Top Ad 728x90

Lagenda Kasut Bata

Setiap dari kita walaupun sekali dalam seumur hidup pastinya pernah menggunakan kasut berjenama Bata yang sememangnya terkenal sebagai satu jenama kasut yang mampu dimiliki.

Jenama Bata itu sendiri telah telah melalui sejarah yang panjang sebelum menjadi satu jenama yang gah dan dikenali hampir di semua peringkat usia di seluruh dunia.

Penulis masih ingat lagi ketika melalui zaman persekolahan, memiliki kasut berjenama Bata, sudah dianggap sebagai anak orang berada dan pastinya pelajar wanita akan mengerling kepada penulis bukan kerana orangnya tetapi kerana kasut yang dipakai.

Jenama Bata mula dikenali di Malaysia atau Malaya pada waktu itu, apabila kedai Bata pertama di negara ini dilancarkan pada 1930 di bangunan Capitol, Singapura.

Lima tahun kemudian, kilang kasut Bata ditubuhkan di Klang, Selangor untuk pasaran dalam dan luar negara.

Namun kelmarin orang yang bertanggung jawab membina dan memajukan jenama Bata sebagai satu jenama yang unggul di dunia, Thomas J. Bata meninggal dunia pada usia 93 tahun.

Beliau yang dilahirkan pada 17 September 1914 di Zlin, Czechoslovakia dan berasal dari sebuah keluarga yang sememangnya telah menceburi bidang pembuatan kasut secara turun temurun sejak lebih tiga ratus tahun lalu.

Mendiang bapanya Tomas Bata, merupakan pengasas dan orang yang bertanggung jawab mewujudkan industri kasut ini di wilayah Zlin, Czechoslovakia pada 1894.

Bersama-sama dengan ahli keluarganya Anna dan Antonin Bata, mereka bertanggung jawab kepada penubuhan syarikat ini yang kini menjadi satu fenomena dalam industri kasut.

Sejarah

Pada permulaannya mereka hanya beroperasi di sebuah ruang kecil dengan tenaga kerja seramai empat orang.


Namun hasil kesungguhan dan keupayaan mereka, kilang pertama Bata dibina pada 1900 dan agensi pertamanya di luar negara ialah di Jerman, negara-negara Balkan dan Timur Tengah pada 1909.

Perniagaan beliau semakin menguntungkan dengan tercetusnya perang dunia pertama pada 1914.

Syarikat tersebut telah mengeluarkan lebih dua juta pasang kasut dalam setahun dengan lebih 10,000 pasang kasut dikeluarkan dalam masa sehari melalui 5,000 orang pekerja ketika Perang Dunia pertama berlangsung.

Bagaimanapun berikutan dari hutang yang berlambak akibat penghantaran yang tidak dibayar ke negara Austria Hungary (kerajaan yang baru ditubuh, Chechoslovakia tidak mengiktiraf hutang tersebut) mereka terpaksa mengurangkan pengeluaran kepada 1,700 sehari dan mengambil beberapa langkah untuk menjimatkan operasi.

Bagaimanapun di bawah kepimpinan Tomas beliau banyak memperkenalkan revolusi baru dalam bidang pengurusan kilang serta banyak mempelajari teknik pengurusan dari pengeluar kereta terkenal Amerika Syarikat (AS), Henry Ford.

Beliau sememangnya terkenal dengan kesedaran sosial yang tinggi terhadap pekerjanya malah turut mewujudkan sebuah bandar industri yang lengkap dengan kawasan perumahan, pendidikan malah wayang gambar untuk kegunaan para pekerjanya.

Ungkapan “Bekerja secara berkumpulan dan hidup bersendirian” merupakan kata-kata semangat yang diperkenalkan Tomas dalam memberi semangat kepada pekerjanya.

Malah beliau turut diberi gelaran “Henry Ford Eropah Timur” kerana menggunakan kaedah pengeluaran secara besar-besaran bagi menjimatkan kos pengeluaran.

Beliau juga melihat teknologi sebagai alat untuk memajukan lagi perniagaan dan mahu mengeluarkan kasut pada harga yang murah bagi membolehkan orang ramai mampu memilikinya sekaligus jumlah penggunaan kasut keluarannya meningkat berkali ganda.

Bagaimanapun beliau meninggal dunia pada 1932 setelah pesawat yang dinaikinya terhempas di Lapangan Terbang Zlin ketika cuba berlepas dalam keadaan cuaca buruk.

Pada ketika itu, syarikatnya Bata telah mengambil 16,560 orang sebagai pekerja, menguruskan 1,645 buah kedai kasut dan sebanyak 100,000 pasang kasut dikeluarkan dalam sehari menjadikan Bata sebagai pengeksport utama kasut di dunia.

