Top Ad 728x90

Masjid Beijing di Rantau Panjang, Kelantan


Dari jauh ia kelihatan bagaikan sebuah bangunan kuil atau istana lama di China jika pandangan tidak turut tersilau kepada menara yang tegak dengan kubah seakan-akan kopiah berlilit serban di pinggirnya.

Bangunan berbumbung hijau dan diselari dengan warna merah itu mencuri perhatian umum mereka yang menghala ke pekan Rantau Panjang atau yang baru memasuki negara ini melalui pintu sempadan.

Sememangnya juga keunikan wajah asing dalam suasana budaya setempat menimbulkan sekilas polemik dalam kalangan pelbagai pihak termasuk para ilmuwan, budayawan dan juga sebilangan mereka yang kritis dalam kesempurnaan seni bina.

Masjid yang pembinaannya dicetuskan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sejak 1992, dianggarkan menelan kos RM9 juta kini hampir siap dan telah mula dibuka pada bulan Ramadan dengan seorang imam dari China diundang untuk mengimam solat tarawih.

Ia diberi gambaran awal sebagai masjid tiga budaya di mana selain budaya Cina sebagai terasnya, ia turut diselitkan sedikit dengan calitan budaya India dan Melayu di pinggirannya dengan lorekan simen di beranda di samping lakaran geometrik Asia Tengah di dalamannya.

Difahamkan masjid yang turut digelar Masjid Beijing dan terletak di tapak seluas 1.48 hektar, merujuk kepada reka bentuknya seperti kuil China pada zaman Dinasti Ming yang turut kedapatan di kuil di Kuala Lumpur.

Ia mampu memuat lebih 300 jemaah dalam satu masa di samping terdapat dewan pelbagai guna di bahagian bawahnya serta dikelilingi beberapa ruang yang difahamkan akan dijadikan pejabat, klinik, perpustakaan dan tadika.

Ada yang berpendapat, reka bentuk masjid ini suatu kecelaruan seni bina yang menyimpang dari segi tradisi, sejarah dan estetika dalam suatu zaman, budaya serta nilai kehidupan masyarakatnya.

Ia seakan-akan dilihat meminggirkan akar umbi tradisi Melayu yang berkait rapat dengan Islam.

Dari sudut sejarah dan tradisinya, masjid adalah jantung masyarakat yang mencerminkan gaya seni bina dan kehidupan setempat pada zamannya, sekali gus menggambarkan pemilikan oleh masyarakat sekitar.

Seperti Masjidil Aqsa di Palestin yang menyerupai bangunan keagamaan Byzantium yang terdapat di negara itu dalam nisbah yang hebat dan besar pada zamannya.

Begitu juga Masjid Biru di Istanbul, Turki adalah berdasarkan seni bina kristian yang memerintah sebelum itu dan dalam konteks negara, masjid lama di Melaka bercirikan seni bina masyarakat Cina di situ pada zaman awal.

Pada masa yang sama juga ia mengambil kira kesesuaian kejuruteraan setempat berteraskan budaya, iklim serta persekitaran di tengah-tengah masyarakat Islam Melayu tradisional. Justeru kewujudan masjid Rantau Panjang ini kelihatan janggal dan aneh.

‘‘Kalaulah masjid itu berada di penempatan masyarakat Cina, sesuai untuk kita raikan mereka dengan cara itu. Ia sebagai agak pelagic misalnya ada batu besar di tengah hamparan pasir di laut,” ujar seorang ahli akademik.

Ada yang berpendapat masjid seumpama itu dan sebilangan lagi yang telah dibangunkan di beberapa negeri seolah- olah mengimport seni binanya dari hikayat Seribu Satu Malam, terasing dari seni bina setempat dan terasing dari segi persekitaran.

Beliau menelah, ia mungkin dilihat sebagai salah satu projek untuk mencerminkan keterbukaan sikap kerajaan negeri terhadap bukan Islam dan juga bukan Melayu selain menjadi daya tarikan dari sudut pelancongan.

Menjawab persoalan dan kebimbangan itu bagi pihak kerajaan negeri, Setiausaha Politik Menteri Besar, Anual Bakhri Haron berkata, ia bagi memancarkan lagi bahawa Islam itu agama antarabangsa, justeru ia harus terasa dipunyai oleh seluruh komuniti tanpa mengira perbezaan bahasa, budaya dan keturunan.

Kerajaan negeri yakin bahawa dengan menampilkan suatu reka bentuk tri-culture dari tiga kelompok kaum yang paling dominan di Malaysia, ia akan lebih menghampirkan imej islam itu diyakini sebagai agama universal.

‘‘Memang mudah untuk mengulangi sebuah reka bentuk masjid Melayu yang sepenuhnya seperti masjid klasik Kampung Laut atau masjid berkubah ala Cordova tetapi tidakkah ini sesuatu lagi perulangan?

‘‘Ia tentunya sekadar ‘sebuah lagi masjid’. Dalam konteks pemikiran kreatis dan kritis, kerajaan negeri percaya bahawa pembaharuan dalam citra sangat-sangat dijajarkan.

