Top Ad 728x90

7 daerah di Kedah teruk dilanda banjir

Banjir yang semakin buruk di negeri ini menyebabkan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat- pusat pemindahan sementara semakin meningkat iaitu sebanyak 1,777 orang berbanding 1,249 semalam.

Sehingga petang ini, tujuh daerah dilanda banjir iaitu Kota Star, Pendang, Kubang Pasu, Padang Terap, Kulim, Bandar Baru dan Yan.

Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah, Zulkifli Ramli berkata, sehingga kini, sebanyak 19 buah pusat pemindahan banjir masih dibuka di daerah-daerah yang dilanda banjir.

"Hujan lebat yang berterusan petang ini menyebabkan paras sungai semakin meningkat dan banyak rumah dinaiki air.

"Jika hujan semakin berterusan tidak mustahil jumlah mangsa banjir yang terpaksa dipindahkan akan terus meningkat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, dua daerah yang terjejas teruk dalam banjir kali ini ialah Kota Star dan Kubang Pasu.

Zulkifli berkata, di Kota Star sebanyak 16 kampung terlibat manakala Kubang Pasu dan Padang Terap masing-masing tujuh buah kampung, sementara dua buah kampung lagi masing-masing di daerah Pendang dan Bandar Baharu.

Jelasnya, sebanyak lapan pusat pemindahan banjir dibuka di Kota Star yang sehingga kini menempatkan seramai 940 mangsa daripada 232 buah keluarga.

Pusat berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pinang seramai 32 mangsa; SK Titi Gajah (111); SK Bukit Hijau Derang (543); Surau Pondok Kepala Bukit (18); Dewan Orang Ramai Anak Bukit (12), Surau Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (38) serta SK Gunong (176) manakala 10 orang ditempatkan di Surau Kg. Permatang Limau.

Di Kubang Pasu, pula katanya, sebanyak lima pusat pemindahan dibuka iaitu Dewan Lahar Dalam yang menempatkan 81 mangsa; Pertubuhan Peladang Kawasan Pelubang (164); SK Penghulu Haji Darus (33); SK Jitra 2 (179) dan SK Bukit Tinggi (22) serta Masjid Kepala Batu, 151 mangsa.

"Bagi Padang Terap, lima buah pusat pemindahan telah ditutup dan hanya tinggal 181 mangsa ditempatkan di Dewan Kuala Pai," katanya.

Zulkifli memberitahu, satu pusat pemindahan pula dibuka di daerah Pendang iaitu di Pejabat Penghulu Mukim Guar Kepayang yang menempatkan lima mangsa daripada sebuah keluarga dari Kampung Sukamari.

Sementara itu, katanya, di Yan pula, sebanyak 120 orang daripada 30 keluarga ditempatkan di pusat sementara Masjid Titi Teras ekoran banjir mula melanda daerah berkenaan.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90