Adik Tomas, Jan Antonin Bata kemudiannya dilantik untuk memimpin syarikat Bata dan di bawah pengurusannya beliau telah berjaya meluaskan lagi empayar perniagaan ke 63 negara serta terlibat dalam beberapa industri lain antaranya dalam industri tayar, tekstil, perlombongan, perfileman malahan pembuatan pesawat.

Beliau turut membangunkan beberapa bandar industri baru di serata dunia berdasarkan wawasan ‘Bandar Harapan’ antaranya di Bataipora, Batatuba dan Bataguassu di Brazil serta di Perancis, Belanda, Belgium, AS dan India.

Sebelum Perang Dunia ke Dua tercetus, syarikat Bata telah mempunyai pekerja seramai 105,770 orang dan sebanyak 30 juta kasut telah dijual di lebih 30 negara.

Bagaimanapun akibat perang ini keluarga Bata terpaksa melarikan diri ke Kanada selepas tentera Nazi menjajah Czechoslovakia dan Antonin ditahan oleh pihak yang pro komunis selepas Perang Dunia Kedua tamat.

Kesemua industri Bata dimilik negarakan oleh kerajaan komunis mengakibatkan syarikat Bata terpaksa memulakan semula perniagaannya melalui syarikat milik mereka di luar negara.

Keadaan ini telah memaksa anak kepada pengasas Bata iaitu Thomas J. Bata memulakan operasi perniagaan mereka di Batawa, Toronto di Kanada sebelum melangkah lebih jauh dengan pembinaan kilang baru serta menjadikan kawasan ini sebagai ibu pejabat baru Bata.

Di bawah kepimpinan Thomas Junior, beliau telah memperkemaskan lagi sektor pemasaran, reka bentuk, peruncitan, pembuatan dan pengagihan menjadikan syarikat ini antara pengeluar kasut yang paling disegani di seluruh dunia.

Beliau juga melancarkan beberapa label baru bersesuaian dengan imej pasaran yang disasarkan bagi mempelbagaikan lagi industri ini.

Thomas akhirnya kembali ke negara asalnya yang kini dikenali sebagai Republik Czech pada 1989, dan membeli kembali syarikat Bata yang masih wujud di sana namun membuat keputusan untuk kembali semula ke Kanada.

Selepas dunia mengalami perubahan dalam pelaksanaan ekonomi sekitar tahun 1990-an, Bata turut menutup hampir kesemua kilangnya yang beroperasi di negara-negara maju seperti di AS, Perancis, dan England.

Tindakan ini mengakibatkan beribu-ribu peluang kerja terpaksa ditamatkan dan hanya mengekalkan rangkaian kedai untuk beroperasi di negara ini.

Membanggakan

Mereka hanya mengekalkan operasi di negara-negara membangun seperti di India dan Zimbabwe.

Thomas akhirnya meletak jawatan sebagai Pengerusi Kumpulan Bata dengan kejayaan yang begitu membanggakan serta berjaya menonjolkan lagi nama syarikat itu ke seluruh dunia dunia.

Beliau menyerahkan jawatan tersebut kepada salah seorang cucu Tomas, Thomas G. Bata pada 2001.

Syarikat ini kini beribu pejabat di Lausanne, Switzerland dan beroperasi berdasarkan empat unit utama iaitu,

lBata Eropah bertempat di Lausanne.

lBata Asia Pasifik-Afrika bertempat di Singapura

lBata Amerika Latin bertempat di Mexico City

lBata Amerika Utara bertempat di Toronto

Terdapat pelbagai koleksi kasut yang dikeluarkan Bata mewakili semua golongan dan peringkat usia antaranya Power untuk aktiviti sukan, Marie Claire untuk wanita, Bubblegummers untuk kanak-kanak serta pelbagai keluaran lain.

Sehingga kini syarikat ini menjual sebanyak satu juta kasut sehari, mempunyai pekerja seramai 40,000 orang, mempunyai 4,600 kedai di seluruh dunia di lebih 50 negara serta memiliki 40 kilang di 26 buah negara.

Sejumlah 14 bilion pasang kasut pula telah dijual dan dipakai oleh penduduk di serata dunia sejak dari awal penubuhannya sehingga kini.

Maka benarlah seperti kata pepatah, “Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”. Dan inilah yang berlaku kepada keluarga Bata kerana nama dan sejarah perniagaan mereka pastinya akan terus dikenang sebagai antara jenama dan perusahaan kasut terunggul dunia.

MUZIUM KASUT BATA

Muzium kasut Bata dibuka kepada umum secara rasminya pada 6 Mei 1995 dan terletak di 327 Bloor Street West, Toronto, Kanada.

Bangunan muzium unik ini seluas 11,888 meter persegi ini direkebentuk oleh firma Moriyama dan Teshima. Ia seterusnya menjadi tumpuan pelancong dan peminat koleksi kasut seluruh dunia.

