Top Ad 728x90

Zakat bersih jiwa

DALAM surah al-A’la, ayat 14 dan 15 menjelaskan: “Sesungguhnya berjayalah orang yang berusaha membersihkan dirinya (dengan amal yang soleh). Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mengerjakan solat.”

Berdasarkan satu hadis diriwayatkan Ibn Khuzaimah, Rasulullah s.a.w pernah ditanya mengenai ayat berkenaan dan baginda menerangkan, yang ayat terbabit diturunkan mengenai zakat fitrah.

Demikian juga menurut satu lagi riwayat daripada Saidina Ali; maksud membersihkan diri pada ayat terbabit ialah mengeluarkan zakat fitrah dan ‘menyebut nama Tuhan serta mengerjakan solat’ ialah mengucap takbir pada hari raya dan mengerjakan solat hari raya.

Zakat fitrah ialah zakat badan yang diwajibkan ke atas umat Islam kerana berakhirnya bulan Ramadan dan dikeluarkan mengikut peraturannya.

Ia disyariatkan pada Sya’ban tahun kedua hijrah dengan beberapa tujuan, antaranya untuk membersihkan diri orang yang mengerjakan puasa daripada perkataan buruk dan sia-sia serta memberikan kelapangan kepada orang miskin untuk menyambut hari raya.

Sebagaimana ibadat yang lain bergantung kepada batas waktunya, ibadat zakat fitrah juga tidak terkecuali, malah menurut ulama, orang yang melengahkan zakat fitrah sehingga terlepas waktu yang ditentukan bukan saja berdosa, bahkan tetap wajib membayarnya selepas itu.

Jika ia tidak dibayar, ia tetap menjadi hutang yang ditanggung individu terbabit, sehingga ia menjelaskannya suatu ketika nanti walaupun pada akhir hayatnya, menunjukkan besarnya kewajipan berzakat dan tidak boleh dipandang ringan walaupun jika dibandingkan dengan kadar nilainya beberapa ringgit.

Mazhab Syafie membahagikan kepada lima waktu iaitu waktu harus (pada awal bulan Ramadan), waktu wajib (apabila masuk matahari pada akhir bulan Ramadan), waktu fadilat/afdal (sebelum keluar untuk mengerjakan solat hari raya), waktu makruh (jika diakhirkan selepas solat hari raya dengan tiada uzur) dan waktu haram (diakhirkan hingga selepas hari raya dengan tiada uzur).

Benda yang dijadikan zakat fitrah ialah makanan utama sesebuah tempat seperti beras di Malaysia dan kadarnya ialah segantang Baghdad, bersamaan tiga cupak sukatan Malaysia atau tiga kati dua belas tahil atau dua kilogram 250 gram.

Makanan utama sebagai zakat fitrah menjadi pegangan dalam mazhab Syafie, kecuali disebabkan beberapa perkara seperti berlaku darurat atau diperintahkan oleh pihak berkuasa, lalu diharuskan membayarnya dengan wang sebagai ganti makanan seperti beras.

Diharuskan juga kerana adanya aturan daripada pemerintah terhadap sistem zakat fitrah dengan wang kerana beberapa alasan yang bertujuan baik, seperti asnaf yang lapan terutama fakir miskin lebih bersedia menerima wang berbanding beras.

Hari ini masyarakat secara umumnya menunaikan zakat fitrah dengan wang sebagai ganti beras disebabkan ada kelapangannya, sama ada daripada pihak yang menunaikan zakat atau penerimanya berdasarkan kadar yang ditetapkan di negeri masing-masing.

Kadar zakat yang ditetapkan umumnya berbeza-beza pada setiap tahun dan di antara negeri, berdasarkan beberapa faktor seperti kos barang dan sara hidup, namun kadangkala kadar yang ditetapkan di kawasan kota lebih rendah berbanding di negeri yang kos hidupnya tidak seberapa.

Bagi tahun ini, kadar zakat fitrah di Johor RM6.50, Kedah RM7, Kelantan RM7.60, Melaka RM6.30, Negeri Sembilan RM6.50, Pulau Pinang RM5, Pahang RM7.30, Perak RM7, Perlis RM6 - RM7, Sabah RM7.20, Sarawak RM7.50, Selangor RM5.20, Terengganu RM6 -RM8 dan Wilayah Persekutuan RM5.20.

Mengenai pelaksanaan ibadat zakat fitrah dengan wang, ulama ada memberikan sedikit huraian:

- Tidak sah jika diniatkan wang menjadi zakat fitrah, mengikut mazhab Syafie seperti niat: “Wang ini untuk fitrah yang wajib atasku, bagi diriku dan orang-orang tanggunganku.”

Tetapi harus digantikan makanan dengan wang dan hendaklah diniatkan seperti berikut: “Wang ini ialah ganti beras fitrah yang wajib atasku, bagiku dan bagi (orang-orang) tanggunganku pada tahun ini.”

- Harus menunaikan zakat fitrah dengan wang sebagai ganti beras (makanan) dalam mazhab Syafie tetapi lebih afdal dengan makanan. Dalam mazhab Hanafi, lebih afdal dengan harga daripada makanan.

Dari sini, dapat diperhatikan juga aspek penting yang menentukan sah atau tidak ibadat zakat fitrah ialah niat. Ini juga sesuai dengan hadis Bukhari yang menerangkan, setiap amalan adalah berdasarkan niat.

Waktu berniat ialah ketika menyerahkan zakat. Boleh juga didahulukan sewaktu mengasingkan benda zakat itu untuk diserahkan kerana zakat boleh diwakilkan.

Niat zakat fitrah seperti: “Ini zakat fitrah yang wajib bagi diriku pada tahun ini.” Tetapi jika menunaikan zakat fitrah dengan wang, niatnya: “Ini wang ganti beras zakat fitrah yang wajib atasku, bagi diriku dan orang-orang tanggunganku, pada tahun ini.”

Daripada (Abdullah) Ibn Umar r.a, katanya: Rasulullah s.a.w sudah menentukan wajibnya zakat fitrah, segantang daripada buah tamar atau segantang dari sya’ir (sejenis gandum) atas setiap orang hamba abdi atau merdeka, lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau dewasa dari kalangan umat Islam.” (Hadis sahih, riwayat Bukhari dan Muslim)

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90