Top Ad 728x90

30,000 kerja kosong di Johor menanti

Terdapat lebih 30,000 kekosongan pekerjaan di Johor sedang menanti pekerja Malaysia yang menghadapi kemungkinan diberhentikan oleh majikan Singapura mereka akibat kemelesetan ekonomi yang melanda republik itu, menurut Jabatan Tenaga Kerja Johor Baharu.

Timbalan Pengarahnya, Mohd. Sazali Abdul Wahab berkata, kekosongan dalam kategori pekerjaan profesional dan tidak profesional itu meliputi pelbagai sektor perindustrian serta perkhidmatan.

"Jabatan Tenaga Kerja Johor akan menggerakkan pelbagai program untuk membantu rakyat Malaysia di Singapura yang berkemungkinan diberhentikan kerja itu mencari pekerjaan di negara ini," katanya kepada Bernama hari ini.

Walaupun Jabatan Tenaga Kerja Johor tidak mempunyai statistik yang tepat tentang bilangan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, tetapi jabatan itu menganggarkan ia dalam lingkungan 150,000 hingga 300,000 orang.

Mohd. Sazali berkata, pekerja Malaysia di Singapura bekerja dalam pelbagai sektor ekonomi di republik itu, terutama dalam sektor membabitkan perkhidmatan seperti kilang elektronik.

Katanya, langkah pertama yang perlu dilakukan oleh pekerja Malaysia yang diberhentikan itu ialah dengan mendaftarkan diri secara online menerusi laman web "JobsMalaysia" milik Jabatan Tenaga Kerja.

Setelah mendaftarkan diri di laman web terbabit, pihaknya akan "memadankan" pekerja yang diberhentikan itu dengan syarikat yang mempunyai kekosongan pekerjaan.

"Kita akan hubungkan pekerja terbabit dengan syarikat yang mempunyai kekosongan," kata beliau.

Selain itu, katanya, mereka juga boleh berhubung terus dengan pejabat Jabatan Tenaga Rakyat di Johor iaitu di Johor Bahru, Kluang, Muar, Segamat dan Batu Pahat.

Mohd. Sazali berkata, pekerja Malaysia di Singapura juga boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada atase buruh negara yang ditempatkan di pejabat kedutaan negara di republik itu.

"Pihak Jabatan Tenaga Kerja Johor mempunyai pelan untuk membantu mereka (pekerja yang diberhentikan)," katanya sambil menambah, risalah tentang bantuan yang ditawarkan oleh jabatan turut akan diletakkan di Tambak Johor untuk kemudahan dan pengetahuan pekerja Malaysia di republik tersebut.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90