Top Ad 728x90

Aqiqah Dan Hukum Yang Berkaitan Dengannya

Setiap anak damit dilahirkan dalam keadaan suci bersih, jauh daripada sebarang pencemaran akidah. Ibu bapa adalah orang pertama yang menunjukkan hala tuju anak tersebut, ke jalan yang mulia atau sebaliknya. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

"Setiap kelahiran (daripada bani Adam) dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci bersih), maka ibu bapanyalah (yang menjadikannya) Yahudi, Nashrani atau Majusi." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Oleh yang demikian, ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak mereka untuk mengenalkan Allah, mengajar serta membimbing mereka tentang suruhan dan laranganNya. Hal ini hendaklah diserapkan ke dalam jiwa dan minda mereka sejak dari kecil lagi, bahkan Islam telah menganjurkan kita supaya menyerukan azan dan iqamah di telinga anak damit itu sejak dari lahir lagi. Azan dan iqamah dilakukan supaya kalimah tauhid dan kalimah yang mengakui keagungan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan keesaanNya adalah perkataan yang mula-mula didengar oleh anak itu dan akan meresap ke hatinya yang suci bersih serta meninggalkan kesan yang amat bererti buat dirinya.

Selain dari itu, menyerukan azan dan iqamah juga adalah sebagai usaha untuk memohon perlindungan daripada gangguan syaitan, di mana dengan seruan azan dan iqamah ini syaitan akan lari dari anak tersebut. (Bujairimi ‘ala al-Khatib: 4/436-437) Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksdunya :

"Sesiapa yang dikurniakan anak yang baru lahir, maka hendaklah diazankan di telinga kanan dan diiqamah di telinga kiri, nescaya tidak akan menyakitinya Umm ash-Shibyan (pengikut jin atau penunggu atau suatu penyakit yang terkena pada kanak-kanak pada masa kecilnya)." (Hadis dikeluarkan oleh Ibnu as-Sunni)

Demikian juga Islam menganjurkan supaya melakukan aqiqah bagi anak damit tersebut. Ini bertujuan untuk mezahirkan perasaan syukur ibu bapa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala di atas anugerah cahaya mata atau zuriat keturunannya.

Di samping itu daging aqiqah yang dimasak dengan sedikit rasa manis itu diharapkan agar perangai dan budi pekerti anak tersebut akan menjadi elok dan baik. (Al-Majmu‘: 8/322)

Pengertian Aqiqah Menurut Syara‘

Aqiqah dalam pengertian syara‘ ialah binatang ternakan yang berkaki empat (binatang an‘am) yang disembelih ketika hendak mencukur rambut kepala anak yang baru dilahirkan, sama ada disembelih pada hari ketujuh atau selepasnya.

Hukum Aqiqah

Hukum melakukan aqiqah itu adalah sunat mu’akkadah iaitu sunat yang sangat digalakkan oleh Islam. Sebagaimana perbuatan Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam ketika Baginda mengaqiqahkan cucundanya Hasan dan Husain alaihimassalam. Ianya bukanlah perkara yang wajib dilakukan kerana hal ini pernah ditanyakan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu Baginda bersabda yang maksudnya :

"Allah tidak menyukai kedurhakaan, seolah-olah Baginda tidak suka menyebut nama itu (aqiqah). Baginda bersabda: "Barang siapa yang dikurniakan baginya anak, lalu dia ingin menyembelihkan untuk anaknya maka sembelihlah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan bagi anak perempuan seekor kambing." (Hadis riwayat Abu Daud)

Maksud hadis daripada perkataan (suka atau ingin menyembelihkan untuk anaknya) itu menunjukkan tidak wajib melakukan aqiqah, melainkan jika aqiqah itu dinazarkan baharulah ianya dipanggil aqiqah wajib.

Dalam hadis yang lain, sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

"Anak-anak tergadai (terikat) dengan aqiqahnya, disembelih (aqiqah) untuknya pada hari ketujuh (kelahirannya) dan diberi namanya serta dicukur rambutnya." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Terdapat dua pendapat dalam menghuraikan maksud hadis "anak tergadai dengan aqiqahnya" di sini. Pendapat pertama mengatakan bahawa jika tidak diaqiqahkan, anak itu akan terbantut atau terhalang pertumbuhannya, tidak seperti anak-anak lain yang diaqiqahkan. Pendapat kedua mengatakan bahawa maksudnya ialah anak itu tidak akan memberi syafaat kepada kedua ibu bapanya pada hari kiamat kelak jika dia tidak diaqiqahkan. Pendapat kedua ini adalah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal, dan pendapat ini adalah pendapat yang terbaik. (Mughni al-Muhtaj: 4/369)

Orang Yang Dituntut Melakukan Aqiqah

Orang yang disunatkan melakukan aqiqah untuk anak yang baru dilahirkan itu ialah orang yang wajib memberi nafkah kepada anak tersebut, iaitu bapa atau ibunya sekalipun mereka itu orang fakir atau papa.

