Top Ad 728x90

Raja Thai terkaya di dunia


Disebalik segala larangan dan rahsia yang menyelubungi istana Thailand, kajian ahli akademik baru-baru ini mendapati Raja Bhumibol Adulyadej adalah manusia terkaya di dunia ketika ini.

Pada tahun lalu, majalah bisnes antarabangsa, Forbes, menganggarkan kekayaan Bhumibol berjumlah AS$5 bilion (RM16.94 bilion) dan sesetengah pihak lain mendakwa ia bernilai AS$8 bilion (RM27.1 bilion).

Tahun ini — hasil kajian akademik yang teliti ke atas cabang pelaburan diraja, Biro Hartanah Diraja — kekayaan Bhumibol dikatakan bernilai AS$35 bilion (RM118.56 bilion).

Disenaraikan di tempat kelima tahun lalu, kali ini Bhumibol mengatasi semua tokoh bilionair dunia, termasuk Presiden Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Khalifa Zayed al-Nahyan; pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz; Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid al-Maktoum.

Pemilikan pelbagai bangunan dan tanah di Thailand menjadikan Biro Hartanah Diraja seolah-olah tuan tanah terbesar di negara itu. Antara kekayaan dimiliki biro berkenaan ialah memiliki satu pertiga daerah tengah Bangkok yang menjadi pusat aktiviti perniagaan negara berkenaan.

Biro itu turut menguasai 30 peratus saham Siam Cement Group dan 25 peratus ekuiti Siam Commercial Bank.

Pada 2005, istana bertindak ‘luar biasa’ apabila memberi kebenaran kepada sejarawan ekonomi, Porphant Ouyyanont, akses tanpa had mengenai data biro berkenaan.

Porphant — pakar ekonomi Universiti Terbuka Sukhotai Thammatirat — mendedahkan bahawa aset dimiliki Biro Hartanah Diraja bernilai AS$27.4 bilion (RM92.82 bilion) pada penghujung 2005.

Laporan itu diterbitkan Journal of Contemporary Asia di United Kingdom, Februari lalu. Penasihat Biro Hartanah Diraja, Aviruth Wongbuddhapitak, berkata anggaran itu terlalu tinggi tetapi masih boleh diterima akal.

“Kita tahu harga semasa tanah dan modal syarikat dimiliki biro berkenaan. Secara keseluruhan, tiada kesilapan besar dalam laporan itu,” katanya mengenai kajian Porphant itu.

Anggaran berkenaan boleh dipertanggungjawabkan, antara lain disebabkan peningkatan nilai mata wang baht sejak 2005.

Sehingga kini tiada siapa di luar lingkungan biro itu tahu setepatnya di mana lokasi harta dimiliki istana Thailand.

Bagaimanapun, antara pegangan paling bernilai biro itu adalah di bahagian bandar tertua Bangkok, termasuk pelbagai mercu tanda bandar raya itu. Dari Chinatown hingga ke Ratchadamnoen, harta biro itu melebar ke Pulau Ratanakosin dan sepanjang bahagian selatan Sungai Chao Phraya.

Biro itu turut memiliki banyak bangunan kerajaan di kawasan pinggir sungai utama negara itu, berhampiran hotel lima bintang serta tanah komersial di daerah Silom dan Sathorn.

Biro Hartanah Diraja turut memajak tanahnya kepada syarikat gergasi, Siam Paragon dan plaza beli-belah CentralWorld, bangunan Pasaran Saham Thailand, Pusat Konvensyen Ratu Sirikit dan bangunan pejabat Sermit and Sinthorn.

Menurut Aviruth, biro itu menguasai 1,413.6 hektar tanah di tengah Bangkok dan berdasarkan penilaian firma tempatan, ia bernilai AS$31 bilion (RM105 bilion) ketika ini.

Walaupun Biro Hartanah Diraja menyatakan pemilikannya di Bangkok hanya bernilai AS$9 bilion (RM30.5 bilion), Aviruth berkata, nilai itu adalah kos dikeluarkan ketika pembelian dibuat.

“Ia tidak mengambil kira pertambahan nilai hartanah dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurut Aviruth, biro itu juga menguasai 5,058.6 hektar tanah di seluruh Thailand. Bagaimanapun, tiada data anggaran didapati sama ada daripada Porphant atau biro itu.

Anggaran dibuat Porphant bagi kekayaan Biro Hartanah Diraja juga tidak menyertakan sama nilai tanah berkenaan.

Hasil penelitian Porphant terhadap rekod sewa dan cukai dikutip pada 2005, Biro Hartanah Diraja menjana pendapatan sebanyak AS$56 juta (RM189.7 juta) dan dianggarkan sebanyak AS$79 juta (RM267.7 juta) mengikut harga pasaran ketika ini.

Porphant menjangkakan, sejak 1999 pendapatan daripada cukai dan sewa itu meningkat sekurang-kurangnya lima kali ganda.

Penulis, Paul Handley, berpendapat biro itu masih mengenakan cukai atau sewa lebih rendah berbanding nilai semasa.

“Tindakan itu dibuat untuk memberi kesan jangka panjang,” katanya.

Pegangan 30 peratus saham dalam Siam Cement Group — syarikat kedua terbesar di Thailand — pula dianggarkan bernilai AS$1.9 bilion (RM6.44 bilion), manakala 25 peratus ekuiti Siam Commercial Bank menjana kekayaan bernilai AS$1.1 bilion (RM3.73 bilion).

Sehingga Julai lalu, Biro Hartanah Diraja turut menguasai keseluruhan syarikat Deves Insurance dengan nilai AS$65 juta, selain kepentingan dalam pelbagai syarikat awam atau persendirian bernilai AS$600 juta.

Porphant mengetepikan nilai pelbagai syarikat pegangan saham lain milik Bhumibol, 80, dalam kajiannya. Ia juga tidak dimasukkan dalam anggaran dibuat Forbes.

Kebanyakan tanah berkenaan diserahkan kepada keluarga diraja dengan niat baik sejak berdekad lalu.

Sesetengahnya oleh petani yang tidak mempunyai waris atau percaya ia akan digunakan untuk kebaikan oleh istana Thailand.

Tanpa maklumat sahih, dipercayai kekayaan diurus Biro Hartanah Diraja itu dimanfaatkan Bhumibol dan isterinya, Permaisuri Sirikit, 76; empat anak, seorang menantu wanita, Puteri Vajiralongkorn dan lima cucu mereka.

Hampir semua 600 kakitangan biro itu bertugas menguruskan hartanah dimiliki dan kurang daripada 10 lagi menguruskan aset kewangan.

Sementara itu, Thailand menganggap laporan majalah Forbes mengenai kekayaan Bhumibol sebagai ‘tidak tepat dan tidak konsisten’.

Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar, perkiraan dibuat majalah berkenaan salah kerana menganggap pemilikan Biro Hartanah Diraja sebagai kekayaan raja berkenaan.

“Biro Hartanah Diraja adalah institusi ‘dimiliki semua rakyat Thailand’ dan menguruskan aset diraja Thailand,” katanya.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90