Top Ad 728x90

Keperluan kalsium wanita

Hasil penemuan penyelidikan bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Otago, New Zealand menunjukkan kebanyakan wanita di Malaysia mendapat kurang daripada 50 peratus jumlah kalsium yang disarankan untuk kesihatan tulang.

Pengambilan kalsium yang rendah merupakan antara faktor risiko utama yang menyumbang kepada berlakunya penyakit osteoporosis yang bermaksud ‘tulang poros’.

Sempena sambutan Hari Osteoporosis Sedunia pada 20 Oktober lalu, wanita Malaysia diingatkan untuk menjaga kesihatan tulang mereka bagi menghindari osteoporosis.

Pakar Runding Ortopedik dan Pakar Bedah Trauma, Dr. Chin Chee Howe memaklumkan bahawa sumber yang tinggi kalsium datang dari produk tenusu seperti susu segar, keju dan yogurt. Bagaimanapun, produk tenusu terbabit jarang menjadi antara diet ruji penduduk negara ini.

“Osteoporosis adalah sejenis penyakit yang ‘senyap’ dan serius. Kebanyakan wanita hanya mengetahui mereka menghidapinya selepas mengalami retak atau patah tulang.

“Kesihatan tulang manusia merosot secara berperingkat dan beransur-ansur dari umur 30-an. Namun, ianya belum terlambat untuk mula menjaga kesihatan tulang anda,” katanya.

Boleh dicegah

Osteoporosis bukannya sejenis penyakit yang boleh disembuhkan tetapi ia dapat dicegah. Retak atau patah tulang pinggul merupakan antara yang paling biasa berlaku di kalangan penghidap osteoporosis.

Ia hampir pasti akan membawa kepada kemasukan wad dan juga boleh membawa maut dalam satu daripada setiap lima (20 peratus) kes patah tulang pinggul.

Antara 30 hingga 50 peratus lagi (yang patah tulang pinggul) berkemungkinan besar mengalami kecacatan kekal yang akan mengganggu pergerakan harian mereka kelak.

Walaupun banyak berlaku di kalangan wanita, tidak bermakna lelaki terlindung daripada osteoporosis. Namun, lelaki mempunyai kelebihan yang memberi lebih perlindungan daripada penyakit tersebut di mana kebanyakan lelaki menjalani cara hidup aktif dan secara semula jadi mempunyai jisim tulang yang lebih tinggi berbanding wanita.

Kesan osteoporosis di Asia dijangka meningkat dengan perangkaan lebih 50 peratus kejadian retak atau patah tulang pinggul dunia akan berlaku di rantau ini menjelang 2050.

Oleh itu, penduduk Asia, terutamanya wanita, disaran mendapatkan keperluan kalsium harian secukupnya (antara 800 hingga 1,000 miligram) di samping nutrien penting lain seperti protein, zink, magnesium dan vitamin D yang diperlukan untuk mengekalkan tulang yang kuat dan sihat.

Segelas susu berkalsium tinggi mengandungi 500 miligram (mg) kalsium dan dua gelas susu tersebut cukup untuk membekalkan jumlah kalsium yang disarankan setiap hari.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90