Aqiqah tidak boleh dilakukan oleh orang yang tidak wajib ke atasnya memberi nafkah kepada anak tersebut melainkan dengan izin daripada orang yang wajib memberi nafkah (bapa atau ibu). Sebagaimana Nabi pernah mengaqiqah cucunda Baginda Sayyidina Hasan dan Sayyidina Husain sama ada dengan sebab izin daripada Sayyidina ‘Ali menantu Baginda ataupun ketika itu Sayyidina ‘Ali dan isterinya tidak berkemampuan lalu tertanggunglah nafkah tersebut ke atas Baginda Rasulullah.

Belanja untuk aqiqah itu hendaklah diambil daripada harta bapa atau ibu itu sendiri dan tidak boleh diambil daripada harta anak yang hendak diaqiqahkan itu. Ini kerana perbuatan aqiqah itu adalah merupakan tabarru‘ (sedekah).

Jika diambil perbelanjaan itu daripada harta anak tersebut, maka aqiqah yang dibuat itu tidak sah dan ibu atau bapa tersebut wajib menggantinya. (Al-Majmu‘: 8/324 dan Mughni al-Muhtaj: 4/369)

***************************

AQIQAH DAN HUKUM YANG BERKAITAN DENGANNYA
(Bilangan 135 Bahagian Kedua)

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu `Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Kemampuan Dalam Melakukan Aqiqah

Ibu bapa yang berkemampuan, adalah dituntut (sunat) melakukan aqiqah untuk anak mereka itu sehingga anak itu baligh. Jika anak tersebut sudah mencapai umur baligh tetapi ibu bapanya tidak melakukan aqiqah untuknya, maka sunat ke atas anak itu melakukan aqiqah untuk dirinya sendiri dan gugurlah tuntutan sunat ke atas ibu bapa itu melakukan aqiqah anaknya yang sudah baligh itu.

Adapun yang dimaksudkan dengan kemampuan yang merupakan syarat untuk melakukan aqiqah itu ialah orang yang hendak melakukan aqiqah itu mempunyai wang belanja yang lebih untuk dirinya dan orang-orang yang di bawah tanggungannya sebelum berlalu jangka masa terpanjang bagi perempuan bernifas iaitu enam puluh hari.

Jika kemampuannya itu hanya wujud selepas berlalu masa tersebut (sebelum itu dia tidak mampu, kemudian selepas enam puluh hari baharulah dia mampu), maka tidak disunatkan ke atasnya melakukan aqiqah.

As-Syeikh Muhammad al-Khathib as-Syarbini di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj mengatakan bahawa jika wali anak tersebut tidak mampu untuk melakukan aqiqah sebaik saja anak itu dilahirkan, kemudian dia mampu sebelum umur anak itu genap tujuh hari, maka sunat ke atas wali itu melakukan aqiqah untuk anaknya itu.

Jika kemampuannya itu hanya wujud selepas hari ketujuh daripada hari kelahiran anaknya dan dalam masa isterinya sudah melalui semaksima hari nifas (enam puluh hari), maka kebanyakkan ulama muta’akhirin berpendapat tidak disunatkan ke atasnya aqiqah.

Adapun jika kemampuannya itu wujud selepas hari ketujuh daripada hari kelahiran anaknya dan isterinya masih dalam nifas, maka dalam hal ini para ulama berbeza pendapat. Menurut pendapat Yusuf al-Ardabili di dalam kitabnya al-Anwar li A‘mali al-Abrar, beliau mentarjihkan (lebih cenderung kepada) pendapat yang mengatakan sunat ke atasnya aqiqah.

Dalam erti kata lain, jika wali itu tidak mampu sehingga habis masa nifas isterinya, maka gugurlah daripadanya hukum sunat melakukan aqiqah. (Mughni al-Muhtaj: 4/369-370)

Aqiqah Anak Zina

Menurut Ibnu Hajar adalah sunat ibu tersebut melakukan aqiqah bagi anak zina itu, akan tetapi aqiqah itu hendaklah dilakukan secara sembunyi-sembunyi (tidak dizahirkan) agar tidak menimbulkan keaiban. (Hawasyi Tuhfah al-Muhtaj: 9/371)

Waktu Aqiqah

Aqiqah itu sunat dilakukan sebaik sahaja anak dilahirkan dan berterusan sehinggalah anak itu baligh. Ini adalah pendapat yang paling rajih. Apabila anak itu sudah baligh, gugurlah hukum sunat itu daripada walinya dan ketika itu hukum sunat berpindah ke atas anak itu sendiri dalam melakukan aqiqah untuk dirinya sendiri.

