Top Ad 728x90

70% penagih dadah beragama Islam

Masalah penyalahgunaan dadah di negara kita semakin serius. Bilangan penagih dadah bertambah setiap hari. Usaha pencegahan dilakukan oleh pihak kerajaan, badan bukan kerajaan dan orang perseorangan tidak berkesan membendung musuh nombor satu negara itu.

Ancaman terhadap keselamatan, kesejahteraan dan kemakmuran negara yang wujud akibat masalah pengedaran dan penagihan dadah semakin serius. Tindakan lebih proaktif untuk membendungnya perlu dilakukan untuk menyelamatkan negara daripada musnah.

Sejarah penggunaan dadah mula dikesan di negara kita sejak akhir kurun ke 19. Pendatang kaum Cina dan India yang dibawa masuk oleh Inggeris untuk bekerja di Tanah Melayu telah mengamalkan tabiat menghisap opium dan ganja.

Ketika itu menghisap opium dan ganja tidak menjadi satu kesalahan dari segi undang-undang. Bagaimanapun, masyarakat telah mula sedar keburukan perbuatan itu yang menyebabkan ketagih dan mendatangkan masalah kesihatan .

Justeru, langkah pengcegahan melalui pengguatkuasaan undang-undang telah dilakukan. Pada tahun 1952, kerajaan telah memperkenalkan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada tahun 1970, perangkaan rasmi mencatatkan bilangan penagih dadah di negara kita sejumlah 711 orang. Jumlah ini terus meningkat sehingga 12,468 orang penagih baru dalam tempoh 1970 hingga 1975. Jumlah penagih baru pada 1976 meningkat secara mendadak sehingga 9850 orang yang secara langsung memberi amaran tentang bahaya ancaman dadah.

Memandangkan usaha membendung peningkatan penagihan dadah semakin sukar dan memerlukan komitmen semua pihak, maka pada tahun 1983 kerajaan telah mengisytiharkan dadah sebagai musuh utama negara.

Malangnya, sehingga sekarang tidak ada tanda-tanda masalah dadah akan susut dan reda. Malah masalah penagihan dadah dipandang lebih bersifat ?irreversible?, iaitu tidak mungkin berpusing ke asal. Kenyataan itu tidak sepatutnya kita berputus asa untuk terus memerangi najis dadah.

Setiap bulan lebih 2000 orang penagih baru dikesan berdasarkan kepada tangkapan pihak berkuasa. Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, bagi setiap penagih dadah, terdapat sekurang-kurangnya 3 orang dan mungkin mencapai seramai 10 orang penagih yang tidak dikenal pasti atau tidak direkod.

Sebenarnya, usaha mengelak terjebak masalah penyalahgunaan dadah perlu bermula dari peringkat diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Tugas kerajaan sebagai pihak berkuasa lebih tertumpu kepada menyediakan rangka yang menyeluruh, panduan, bantuan dan perlaksanaan undang-undang. Ramai yang terjebak dengan kancah penyalahgunaan dadah sebenarnya bermula dengan separuh sedar. Mereka didedakti oleh ?punca? secara perlahan-lahan sehingga kemudiannya terjebak. Oleh itu kita wajib menjauhkan semua punca biarpun perkara itu nampak remeh.

Membiarkan anak terlibat dengan rokok bermakna merelakan anak didekati punca dadah. Hampir semua penagih dadah bermula dengan menghisap rokok. Mereka merasakan rokok tidak lagi dapat memenuhi keinginan hati menikmati sesuatu yang luar biasa.

Lantas, remaja mula mendekati pula jenis-jenis dadah. Biasanya pada mula sekadar ganja dan dadah jenis ringan yang mudah dihadapi berharga murah. Setelah beberapa lama baru mereka bertukar kepada morfin yang dianggap raja dadah.

Punca lain remaja terlibat dadah ialah pergaulan bebas. Sikap remaja yang rencam dan jiwa bergelora selalu inginkan kehidupan bebas bersama rakan sebaya. Keperluan ini semakin dirasakan jika suasana kehidupan keluarga yang tidak harmoni. Perasaan kasih sayang sesama ahli keluarga begitu rapuh.

Remaja yang terabai dari segi kasih sayang dan peluang untuk menikmati kehidupan lebih sempurna akan mencari jalan hidup sendiri. Mereka terjebak dengan aktiviti tidak sihat yang sebenarnya mereka mengetahui itu mendatangkan kemusnahan hidup. Mereka merasakan hidup mereka tidak lagi memberi erti kepada orang lain.

Ibu bapa perlu memberi penekanan yang lebih untuk mewujudkan kehidupan keluarga yang bahagia. Anak adalah harta dan amanah yang paling berharga. Perhatian dan kasih sayang terhadap anak adalah ?nyawa? kehidupan berkeluarga.

Harta boleh dicari bila-bila masa. Sedangkan anak tidak boleh ditukar ganti. Kebahagian hidup keluarga akan hancur jika ada anak yang terlibat dengan dadah dan gejala sosial lain. Harta yang banyak tidak mampu untuk mengubahnya.

Islam mementingkan kualiti hidup yang baik. Islam melarang umatnya daripada melakukan sesuatu tindakan yang mendatangkan keburukan.

Biarpun tidak terdapat ayat atau hadis secara jelas menyebut mengenai dadah, tetapi dadah boleh dikategorikan termasuk dalam kategori ?khamar? yang jelas dinyatakan haram penggunaannya. Sesuatu yang mendatangkan keburukan, tidak kira apa namanya adalah haram di sisi Islam.

Khamar diertikan kepada semua jenis bahan yang memabukkan atau boleh menghilangkan fungsi akal fikiran sama ada seketika atau kekal dan seterusnya mendatangkan kesan bahaya jika digunakan berterusan.

Sabda Rasulullah bermaksud: ?Setiap yang memabukkan adalah khamar dan setiap khamar adalah haram.? (Hadis riwayat Muslim).

Dengan kata lain, usaha memerangi dadah bukan sahaja urusan kenegaraan dan kemasyarakatan, tetapi perkara yang telah dijelaskan dalam al-Quran dan hadis agar dihindarkan. Syariat Islam meliputi semua aspek kehidupan untuk kesejahteraan hidup dan menjauhkan daripada keburukan.

Dosa berkaitan dadah bukan sahaja terkena kepada penghisap, tetapi juga termasuk pembuat, pengedar, pemakan hasil, pemesan dan semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung berkaitan dadah.

Ulama, ustaz dan guru agama boleh memainkan peranan untuk menyedarkan semua pihak tentang bahaya dadah. Ceramah dan kelas agama yang diadakan di masjid, madrasah, surau atau di tempat lain wajar membincangkan kaedah pencegahan penyalahgunaan dadah.

Sikap sesetengah pihak yang menunding jari ke arah pihak lain, tidak akan dapat menyelesaikan masalah berkaitan dadah. Usaha pencegahan penyalahgunaan dadah adalah tanggungjawab semua pihak.

Ancaman dadah di negara kita paling ketara terkena kepada orang Islam. Kira-kira 70 peratus penagih dadah adalah terdiri di kalangan orang Islam. Sekiranya masalah ini tidak dibendung segera, kesan ancaman dadah akan melemahkan umat Islam. Hal ini diambil kesempatan oleh musuh-musuh Islam.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90