Top Ad 728x90

Alam semesta dan keluasannya

Langit sejak dari zaman dahulu hingga kini menyimpan 1001 macam rahsia dan misteri. Fenomena-fenomena seperti gerhana, komet, meteor, aurora dan lain-lain yang telah dan akan berlaku masih menyimpan berbagai rahsia dan menjadi cabaran kepada ahli-ahli sains untuk menangani persoalan yang berkaitan dengannya. Ada manusia yang merasa takjub dan kagum dengan kehebatan alam semesta ini. Tidak hairanlah ada manusia yang menyembah matahari, bintang, bulan dan sebagainya kerana pada fikiran mereka benda-benda itu adalah tuhan kerana ada ciri-ciri kehebatan padanya. Tetapi kehebatan yang terdapat pada apa yang dilihat dan disaksikan itu sebenarnya sebagai satu bukti dan tanda ada Penciptanya yang Maha Pencipta dan Maha Bijaksana.

Alam ini sungguh luas. Tersangat luas. Tiada manusia sehingga kini yang dapat tahu di mana hujung alam ini . Mari kita sama-sama menjelajah alam ini supaya dapat kita gambarkan betapa luasnya alam cakerawala. Bagi penduduk bumi matahari merupakan satu objek penting untuk berlaku kehidupan Ini disebabkan matahari adalah pembekal tenaga utama kepada manusia, tumbuhan dan hidupan lain untuk hidup.

Kedudukan matahari yang terletak sejauh 150,000,000 km dan jarak ini dinamakan satu unit astronomi (AU) dan dipanggil juga 100 solar diameter. Ini satu jarak yang sungguh besar dibandingkan dengan bumi. Jarak ini menyamai 11760 kali diameter bumi (diameter bumi = 12,756 km) atau 400 kali jarak bumi-bulan. Untuk mudah difahami pada jarak tersebut sebanyak 11760 biji bumi perlu disusun berturutan untuk sampai ke Matahari.

Cahaya (gelombang) matahari yang kita lihat setiap hari bergerak selaju 3 � 108 m/s (300000000 meter sesaat) dalam vakum. Kelajuan ini sangat tinggi tiada yang dapat menandingi kelajuan ini.

Sebagai perbandingan jika kapal terbang mengambil masa dua hari untuk mengelilingi dunia manakala kapal angkasa mengambil masa 100 minit Tetapi cahaya boleh mengelilingi dunia sebanyak tujuh kali dalam masa satu saat!!. Ini menunjukkan terlalu kecilnya dunia.

Dengan kelajuan ini cahaya matahari mengambil masa 8 minit (480 saat) untuk sampai ke bumi. Ini bermakna jika matahari terbit hari ini 7:08 pagi bermakna matahari sebenarnya telah terbit jam 7:00 pagi tetapi cahayanya sampai ke bumi 8 minit kemudian.

Sebagai perbandingan jarak bumi dan bulan ialah 385,000 km pada jarak ini cahaya bergerak mengambil masa 1.33 saat. Ini bermakna cahaya dari bulan mengambil masa yang singkat untuk sampai ke bumi hanya 1.33 saat sahaja dan ini menunjukkan jarak bumi -bulan adalah kecil. Jarak bumi-bulan menyamai 30 kali diameter bumi.

Seterusnya kita menjelajah ke planet-planet di luar orbit bumi ke planet yang terbesar dalam sistem suria, Musytari. Cahaya dari matahari mengambil masa 41 minit untuk sampai ke sini. Ini bermakna jika di bumi, matahari terbit jam 7:08 maka di Musytari cahayanya akan sampai jam 7:41 dan ketika ini penduduk di bumi sedang bersiap sedia untuk ke pejabat untuk memulakan tugas. Jarak yang ditempuh dari matahari ke Musytari sejauh 5.20 A.U ( 5.2 kali ganda jarak bumi-matahari)