Walaupun waktu yang disunatkan untuk beraqiqah itu panjang, tetapi yang afdhal hendaklah dilakukan pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya. Sebagaimana dalam hadis daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya maksudnya :

"Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengaqiqahkan Hasan dan Husain pada hari ketujuh, memberikan kedua-duanya nama dan Baginda menyuruh supaya menghilangkan daripada keduanya kesakitan kepala (mencukur rambut kepala)." (Hadis riwayat al-Hakim)

Termasuk dalam kiraan tujuh hari itu, hari anak itu dilahirkan. Jika anak itu dilahirkan pada waktu siang sebelum terbenam matahari, maka hari itu dikira satu hari. Sebaliknya jika dia dilahirkan pada waktu malam, maka malam dia dilahirkan itu tidak dikira sebagai satu hari, bahkan kiraan tujuh hari itu bermula daripada hari selepasnya (siang berikutnya).

Waktu yang afdhal untuk menyembelih binatang aqiqah itu ialah setelah terbit matahari.

Jika tidak sempat melakukan aqiqah pada hari ketujuh, maka digalakkan juga melakukan aqiqah itu pada hari keempat belas daripada hari kelahiran. Jika tidak sempat melakukannya juga, maka lakukanlah pada hari kedua puluh satu. Begitulah dengan seterusnya boleh dilakukan setiap kali berlalunya tujuh hari yang berikut, seperti pada hari kedua puluh lapan, tiga puluh lima dan seterusnya. (Al-Majmu‘: 8/323-324)

Di dalam kitab Kifayah al-Akhyar ada menyebutkan bahawa masa untuk menyembelih aqiqah (bagi yang mampu) itu hendaklah jangan melebihi tempoh sehingga kering darah nifas ibu yang bersalin. Jika tidak dilakukan aqiqah setelah kering darah nifas, maka bolehlah dilakukan selepas itu, tetapi janganlah terlewat sehingga anak itu berhenti menyusu (dalam tempoh dua tahun daripada hari kelahiran). Jika tidak dilakukannya juga, maka bolehlah dilakukan selepas itu, tetapi janganlah terlewat sehingga anak itu berumur tujuh tahun. Jika tidak dilakukannya juga sehingga anak itu berumur tujuh tahun, bolehlah dilakukan selepas itu, tetapi sebelum anak itu mencapai umur baligh. Jika anak itu mencapai umur baligh, maka pada masa itu diberi pilihan kepada anak tersebut untuk melakukan aqiqah bagi dirinya sendiri. (Kifayah al-Akhyar: 534)

Melakukan Aqiqah Sebelum Kelahiran

Sebagaimana penjelasan di atas, jika penyembelihan aqiqah itu dilakukan selepas hari ketujuh ataupun sebelum hari ketujuh selepas kelahiran adalah memadai aqiqah tersebut. Ini kerana adanya sebab yang mensyariatkan ibadat aqiqah tersebut iaitu kelahiran anak. Akan tetapi jika aqiqah itu dilakukan sebelum kelahiran anak, maka tidak memadai aqiqahnya itu melainkan ianya hanya dikira sebagai binatang sembelihan biasa sahaja. (Al-Majmu‘: 8/323)

Adapun menurut Ibnu Hajar, tidak disunatkan aqiqah itu bagi anak keguguran melainkan jika ditiupkan padanya roh. Jika anak keguguran itu tidak ditiupkan padanya roh, maka tidaklah dibangkitkan dan tidak memberi manfaat anak itu di akhirat kelak. (Bughyah al-Mustarsyidin: 258)

Manakala anak damit yang mati sebelum atau selepas hari ketujuh daripada kelahirannya dan dia berkemampuan untuk menyembelih binatang, maka sunat diaqiqahkan anak tersebut. (I‘anah ath-Thalibin: 2/526 dan al-Majmu‘: 8/323)

*************************************

AQIQAH DAN HUKUM YANG BERKAITAN DENGANNYA
(Bilangan 135 Bahagian Ketiga)

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu `Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Binatang Aqiqah Serta Syarat-Syaratnya

Binatang yang sah disembelih untuk aqiqah itu sama seperti binatang-binatang yang sah dibuat korban. Untuk lebih jelas lagi disebutkan syarat-syarat binatang yang sah untuk dibuat aqiqah itu ialah:

1. Binatang aqiqah itu hendaklah binatang ternakan (na‘am) seperti unta atau yang sejenisnya, lembu atau yang sejenisnya seperti kerbau dan kambing atau yang sejenisnya seperti biri-biri dan kibasy. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: "Dan bagi tiap-tiap umat telah kami syari‘atkan ibadat menyembelih korban supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka daripada binatang-binatang ternak yang disembelih itu". (Surah al-Hajj:
34)

Seekor unta, lembu atau kerbau itu boleh dikongsi oleh tujuh orang sama ada daripada keluarga yang sama atau yang lain walaupun tidak semuanya bermaksud aqiqah, misalnya ada di antaranya bermaksud aqiqah dan yang lainnya kerana mahukan dagingnya sahaja ataupun daging korban. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis:

Maksudnya: "Kami keluar bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam (dari Madinah) mengucapkan tahlil (Lailahaillallah), dengan berniat untuk mengerjakan haji, maka Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh kami berkongsi pada unta dan lembu, setiap tujuh orang daripada kami bagi seekor badanah". (Hadis riwayat Muslim)

Seekor kambing pula hanya untuk seorang sahaja tidak boleh dikongsikan. Jika dikongsikan seekor kambing itu untuk dua orang atau lebih, maka tidak sah aqiqah tersebut.

