Top Ad 728x90

Khazanah Sungai Paka

Suatu ketika dulu, Paka hanyalah perkampungan nelayan di daerah Dungun, Terengganu.

Berikutan peredaran waktu, ia kini membangun pantas seiring dengan kesan pembinaan kompleks petroleum di bandar Kerteh, terletak berhampiran. Nikmat pembangunan yang dikecapi turut membawa limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan.

Berbanding 60 atau 70 tahun lalu, Paka kini mempunyai beberapa hotel penginapan. Asalnya, ia dibina untuk menampung permintaan daripada pekerja industri berkaitan gas dan petroleum, kini ia mendapat tempat di kalangan pelancong.

Latar konkrit dengan prasarana moden bagaimanapun, masih tidak mengikis wajah perkampungan tradisional di sekitar Paka.

Kesibukan bot nelayan ke laut lepas adalah pemandangan biasa yang menjadi nadi ekonomi penduduknya.

Jika tidak meredah gelombang lautan, nelayan mengisi masa membaiki jala dan bot, manakala kaum wanitanya sibuk memproses udang dan ikan untuk dijadikan produk makanan kering.

Amat mudah juga untuk bertemu dengan keropok lekor - hidangan popular di pantai timur.

Untuk menyaksikan warna-warni kehidupan masyarakat nelayan ini, pengunjung boleh menyertai pakej ‘river cruise’ Sungai Paka tidak jauh dari pusat bandar kecil ini.

Sungai terletak 30 kilometer (km) dari Kuala Dungun ini kini popular sebagai salah satu tarikan pelancongan di Terengganu.

Hutan paya bakau yang masih terpelihara berhampiran kawasan kuala ini menjadi kediaman kepada pelbagai spesies flora dan fauna.

Kebanyakan warga tempatan gemar berkunjung ke sungai ini bagi melepaskan gian atau mencuba nasib untuk menaikkan udang galah.

Sepanjang perjalanan menyusuri sungai ini, pengunjung pasti terpesona dengan kehadiran pelbagai spesies burung yang menjadikan hutan bakau ini sebagai kediaman mereka.

Kelibat helang, enggang dan bangau juga sering kelihatan di tebing sungai menanti rezeki mereka.

Jika anda bernasib baik, anda akan berpeluang untuk mengambil gambar burung yang bertenggek di dahan pokok.

Ada kalanya, ia akan berlegar di permukaan air sebelum terbang rendah, melancarkan serangan hendap terhadap ikan, ular atau unggas yang menjadi sumber makanan.

Di beberapa kawasan, pengunjung dapat menyaksikan dusun dengan pelbagai pohon buah-buahan tempatan termasuk limau, durian, manggis, langsat, duku dan rambutan.

Tambah menarik, apabila melihat pelbagai warna buah yang berjuntaian di pohon berdekatan tebing sungai.

Selain godaan udang galah dan pelbagai spesies ikan, rata-rata pengunjung terutama yang datang dari luar Terengganu mengunjungi Sungai Paka semata-mata untuk melihat pemandangan kelip-kelip, setanding dengan apa yang didapati di Sungai Yakyah di Kampung Ibok, Kijal.

Mereka yang berhasrat untuk melihat keajaiban unggas yang turut dikenali dengan nama kunang-kunang ini hanya boleh menyaksikannya selepas senja.

Kerlipan unggas merubah pemandangan pohon bakau sehingga menjadikannya tidak ubah seperti pohon Krismas di sepanjang tebing Sungai Paka.

Jadi, apa lagi, hubungi hotel penginapan sekitar Paka, untuk menyertai pengalaman seumur hidup ini!



>Info

PENGINAPAN

Rumbia Resort Villa, Paka

Tel: 09-8272020

Faks: 09-8272759.



Residence Resort Paka

Tel: 09-8273366

Faks: 09-8273388



RUJUKAN PERCUTIAN

Sekretariat Kerajaan Negeri Terengganu

Tel : 609-623 1957 / Faks : 609-624 6989

Emel: ppp@terengganu.gov.my

http://www.tourism.terengganu.gov.my



PUSAT MAKLUMAT PELANCONG

Jalan Sultan Zainal Abidin

20000 Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman

Tel: 09-622 1553

Faks : 09-622 1957



Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir

Tel : 09-626 7788 / 666 8498

Faks : 09-666 7657 / 666 8979



Geliga

Tel: 09-868 7600

Faks : 09-622 1957

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90