Top Ad 728x90

Alzheimer belum ada penawar

SEHINGGA kini, dunia perubatan belum menemui penawar alzheimer. Penyakit itu tidak boleh sembuh tetapi simptomnya boleh dikawal. Justeru, ubat anti kemurungan, ubat mengawal tekanan dan rasa berdebar dan resah gelisah adalah antara ubat yang diberikan kepada pesakit.

Revolusi baru dunia perubatan bagaimanapun memperlihatkan satu teknologi berbentuk tampalan dalam mengawal simptom alzheimer. Teknologi tampalan itu adalah yang pertama dan terbaru dalam rawatan alzheimer. Ia lebih mudah dikendalikan berbanding ubat kerana ubat-ubatan bergantung pada kejujuran pesakit. Apatah lagi mereka yang menghidap alzheimer, ingatan mereka bercelaru dan tidak berupaya ingat sama ada sudah atau belum makan ubat.

Teknologi tampalan itu bertindak dengan empat lapisan. Lapisan pertama berwarna kuning bertindak sebagai benteng kepada lapisan kedua berwarna ungu yang membawa ubat. Lapisan ungu membawa ubat dalam dos yang tinggi dan bertindak meresap ke dalam kulit dan terus masuk ke salur darah.

Lapisan ketiga berwarna biru (matrik silikon) bertindak memudahkan ia dilekat tanpa alahan dan lapisan putih lapisan sebelum ia ditampal pada kulit.

Pengarah Pskiatri Geriatik, Sekolah Perubatan Universiti St Louis, Prof George Grossberg, berkata dalam satu kajian antarabangsa mengenai alzheimer, Investigation of Transdermal Exelon in Alzheimer (IDEAL), mendapati ia bertindak dengan kapasiti yang sama jika seseorang itu mengambil ubat kapsul exelon berdos tinggi. Selain itu, ia juga membantu membaiki memori dan keupayaan seseorang dalam aktiviti harian.

IDEAL membabitkan 21 negara dengan responden membabitkan 1,195 orang yang berusia antara 50 hingga 85 tahun yang mengalami alzheimer sederhana.

Teknologi tampalan ini tidak mengundang kesan alahan dan direka bagi mengawal secara berterusan menghantar ubat melalui kulit. Dos ubat dalam tampalan boleh ditinggikan tanpa memberi sebarang kesan berbanding ubat alzheimer yang dimakan dalam dos yang berlebihan.

Ia bertindak menstabilkan tahap ubat dalam salur darah yang mengurangkan kesan sampingan, selain mudah dikendalikan kerana tampalan boleh dilihat secara mata kasar berbanding dengan ubat kerana pesakit alzheimer ada kala terlupa memakan ubat.

Tampalan boleh dibuat di belakang atau mana-mana bahagian atas tubuh. Setiap tampalan boleh bertahan 24 jam. IDEAL juga mendapati teknologi tampalan membantu mengawal simptom alzheimer dengan membaiki ingatan dan daya pemikiran serta berupaya melakukan aktiviti harian berbanding pesakit yang mengambil plasebo.

Prof Grossberg berkata, teknologi ubat-ubatan yang menggunakan tampalan dimulakan pada 1970 tetapi ketika itu tampalan dalam bentuk yang besar dan dikaitkan dengan kesan alahan kulit yang serius.

“Dalam ubat-ubatan tampalan yang konvensional, kesan alahan itu adalah kebiasaan dan selalunya kesan itu dilihat di kawasan tampalan saja. Peluh terkumpul adalah faktor utama ia terjadi selain penggunaan yang terlalu lama menyebabkan halangan pada kelenjar peluh. Yis dan pertumbuhan bakteria akan terjadi pada kawasan itu dan berperanan menyebabkan alahan,” katanya.

Penyelidikan selama 20 tahun menyaksikan teknologi tampalan matrik yang lebih kecil, nipis dan interaksi dengan kulit lebih baik. Teknologi matrik ini unik dengan kombinasi semula ramuan termasuk satu lapisan kecil dinamakan matrik polimerik.

Dalam kes teknologi tampalan alzheimer, empat komponen tampalan matrik ini menggabungkan tampalan yang kecil, nipis yang mudah ditampal dan ditanggal.

Mengenai alzheimer

Prof Grossberg, berkata alzheimer bukan masalah wajib penuaan.

“Tidak semua orang tua akan diserang alzheimer tetapi semua pesakit alzheimer membabitkan orang tua berusia 80 tahun ke atas.

“Di Amerika Syarikat (AS), terdapat lima juta pesakit alzheimer. Jepun juga antara negara yang memiliki ramai pesakit alzheimer,” katanya.

Malaysia dijangka memiliki ramai alzheimer seiring dengan peningkatan golongan tua di negara ini. Ketika ini dianggarkan seramai 50,000 warga Malaysia didiagnos dengan alzheimer.

Alzheimer sebenarnya penyakit pada otak yang progresif dan boleh membawa maut. Ia merosakkan sel otak menyebabkan memori, pemikiran, tingkah laku terjejas dengan teruk. Di AS, penyakit itu adalah penyebab keenam kematian utama.

“Bagi orang normal penghantaran isyarat antara sel saraf bergantung neurotransmitter manakala pesakit alzheimer berhadapan dengan kekurangan ‘acetycholine’ (seakan-akan neurotransmitter dalam otak).

“Ia menyebabkan pesakit kekurangan fungsi neurotransmitter dan menyebabkan mereka sukar berfikir, mengingat dan membuat kerja mudah,” katanya.

Mengenal simptom alzheimer



Lupa nama orang, nombor telefon dan hari bulan


Lupa tempat yang selalu dikunjunginya (rumah atau pejabat)


Sukar berfikir ketika bercakap, sukar mencari perkataan yang betul dan tertekan apabila membuat keputusan


Membuat sesuatu perkara berulang kali dan sentiasa mencurigai


Hilang minat pada perkara atau seseorang yang dulu disukainya


Berubah tingkah laku dan personaliti.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90