Afdhalnya binatang yang dibuat aqiqah itu yang berwarna putih, kemudian yang berwarna kuning, kemudian yang putih tetapi yang tiada bersih putihnya, kemudian yang sebahagian badannya berwarna putih, kemudian yang sebahagian berwarna hitam, kemudian berwarna hitam semuanya, kemudian yang berwarna merah semuanya.

2. Binatang aqiqah itu hendaklah cukup umur, sebagaimana disyaratkan di dalam korban. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: "Jangan kamu menyembelih korban melainkan yang telah musinnah kecuali jika kamu sukar mendapatkannya, maka sembelihlah anak daripada biri-biri." (Hadis riwayat Muslim)

Adapun musinnah itu ialah ats-tsaniy (yang gugur gigi hadapannya) daripada binatang ternakan unta, lembu dan kambing. Maka ukuran umur bagi binatang aqiqah itu ialah:

a. Unta yang gugur gigi hadapannya ialah yang telah sempurna umurnya lima tahun dan masuk tahun keenam.

b. Lembu dan kambing yang gugur gigi hadapannya ialah yang telah sempurna umurnya dua tahun dan masuk tahun ketiga.

c. Manakala kambing biri-biri dan kibasy memadai yang berumur cukup satu tahun atau yang gugur gigi hadapannya walaupun belum cukup umurnya satu tahun dengan syarat telah melimpasi umurnya enam bulan. (Al-Majmu‘ 8/286-287 dan I‘anah ath-Thalibin
2/518)

3. Binatang aqiqah itu hendaklah sihat (tidak berpenyakit) dan selamat daripada kecacatan atau aib yang boleh mengurangkan daging atau lemaknya atau anggota lain yang boleh dimakan. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: "Empat perkara yang tidak boleh ada pada binatang korban itu, lalu Baginda bersabda: "Buta yang nyata butanya, sakit yang nyata penyakitnya, tempang yang nyata tempangnya dan yang kurus dan lemah." (Hadis riwayat Abu Daud)

Daripada hadis di atas dapat difahami bahawa binatang yang tidak sah dijadikan aqiqah itu ialah:

i. Binatang yang buta atau rosak matanya atau yang tidak dapat melihat sekalipun biji matanya masih ada. Jika matanya itu ada sedikit kecacatan seperti sedikit rabun tetapi ia masih boleh melihat, maka ia sah dibuat aqiqah.

ii. Binatang yang jelas tempang kakinya yang mana jika ia berjalan bersama-sama sekumpulan kawan-kawan binatang yang lain di padang untuk mencari makan, ia tidak boleh ikut berjalan bersama dengan binatang-binatang itu, bahkan ia tertinggal jauh di belakang. Jika tempangnya itu sedikit iaitu tempang yang tidak menghalang daripada mengikuti kawan-kawannya, maka ia sah dibuat aqiqah.

iii. Binatang yang nyata sakitnya sehingga menjadikan binatang tersebut kurus dan kurang dagingnya. Tetapi jika sakitnya itu sedikit dan tidak mengurangi dagingnya maka ia sah dibuat aqiqah.

iv. Binatang yang kurus sama ada kerana sakit, gila atau kurang makan dan sebagainya.

v. Binatang yang telinganya terpotong walaupun sedikit atau yang tidak bertelinga sejak dilahirkan kerana telah hilang sebahagian anggota yang boleh dimakan dan mengurangkan dagingnya. Tetapi tidak mengapa jika telinganya koyak atau berlubang dengan syarat tidak gugur daripada dagingnya, walaupun sedikit.

vi. Binatang yang terpotong ekornya walaupun sedikit atau terpotong sebahagian lidahnya atau yang terpotong suatu yang nyata daripada pahanya. Adapun yang dilahirkan tanpa berekor sejak dilahirkannya adalah sah dibuat aqiqah.

vii. Binatang yang gugur semua giginya sehingga menghalangnya makan rumput. Adapun yang tanggal sebahagian giginya dan tidak menghalangnya makan rumput dan tidak mengurangkan dagingnya (tidak kurus) ia boleh dibuat aqiqah.

viii. Binatang yang berpenyakit gila atau yang kena penyakit kurap sekalipun sedikit.

ix. Binatang yang bunting kerana bunting itu mengurangkan dagingnya. (Al-Majmu‘ 8/293-2966 dan Mughni al-Muhtaj 4/520) Bagi binatang yang baharu beranak boleh dibuat korban berdasarkan pendapat Ibnu Hajar dalam Tuhfah dan Ar-Ramli dalam Nihayah, manakala mengikut pendapat Khatib Syarbini dalam Mughni bahawa binatang tersebut tidak memadai dibuatkan korban. (Sabilul Muhtadin 2/213)

