 46 bayi dilahirkan antara jam 12 tengah malam hingga 3 petang dengan Hospital Kuala Lumpur (HKL) merekodkan kelahiran paling ramai dengan 24 kelahiran, iaitu 18 lelaki dan enam perempuan.

Kelahiran terawal direkodkan di HKL pada jam 12.01 tengah malam dengan seorang bayi lelaki seberat 3.69 kilogram (kg)

Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) mencatatkan 20 kelahiran iaitu 11 lelaki dan sembilan perempuan, Pusat Perubatan Ampang Puteri (lapan), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) (enam), Pusat Perubatan Pantai Bangsar (empat), Hospital Assunta (tiga) dan Pusat Perubatan Pantai Cheras (seorang).

Seramai 21 bayi, sembilan daripadanya perempuan dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) sehingga jam 5 petang semalam dan bayi pertama dilahirkan jam 12.46 pagi.

Di KOTA BHARU, 42 bayi dilahirkan di 10 hospital kerajaan dan swasta, dengan seorang bayi lelaki seberat 3.1 kg adalah bayi terawal dilahirkan pada jam 12.38 pagi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini.

Tujuh bayi dilahirkan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZII), lapan di HUSM, Hospital Pasir Mas (enam), masing-masing lima bayi dilahirkan di Hospital Gua Musang dan Tumpat, Hospital Tanah Merah (tiga), Hospital Kuala Krai (dua) serta seorang di Hospital Machang.

Di MELAKA, 25 kelahiran bayi merdeka dicatatkan sehingga jam 12.51 tengah hari semalam iaitu 17 di Hospital Melaka, Hospital Pantai Ayer Keroh (lima), Hospital Jasin (dua) dan seorang di Hospital Pakar Putra.

Di GEORGETOWN, seramai lima bayi, empat lelaki dan seorang perempuan selamat dilahirkan di Hospital Pulau Pinang (HPP) sehingga jam 3 petang semalam.

Di IPOH, sehingga jam dua petang, seramai 14 bayi dilahirkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRBP) dan diberi hamper barangan bayi sumbangan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Perak yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderiang, Dr Mah Hah Soon.

Di JITRA, lima bayi, tiga lelaki dan dua perempuan dilahirkan di Pusat Rawatan Mahsuri, semalam, termasuk bayi pasangan S Marathi, 25 dan suami, C Chut, 28.

Marathi, yang bekerja sebagai eksekutif khidmat pelanggan sebuah syarikat swasta, berkata dia dan suami merancang dan berharap supaya bayi kedua mereka itu dilahirkan pada Hari Merdeka dan amat gembira hasrat itu dimakbulkan Tuhan.

Di TERENGGANU, 34 bayi, termasuk 10 perempuan dilahirkan di enam hospital di Terengganu pada Hari Kebangsaan, semalam.

Pengarah Jabatan Perubatan dan Kesihatan negeri, Dr Nordiyanah Hassan, berkata Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini mencatatkan jumlah bayi paling ramai iaitu lapan lelaki dan tujuh perempuan.

Di KUANTAN, enam bayi dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) hingga jam 5 petang semalam.

Bayi pertama dilahirkan ialah lelaki seberat 3.1 kg pada jam 1.41 pagi iaitu anak kepada pasangan Junaidin Jalil, 33, yang juga seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Zuraida Mat, 30.

Sepasang lagi suami isteri yang menerima kelahiran bayi `Merdeka', semalam, Norarzeliyanna Zenol, 24 dan Shahrul Nazri Shaari, 25, sempat meraikan ketibaan detik 12 tengah malam bersama ribuan pengunjung lain di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 2 di sini sebelum terpaksa bergegas ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sebaik perut si isteri mula terasa sakit.

Norarzeliyanna berkata, dia bersyukur bayi lelakinya dilahirkan secara normal tepat jam 6.14 pagi selepas mula dimasukkan ke bilik persalinan HTAA kira-kira jam 12.15 tengah malam.

Ibu muda yang bekerja sebagai kerani itu berhasrat menamakan anak lelakinya, Shah Irfan Haiqal.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90