Isteri Thomas J. Bata, Sonja Bata adalah orang yang bertanggungjawab terhadap pembinaan dan pengumpulan bahan dan koleksi kasut yang terdapat dalam muzium ini.

Penglibatan beliau dalam industri kasut global serta kekerapan mengembara ke serata dunia atas tujuan perniagaan membolehkan beliau membina sebuah muzium yang mengumpulkan pelbagai koleksi dan jenis kasut terbaik dunia.

Secara khususnya muzium ini beroperasi sebagai pusat kajian kasut antarabangsa di samping mengekalkan pameran koleksi kasut Bata selain daripada menjalankan kajian, membiayai kajian mengenai kasut serta mempromosikan pengajian dan pembelajaran.

Sejarah penubuhan muzium ini bermula pada 1979 apabila tempat simpanan kasut Sonja makin berkurangan. Beliau bersama-sama ahli keluarga Bata yang lain kemudiannya mengasaskan Yayasan Muzium Kasut Bata.

Yayasan ini bertanggung jawab membuat kajian dan pencarian mengenai kasut di kawasan dan negara-negara yang semakin mengalami perubahan berikutan kemajuan dalam bidang teknologi.

Antara kawasan kajian tersebut ialah kawasan orang asli di Amerika Utara, Siberia, Alaska, Greenland serta di beberapa negara di Eropah dan Asia.

Hasil kajian ini telah melahirkan banyak makalah akademik antaranya The Typology of Native Footwear, Feet and Footwear in Indian Culture dan Spirit of Siberia: Traditional Native Life.

Objektif utama yayasan ini adalah menjalankan satu pusat antarabangsa untuk kajian mengenai kasut.

Namun akhirnya muzium kasut Bata dibina bagi menyimpan semua kajian, khazanah dan koleksi kasut yang dikumpul.

Misi utama muzium kasut Bata ini selain menyimpan pelbagai koleksi unik mengenai kasut adalah untuk menyumbang dari segi ilmu dan pemahaman mengenai kasut kepada pembangunan sosial dan budaya masyarakat di seluruh dunia.

Melalui kajian, pencarian, pemulihan serta proses komunikasi dan pameran yang dijalankan berdasarkan sejarah kasut dan pembuatannya, muzium ini menonjolkan kehidupan manusia melalui kebudayaan dan adat resam manusia.

Koleksi kasut di muzium ini kini mencecah 12,500 pasang yang didapati dari seluruh dunia dan berusia seawal 4,500 tahun.

Sehingga kini antara koleksi yang terdapat di muzium ini terdiri daripada pelbagai jenis kasut yang diperoleh dari seluruh dunia termasuk koleksi antik sejak dari awal kurun peradaban manusia lagi sehingga fesyen kasut terkini.

Antara koleksi yang terdapat di sini ialah kasut sutera sulaman Cina, kasut kulit beruang yang dipakai ahli samurai Jepun malah terdapat sepasang kasut yang diperbuat dari rambut manusia.

Malah kasut platform tinggi yang dilengkapi sutera buatan Venice yang diperoleh dari kurun ke 16 serta pelbagai koleksi kasut tumit tinggi lain boleh didapati di sini.

Dalam erti kata lain, pereka terkenal seperti Salvatorre Ferragamo bukanlah pereka pertama yang memikirkan tentang rekaan kasut platform sebegini, malah jika berdasarkan sejarah, mereka mungkin orang yang terakhir kerana sejarah telah mengajar segalanya tentang rekaan kasut.

Antara koleksi lain yang mendapat perhatian ialah kepelbagaian koleksi kasut golongan masyarakat asli Amerika dan Kanada. Kebanyakan kasut ini diperoleh ketika kajian mengenai sejarah pembuatan kasut di kawasan berkenaan.

Yang paling menarik perhatian pastinya koleksi kasut milik selebriti dari pelbagai zaman.

Antara koleksi menarik ialah kasut but Cowboy milik Robert Redford, but John Lennon Beatle, kasut kulit berwarna biru milik Elvis Presley dan pelbagai koleksi menarik lain.

Sudut arkeologi pula menampilkan pelbagai koleksi kasut sejak awal peradaban manusia. Antaranya sandal sarcophagi Mesir, lampu diperbuat dari gangsa berbentuk sandal dan pelbagai lagi.

Namun, apa yang lebih penting kasut sebenarnya mewakili gaya dan keperibadian seseorang. Malah ia menonjolkan gaya hidup seseorang melalui keadaan sekelilingnya, pekerjaannya, malah pemikiran dan agama yang dianuti.

Sama ada ia merupakan objek untuk kecantikan dan penderaan, sesungguhnya kasut merupakan petunjuk dalam sejarah kehidupan manusia.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90