****************************

AQIQAH DAN HUKUM YANG BERKAITAN DENGANNYA
(Bilangan 135 Bahagian Keempat)

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu `Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Daging Aqiqah

Daging aqiqah digalakkan supaya tidak disedekahkan dalam keadaan mentah, bahkan disunatkan supaya dimasak terlebih dahulu dengan sedikit rasa manis walaupun aqiqah itu aqiqah nazar. (Bughyah al-Mustarsyidin: 258 dan Mughni al-Muhtaj: 4/370) Ini Kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam suka pada yang manis, sebagaimana dalam hadis daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya:

Maksudnya: "Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam suka yang manis dan madu." (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan ad-Darimi)

Tujuannya ialah untuk bertafa’ul (menaruh harapan baik) terhadap keelokkan perangai dan budi pekerti anak yang diaqiqahkan.

Adapun jika dimasak dengan tidak ada rasa manis seperti dimasak dengan rasa yang masam, maka tidaklah ianya menjadi makruh kerana tidak ada larangan mengenainya.

Kemudian daging yang telah dimasak itu diberi makan kepada fakir miskin, sama ada dengan dihantar masakan itu ke rumah-rumah mereka atau dijemput mereka itu hadir makan di rumah tempat beraqiqah. Namun yang lebih afdhal adalah dihantar masakan tersebut ke rumah-rumah orang fakir miskin.

Adapun pangkal paha kambing di sebelah kanan sunat disedekahkan dalam keadaan mentah kepada bidan yang menyambut kelahiran anak tersebut. (Bughyah al-Mustarsyidin: 258) Ini kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh puteri Baginda Sayyidatina Fatimah Radhiallahu ‘anha melakukan yang demikian itu dengan sabda Baginda:

Maksudnya: "Timbanglah rambut Husain dan sedekahkan perak dengan seberat timbangan rambutnya itu dan berikan kepada bidan kaki aqiqah." (Hadis riwayat al-Hakim)

Sementara itu, sunat bagi orang yang beraqiqah memakan sebahagian kecil daripada daging binatang yang diaqiqahkan, selagi mana aqiqahnya itu bukan aqiqah wajib (aqiqah nazar) atau aqiqah kerana wasiat.

Demikian juga, daging aqiqah itu sunat dihadiahkan kepada orang kaya, dan dia memiliki apa yang dihadiahkan kepadanya itu.
(Mughni al-Muhtaj: 4/370) Dengan maksud memiliki itu adalah orang kaya tersebut boleh memakan atau menjualnya. Akan tetapi daging aqiqah itu haram diberi atau dijual kepada orang kafir.

Dalam hal memakan, menyedekah dan menghadiahkan daging aqiqah tersebut sama keadaannya dengan korban.

Semasa memotong daging disunatkan supaya jangan dipecah-pecahkan tulang binatang aqiqah itu, bahkan disunatkan supaya mengasingkan tulang-tulang itu mengikut sendi-sendinya. Sebagaimana dalam hadis daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya:

Maksudnya: "Afdhal bagi anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan bagi anak perempuan seekor kambing. Dipotong anggota-anggota (binatang) dan jangan dipecah-pecah tulangnya." (Hadis riwayat al-Hakim)

Ini bertujuan untuk bertafa’ul (menaruh harapan baik) terhadap tulang anak itu nanti tidak pecah dan tidak patah sebagaimana tidak pecah dan tidak patahnya tulang-tulang binatang aqiqah itu.

Adapun jika dipecah-pecahkan tulang aqiqah itu, maka tidaklah ianya menjadi makruh akan tetapi hanyalah menyalahi yang utama
(khilaf al-awla). (Al-Majmu‘: 8/322)

Aqiqah Nazar

Apa yang dimaksudkan dengan aqiqah nazar itu sama keadaannya dengan korban nazar. Iaitu binatang sembelihan bagi aqiqah itu menjadi wajib apabila ia dinadzarkan, sama ada nadzar itu nadzar yang sebenar (nadzar hakikat) ataupun nadzar dari segi hukum sahaja, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: "Sesiapa yang bernadzar untuk mentaati Allah, maka hendaklah dia mentaatiNya". (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Apa yang dimaksudkan dengan nadzar yang sebenar itu adalah dengan menyebut nama Allah atau menggunakan perkataan ‘nadzar’. Sebagai contoh orang yang beraqiqah itu berkata: "Demi Allah wajib ke atasku menyembelih kambing ini sebagai aqiqah", ataupun dia berkata: "Aku bernadzar untuk menyembelih kambing sebagai aqiqah anakku."

