Top Ad 728x90

Selepas 51 tahun merdeka

Sambutan ulang tahun kemerdekaan tanah air ke-51 yang berlangsung kelmarin tidak harus berhenti setakat meraikan kejayaan kita mempertahankan negara daripada unsur-unsur penjajahan.

Ketakutan dan kekalutan yang menerjah kita di kala ini bukan sama seperti mana yang dihadapi para pejuang kemerdekaan setengah abad yang lalu.

Perjuangan mendapatkan kemerdekaan telah pun berjaya mereka laksanakan. Kini perjuangan mengisi agenda selepas kemerdekaan itulah yang sedang kita hadapi.

Apa yang kita khuatir adalah bila menyaksikan nilai-nilai kemerdekaan itu semakin menyimpang dan seolaholah hilang arah tuju.

Pepatah pujangga mencatitkan bahawa memperolehi kemenangan tidak sukar tetapi mempertahankannya adalah suatu cabaran yang besar.

Ini bukan kenyataan kosong tanpa bersandarkan fakta tetapi ia disokong oleh bukti kukuh yang kita boleh saksikan saban waktu terutama sejak akhirakhir ini.

Dari utara sampai ke selatan, dan dari timur sampai ke barat tidak langsung menunjukkan sebarang tanda-tanda khusus mengenai kedatangan hari yang bersejarah ini.

Kibaran bendera baik di pejabat, kediaman mahupun di kenderaan nampaknya masih suram.

Yang pastinya, hanya media sahaja yang masih melaungkan panggilan hari keramat tersebut.

Apakah rakyat negara ini sudah lupa mengenai tarikh tanggal 31 Ogos atau mereka sekali lagi ingin menghantar mesej secara jelas selain mesej pilihan raya yang baru berlalu?

Mungkin juga himpitan hidup, kebencian terhadap kemelut politik yang tidak kunjung padam dan peningkatan jurang ekonomi yang semakin membesar telah menukarkan manusia sopan di negara ini menjadi begitu radikal. Hingga tergamak mempamerkan satah negara secara terbalik.

Perbuatan cemar dan sikap kurang ajar ini belum pernah berlaku dalam sejarah negara ini.

Malangnya ia telah pun berlaku menjelang tibanya hari sambutan ulang tahun kemerdekaan yang ke-51.

Generasi muda pascamerdeka telah menonjolkan pelbagai gejala kebobrokan sahsiah diri. Ini telah menjadi ancaman yang boleh menyebabkan keruntuhan negara bangsa yang sudah terbina kukuh sebelum ini.

Sebagai bukti, paparan media saban hari menyajikan berita adegan ngeri jenayah, pembunuhan, kematian, ponteng sekolah, gangsterisme, rogol, ragut, merokok, dan pembuangan anak yang amat merimas dan menyesakkan dada kita. Hasilnya, ia telah menenggelamkan pelbagai kejayaan yang telah mampu kita capai dewasa ini.

Tingkah laku yang berubah menjadi agresif, kehilangan nilai Timur, pegangan agama, budi bahasa serta sopan santun rakyat negara ini bukannya tidak disedari. Mengungkap kata-kata Timbalan Perdana Menteri sewaktu di Permatang Pauh sempena pilihan raya kecil baru-baru ini, beliau telah menyaksikan betapa ganasnya generasi muda masa kini.

Tentu ada sesuatu yang tidak kena. Tentulah pula ia bukan muncul tiba-tiba dan sudah pastilah juga bunga-bunga ini tidak akan berkembang tanpa berputik terlebih dahulu.

Mungkinkah kita masih boleh terus menuding jari kepada mana-mana pihak atau individu supaya bertanggung jawab ke atas apa yang berlaku pada hari ini tanpa mengambil sebarang langkah untuk membantu mengatasinya secara bersama?

RealitiKita patu sentiasa menyedari bahawa realiti kehidupan adalah umpama irama dan lagu dan 'Yin' dan 'Yang' atau air dan udara supaya perseimbangan dapat diwujud.

Kerana itu, dalam memenuhi aspirasi generasi muda untuk berjaya, kayu pengukur yang betul mestilah dicari. Kerana kejayaan sebenar tidak boleh digambarkan hanya dari aspek material atau fizikal sahaja tetapi ia turut juga merangkumi aspek moral dan spiritual.

Generasi muda kita kini melihat cabaran-cabaran kehidupan adalah umpama mereka melihat cabaran Malaysian Idol, Akademi Fantasia, Geng Starz ataupun pelbagai rancangan realiti televisyen yang sering disogokkan saban waktu.

Dengannya, keghairahan mencapai impian menjadi terkenal, kaya, dan mewah tidak diseimbangkan dengan tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.

Tanpa disedari budaya baru ini telah menghakis jati diri dan menjadi neraca dalam membuat pertimbangan untung rugi yang lebih bersifat material semata-mata.

Ia tidak mudah untuk diakui, tetapi apakah perkataan lain yang boleh digunakan bagi menjelaskan fenomena ini?

Ia keras dan pahit untuk ditelan tetapi perlu diberi perhatian bagi memperbaiki keadaan. Para pemimpin, pentadbir dan pembuat dasar jangan hanya pandai bercakap dan berkokok di atas singgahsana yang telah dibina oleh pejuang merdeka dari darah, keringat dan air mata mereka. Dikhuatiri rakyat yang sudah pandai menilai mengibaratkan kita seperti seekor ayam jantan yang kokoknya berderai tetapi ekor bergelumang tahi.

Kita sudah melabur berjut-juta dan berbilion-bilion ringgit untuk projek mega seperti aeroangkasa, bangunan tertinggi dan kompleks gagah seluruh pelosok negara. Tetapi tahap kemiskinan dan pengangguran masih tidak berganjak atau hanya klise politik semata. Inilah menjadi barah yang semakin menular.

Orang yang lapar tidak akan mampu berfikir, anak yang terbiar kerana kesibukan ibu bapa mencari rezeki akan mencari jalan keluar yang tidak terduga oleh minda kita.

Oleh itu, marilah kita perbaharui semangat merdeka ini dengan pengisian yang baru melalui muhasabah diri dan menanam iltizam untuk menyumbang kepada pembangunan pertiwi secara total. Ia tidak semata-mata ditunjukkan dengan kibaran bendera, perarakan raksasa, laungan, pekikan, percikan bunga api, kereta berhias dan konsert hiburan. Tetapi perlu diterjemahkan melalui tindakan positif secara berterusan.

Jangan terlalu asyik merenung bintang di langit hingga rumput di laman dipijak. Kegemilangan negara dengan semangat Malaysia Boleh mestilah terus dipertahankan dan kemelut semasa perlu segera diambil tindakan dengan gigih.

Kita yakin sekiranya ia dilaksanakan sudah tentu dapat mengatasi segala kemelut yang melanda dengan jayanya.

Mari kita berdoa, bermunajat dalam apa juga cara anutan yang diamalkan supaya jadikanlah negara ini negara yang aman, tenteram dan terhindar daripada sebarang mara bahaya dan bala bencana.

Mudah-mudahan warga kita dapat hidup sempurna dan tidak menjadi manusia yang cacat moralnya serta akhlaknya dan menjadi hebat dalam pencapaian mereka.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90