Perjalanan seterusnya ke planet yang paling jauh, Pluto. Cahaya akan sampai ke sini kira-kira jam 12:12 setelah bergerak selama 5 jam 12 minit. Ketika ini penduduk bumi sedang menikmati makan tengahari. Jarak yang di tempuh untuk ke sini sejauh 39.44 A.U. Perjalanan diteruskan hingga ke pinggir sistem suria yang dipanggil `awan oort' dan untuk sampai ke sini cahaya terpaksa mengambil masa 5.5 hari.Cuba anda bayangkan cahaya yang bergerak dengan kelajuan yang sangat tinggi mengambil masa selama 5 jam 12 minit untuk sampai ke orbit Pluto. Bagaimana dengan manusia untuk sampai ke sana? Sehingga kini kapal angkasa Voyager telahpun sampai ke orbit Pluto, ia telah dilancarkan pada tahun 1977 dari bumi dan telah sampai ke sana pada tahun 1997. Ia telah mengambil masa selama 20 tahun untuk sampai ke sana.Bandingkan kelajuan kenderaan ciptaan manusia dengan kelajuan cahaya ciptaan Allah. Ini menunjukkan betapa jauh dan luasnya sistem suria. Kalau orbit Pluto itu sebesar piring makan, maka orbit empat planet yang di bahagian dalam (utarid, Zuhrah, Bumi dan Marikh) terkandung di dalam sebutir kacang di tengah-tengah piring itu.

Perjalanan seterusnya ke bintang yang terdekat dengan sistem suria, Proxima Centauri (alpha Centauri atau Rigil Kentaurus). Cahaya hanya akan sampai ke sini setelah bergerak selama 4.3 tahun. Dalam astronomi jarak yang besar seperti ini diukur dalam unit tahun cahaya iaitu jarak yang ditempuh oleh cahaya dalam masa satu tahun.

1 tahun cahaya 1 tahun x 365 hari x 24 jam x 60 minit x 60 saat x 3 000 000 km/s
= 9,500,000,000,000 km

= 9.5 Trillion km


Oleh itu jarak bintang terdekat, alpha centauri 4.3 tahun cahaya x 9.5 trillion km
= 40.85 km



Untuk menggambarkan jarak sebesar itu, jika dibina satu model dengan skala 1 A.U = 1 meter, kita akan dapati planet terdekat, Utarid terletak 30 cm dari matahari, bumi pula akan menjadi sangat kecil, cuma beberapa 1/1000 milimeter. Keseluruhan sistem suria pula berdiameter 60 meter. Bintang terdekat alpha centauri akan terletak sejauh 271 km! Kita memerlukan satu kawasan yang sungguh luas untuk membina model tersebut. Maha Suci Allah yang Maha Pencipta Alam ini yang tersangat-sangat luas.

Jika diteruskan perjalanan ini hingga ke pusat galaksi Bima Sakti (Milky Way) kita hanya akan sampai di sana selepas tahun 32 000M. Sekiranya diberi usia yang sebegitu panjang, ketika itu kita pun tidak tahu apa yang berlaku di bumi. Untuk keluar dari satu hujung yang lain galaksi ini kita terpaksa menempoh perjalanan selama 50,000 tahun lagi. Selepas tahun 200,000M (sekarang tahun 1993M) baru kita akan sampai kepada jiran galaksi kita iaitu `awan Magellan'.

Begitulah luasnya Alam semesta. Maha Bijaksana dan Maha Perkasa Penciptanya.

2 Comment:

  1. Menurut saintis terdapat 1ooo bilion bintang dialam semesta dan 100 bilion darinya adalah galaksi, sekiranya galaksi yang kita diami dengan matahari yang juga sebuah bintang menjadi pusat galaksi kita sudah sebesar itu, subhanallah bayangkan besar manakah milky way tersebut. Mungkinkah terdapat milky way yang lain...?

    BalasPadam
  2. NOTA:

    Penulis Artikel ini

    Nama : Dr(H) Kassim Hj Bahali
    Ketua Bahagian Falak
    Kompleks Falak Al-Khawarizmi
    Jabatan Mufti Melaka

    BalasPadam

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90