Adapun bernadzar dari segi hukum sahaja seperti seseorang itu berkata: "Aku jadikan seekor kambing yang aku pegang ini untuk aqiqah anakku", ataupun dia berkata: "Ini adalah aqiqah anakku", maka dianggap sama seperti bernadzar yang sebenar kerana dia telah menentukan (ta‘yin) binatang tersebut. (I‘anah ath-Thalibin: 2/526)

Oleh itu, menurut Ibnu Hajar bahawa aqiqah wajib yang disebabkan oleh nazar atau ta‘yin itu wajib disedekahkan kesemuanya dengan mentah. (Hawasyi Tuhfah al-Muhtaj: 9/372) Sementara menurut Khatib Syarbini dan ar-Ramli bahawa tidak wajib disedekahkan kesemuanya dalam keadaan mentah bahkan sunat dimasak. (Nihayah al-Muhtaj: 8/146-147 dan Mughni al-Muhtaj: 4/370)

*********************

AQIQAH DAN HUKUM YANG BERKAITAN DENGANNYA
(Bilangan 135 Bahagian Kelima)

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu `Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Bilangan binatang yang hendak disembelih

Jika anak yang dilahirkan itu lelaki, maka yang afdhalnya disunatkan menyembelih dua ekor kambing yang sama keadaan keduanya (besarnya). Manakala bagi anak perempuan, memadai dengan seekor kambing sahaja. Ini berdasarkan hadis daripada Ummi Kurz al-Ka‘biyyah katanya:

Maksudnya: "Aku pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda tentang anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan anak perempuan seekor kambing." (Hadis riwayat Abu Daud)

Antara sebab aqiqah untuk anak lelaki itu sebanyak dua ekor kambing adalah kerana menunjukkan tanda syukur dan kegembiraan atas kelahiran anak tersebut dan kegembiraan atas kelahiran anak lelaki itu lebih tinggi, maka oleh itu sembelihannya lebih banyak.
(Al-Majmu‘: 8/318)

Pada perkara membuat aqiqah itu, yang lebih afdhal ialah dengan menyembelih tujuh ekor kambing, kemudian seekor unta, kemudian dengan seekor lembu atau kerbau, kemudian dengan seekor kibasy, kemudian dengan seekor kambing, kemudian dengan satu pertujuh unta dan seterusnya dengan satu pertujuh lembu atau kerbau. (Al-Majmu‘:8/290 dan 321)

Oleh kerana itu, jika seseorang itu mempunyai harta yang banyak, adalah lebih afdhal lagi dan dituntut supaya dia melakukan aqiqah bagi seorang anak dengan tujuh ekor kambing atau dengan seekor unta atau lembu.

Memadai dengan seekor kambing

Jika seseorang itu tidak berkemampuan untuk melakukan aqiqah bagi anak lelakinya dengan dua ekor kambing, maka memadailah dengan seekor kambing atau satu pertujuh daripada seekor unta, kerbau atau lembu. Ini kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri membuat aqiqah untuk cucunda Baginda dengan menyembelih seekor kambing. Sebagaimana hadis daripada ‘Ali bin Abi Thalib katanya:

Maksudnya: "Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengaqiqahkan Hasan dengan seekor kambing." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Seekor kambing untuk dua orang anak

Jika seseorang itu mempunyai dua orang anak, lalu dibuatkan aqiqah untuk mereka dengan berkongsi seekor kambing adalah tidak sah aqiqah tersebut. Ini kerana seekor kambing itu hanya memadai dengan seorang sahaja melainkan unta atau lembu, kerana ianya boleh dikongsikan sehingga tujuh bahagian. Sebagai contoh, seekor unta atau lembu disembelih untuk dikongsikan bagi tujuh orang kanak-kanak.

Seekor unta atau lembu itu juga, dagingnya boleh dikongsikan sama ada kesemua daging itu khusus untuk aqiqah atau pada sebahagiannya untuk daging biasa sahaja ataupun untuk daging korban, asalkan pembahagiannya itu bertepatan iaitu setiap seekor unta atau lembu tidak melebihi daripada tujuh bahagian.

Bilangan binatang bagi anak yang khuntsa

Bagi anak khuntsa (anak yang tidak diketahui jantinanya sama ada lelaki ataupun perempuan), para ulama berbeza pendapat dalam menentukan bilangan binatang aqiqah yang hendak disembelih untuknya.

Ibnu Hajar berpendapat bahawa anak khuntsa sama seperti anak perempuan iaitu memadai disembelih dengan seekor kambing sahaja. (Hawasyi Tuhfah al-Muhtaj: 9/371) Manakala Imam ar-Ramli mengatakan bahawa bagi anak yang khuntsa sunat disembelih dua ekor kambing sama seperti anak lelaki atas jalan berhati-hati (ihtiyathan). (Nihayath al-Muhtaj: 8/149)

Cara menyembelih binatang aqiqah

Cara penyembelihan binatang aqiqah itu sama keadaannya dengan penyembelihan binatang korban, demikian juga perkara-perkara yang disunatkan serta adab-adabnya ketika penyembelihan itu dijalankan.

Menyembelih binatang aqiqah itu ialah dengan memotong kesemua halqum dan mari’ sehingga putus dengan alat yang tajam seperti pisau (bukan tulang atau kuku). Halqum itu ialah tempat keluar masuk nafas dan urat mari’ itu pula ialah tempat laluan makanan dan minuman yang terletak di bawah halqum.

Adalah wajib bagi orang yang menyembelih itu memotong halqum dan mari’ itu. Jika ditinggalkan sebahagian daripada halqum atau mari’ itu (belum putus) dan mati binatang tersebut dalam keadaan yang demikian, maka tiada sempurna sembelihan itu dan ia adalah dikira bangkai. Begitu juga jika telah berhenti gerak binatang yang disembelih itu padahal halqum atau mari’ belum putus, kemudian dipotong semula halqum atau mari’ yang tertinggal itu, maka yang demikian itu pun adalah menjadi bangkai (tidak boleh dimakan).

Disyaratkan binatang yang disembelih itu ada hayat mustaqirrah ketika mula-mula disembelih iaitu ia akan hidup jika tidak disembelih ketika itu. Di antara tanda adanya hayat mustaqirrah itu ialah kuat geraknya ketika dipotong halqum dan mari’nya, dan menyembur darahnya. Mengikut Imam An-Nawawi memadai dengan kuat geraknya ketika disembelih.

Ketika hendak menyembelih binatang aqiqah, sunat dibaca seperti berikut:

Sila lihat lampiran = Aqiqah_01.jpg (http://www.brunet.bn/gov/mufti/irsyad/pelita/2002/Image1.jpg)

Ertinya: "Dengan nama Allah Maha Besar (kerajaanNya). Ya Allah, mohon kurniakan selawat, rahmat dan kebesaran kepada Sayyidina Muhammad, keluarga dan sahabat-sahabat Baginda. Ya Allah, ini aqiqah si Polan."

Binatang yang panjang lehernya seperti unta, sunat disembelih di pangkal leher yang bawah (berhampiran dada) dengan memotong halqum dan mari’, kerana mengikut sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Yang demikian itu juga akan memudahkan roh binatang itu keluar. Sementara binatang yang pendek lehernya seperti lembu, kerbau dan kambing disembelih di hujung leher (yang atas).

Sunat disembelih lembu, kerbau atau kambing dengan dibaringkan binatang itu di atas tanah sebelah rusuk kirinya dan diikat kakinya, sementara kaki kanannya bebas lepas tanpa diikat supaya binatang itu dapat berehat dengan menggerakkan kaki kanannya itu. Sementara unta pula, sunat disembelih dengan didirikan binatang itu. Jika tidak mampu untuk disembelih dalam keadaan unta tersebut berdiri, maka sembelihlah dalam keadaan unta itu duduk. (Mughni al-Muhtaj: 4/341)

***************************

AQIQAH DAN HUKUM YANG BERKAITAN DENGANNYA
(Bilangan 135 Bahagian Akhir)

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu `Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Perkara Sunat Selain Aqiqah Pada Hari Ketujuh

Selain daripada aqiqah yang disunatkan pada hari ketujuh itu ialah sunat dicukur keseluruhan rambut anak yang diaqiqahkan sama ada anak itu lelaki ataupun perempuan. Menurut pendapat yang ashah, sunat mencukur rambut anak itu selepas menyembelih binatang aqiqah. (Al-Majmu‘: 8/324-325)

Sehubungan dengan itu, meskipun amalan bercukur itu adalah sunat, namun terdapat bentuk-bentuk cukuran yang dilarang oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam iaitu apa yang disebut dalam bahasa Arab sebagai qaza‘ ( ). Qaza‘ ialah mencukur sebahagian rambut kanak-kanak dan meninggalkan sebahagian yang lain. Sama ada mencukur di tengah kepala dan meninggalkan yang tepi, mencukur di tepi meninggalkan rambut di tengah atau mencukur rambut depan meninggalkan rambut belakang atau sebaliknya. Semua ini dinamakan qaza‘.

Sementara mencukur keseluruhan rambut tidak disunatkan kecuali bagi orang-orang yang mengerjakan haji atau umrah atau orang yang baru masuk Islam atau anak yang dilahirkan. Manakala perempuan makruh mencukur rambut kecuali dalam keadaan darurat.
(Bujairimi ‘ala al-Khatib: 4/437-438)

Larangan melakukan qaza‘ ini telah disebut dengan jelas di dalam hadis daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma katanya yang maksudnya :

"Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegah daripada melakukan qaza‘ (mencukur sebahagian daripada rambut kepala)." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma yang maksudnya :

"Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melihat seorang kanak-kanak yang dicukur sebahagian rambutnya dan ditinggalkan sebahagian yang lain, lalu Nabi melarang mereka berbuat demikian dan Baginda bersabda: "Kamu cukur (rambut itu) kesemuanya atau kamu tinggalkan kesemuanya (tidak mencukurnya)." (Hadis riwayat Abu Daud)

Sunat disedekahkan emas atau perak hasil daripada timbangan berat rambut yang dicukur itu kepada fakir miskin jika berkemampuan. Jika tidak mampu, maka tidaklah diberatkan ke atas ibu bapa anak tersebut melainkan sekadar yang terupaya, umpamanya digantikan dengan nilaian wang atau sebagainya mengikut kemampuan.

Hal ini bersandarkan kepada hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada ‘Ali bin Abu Thalib katanya yang maksudnya:

"Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah beraqiqah untuk Hasan dengan seekor kambing dan Baginda bersabda: "Wahai Fatimah! Cukurlah kepalanya (rambutnya) dan bersedekahlah seberat timbangan rambutnya itu dengan perak." (‘Ali) berkata: "Lalu dia (Fatimah) timbang (rambut anaknya itu), maka beratnya adalah satu dirham atau setengah dirham." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Sunat dilumuri kepala kanak-kanak itu dengan wangi-wangian seperti za‘faran (kuma kuma) atau khaluf (daripada wangi-wangian yang berwarna kuning dan merah. Makruh dilumuri kepala kanak-kanak itu dengan darah binatang aqiqah. (Al-Majmu‘: 8/324) Sebagaimana di dalam hadis yang diceritakan oleh ‘Abdullah bin Buraidah katanya yang maksudnya :

"Aku pernah mendengar Abu Buraidah berkata: "Kami pada zaman jahiliyyah, apabila salah seorang daripada kami dikurniakan seorang anak lelaki, disembelih seekor kambing dan dilumuri kepalanya (anak itu) dengan darahnya (kambing). Ketika Allah mendatangkan Islam, kami menyembelih seekor kambing dan mencukur rambutnya (anak itu) serta melumurinya (kepala anak itu) dengan za‘faran (sejenis wangi-wangian)." (Hadis riwayat Abu Daud)

Sunat memberi nama anak yang baru dilahirkan pada hari ketujuh daripada kelahiran. Sebagaimana di dalam hadis daripada ‘Amr bin Syu‘aib daripada bapanya daripada datuknya yang maksudnya :

"Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan agar memberi nama kepada anak yang baru lahir pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya, menghilangkan kotoran daripadanya (mencukur rambut) dan membuat aqiqah untuknya." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Bolehlah juga diberi nama anak tersebut pada saat hari dia dilahirkan. Sebagaimana di dalam hadis daripada Anas Radhiallahu ‘anhu katanya yang maksudnya :

"Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: "Anakku lahir pada malam tadi, maka aku beri nama dengan nama datukku iaitu Ibrahim." (Hadis riwayat Muslim dan selainnya)

Bolehlah juga diberi nama anak tersebut sebelum hari ketujuh atau pun selepasnya. (Al-Majmu‘: 8/326)

Jika anak yang meninggal kerana keguguran dan sudah ditiupkan roh ke dalamnya, maka sunat diberikan dia nama. Apabila tidak dikenali apakah dia lelaki atau perempuan, maka diberi nama yang sesuai untuk lelaki atau perempuan seperti Talhah, ‘Umairah dan sebagainya. Demikian juga sunat diberi nama anak yang belum sempat diberikan nama sebelum dia meninggal dunia.

Sunat mengadakan walimah (kenduri) bagi aqiqah itu. Kerana ianya termasuk dalam salah satu yang sunat diadakan kenduri, seperti kenduri kahwin, selepas melahirkan anak, selesai membina bangunan, orang yang terkena musibah, orang yang balik daripada musafir, kenduri kerana hafaz dan khatam al-Qur’an dan berkhatan. (Raudhah ath-Thalibin: 5/646)

Sunat mengkhatan anak damit itu pada hari ketujuh daripada kelahirannya jika anak itu tidak lemah ataupun ianya terdaya untuk berkhatan. (Al-Majmu‘: 1/367) Sebagaimana di dalam hadis Jabir katanya yang maksudnya :

"Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengaqiqahkan Hasan dan Husain dan mengkhatankan keduanya pada hari ketujuh."
(Hadis dikeluarkan oleh al-Baihaqi)

Perbezaan Antara Aqiqah Dan Korban

Kebanyakkan daripada hukum aqiqah dan korban itu mempunyai persamaan, sama ada dalam hukum sedekah, hadiah, makan, menyimpan daging dan menentukan kadar daging yang dimakan adalah sama dan tiada perbezaan di dalamnya.

Walaupun yang demikian itu, ada sedikit perbezaan hukum antara aqiqah dan korban tersebut. Seperti daging aqiqah itu hendaklah dimasak terlebih dahulu, sedangkan korban diberikan dalam keadaan mentah. Daging aqiqah jika diberikan kepada orang kaya nescaya akan menjadi miliknya, manakala daging korban jika diberikan kepada orang kaya tiadalah orang kaya itu memilikinya, hanya untuk dimakannya sahaja.

Demikian juga, ada perbezaan dari segi waktu. Amalan berkorban itu dituntut waktunya pada Hari Raya Adha dan hari-hari Tasyriq iaitu hari ke sebelas, dua belas dan tiga belas daripada bulan Zul Hijjah. Sementara aqiqah pula tidak terikat dengan waktu.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90