Paradigma

‘‘Malah jika diikutkan kaedah pemikiran terkini, stereotyping adalah sudah yang mudah bahkan dikira sedikit ketinggalan. Dalam, hubungan ini kami lalu mencuba untuk menganjak paradigma.

‘‘Sekurang-kurangnya untuk kali ini, kami tidak mahu obses dengan tradisi sejarah dan estetika. Kami mahu bias kepada fungsi dan peranan,” ujarnya.

Selain aspek ketakwaan semasa mula membinanya, masjid harus mampu untuk membuat jangkauan atau capaian terhadap khalayak meliputi penduduk Islam dan bukan Islam.

Malah katanya, apa yang diperhatikan setakat ini masjid di seluruh negara, pada umumnya masih lemah dalam memainkan peranan ini.

‘‘Mungkin masjid kita terlalu representatif dan menjurus kepada orang Melayu. Apakah keterlaluan jika kami proaktif membuat percubaan melahirkan satu masjid berwajah majmuk.

‘‘Insya Allah, ia akan membuka gelanggang dakwah yang lebih luas dan diharap masjid ini menjadi mesra masyarakat,” ujarnya.

Pendekatan seni bina yang pelbagai wajah hasil kesatuan tiga nilai, tiga reka bentuk, tiga budaya dan cabang seni ini tentunya menarik dan unik untuk didekati.

Beliau yakin, aktiviti ceramah dan tazkirah akan lebih mudah mengundang bukan Islam kerana faktor menipisnya alergi, prejudis dan rasa segan.

‘‘Ini adalah proses kemasyarakatan dan kita akan membina proses ini dan menyemai benih perpaduan yang akan lebih mengukuhkan integrasi nasional.

‘‘Kebudayaan memang manifestasi keseluruhan cara hidup yang merangkumi cara bertindak, kelakuan dan fikiran berupa kebendaan dan kerohanian sesuatu masyarakat dan seni bina pula adalah salah satu pencapaian manusia yang mencerminkan budaya sezaman.

‘‘Tetapi apalah salahnya sekali sekali kita cuba lari dari definasi klasik.

Bahkan melalui seni bina yang dicuba di masjid Rantau Panjang ini adalah untuk membuktikan sebuah kemajuan pemikiran, ilmu, kebudayaan dan teknologi.

Ia dikatakan dapat menggambarkan ketamadunan sesuatu masyarakat yang dinamik dan bersepadu atau sememangnya ia cerminan budaya masyarakat kita zaman ini yang penuh dengan kecelaruan.

3 Comment:

  1. MY ADHA,
    Walaupun saya anak kampung Rantau Panjang tapi belum kesempatan untuk pulang menyentuh dahi di masjid ini. Kebanggaan amat terasa apabila kampung halaman sendiri dipilih untuk mengeksperimenkan konsep keterbukaan Islam melalui ikon utamanya yakni masjid.

    Pengalaman merantau membawa saya kemasjid-masjid yg berbagai rupa. Di Eropah masjid-masjid harus telus dan dpt dipandang dari luar krn masyarakat sekeliling yang dihantui dengan prejudis pasca 11 September bimbang tentang apa yg sedang dilakukan oleh jemaah2 didalamnya. Maka dinding masjid hendaklah dibina dari kaca dan minarnya hendaklah tidak melebihi ketinggian cathedral.

    Tanpa pengaruh sosio-politik maka masjib sebenarnya bebas dibina mengikut acuan sendiri. Namun sejak lebih seribu tahun masjid-masjid yang tersergam dari Andalusia hingga Australia tidak lepas dari pengaruh senibina Moorish. Kecuali sebahagian masjid2 di China dan Indonesia. Ini menjelaskan betapa fanatiknya umat Islam tentang rupa bentuk rumah Allah yang perlu dibina.

    Sebalik dakwaan kefanatikan masyarakat Islam Kelantan saya gembira kemunculan masjid Beijing di Rantau Panjang ini menjelaskan bahawa tuduhan-tuduhan sedemikian adalah tidak benar. Ia menjelaskan bahawa umat Islam sebenarnya adalah terbuka dan Islam itu adalah universal.

    Harapan saya ialah dapat membawa anak dan isteri sembahyang dimasjid itu apabila berkesempatan pulang berhari raya di Malaysia tahun hadapan.

    BalasPadam
  2. Salam myAdha & semua....cuba saudara2ku fikir sejenak, bagaimanakah rubentuk masjid2 di merata-rata di negeri China.... sudah semesti mcm Masjid Beijinglah ya. Mengapa & Kenapa? Jawapannya Orang Cina menerima Islam, & Islam tiada konflik dlm senibina masjid, malah Islam boleh asimilasi terhadap budaya arkitektur China
    selagi tiada konflik dlm akidah. Ini sebab lebih 140 juta umat Islam masih berjaya kekal berkembang di negara komunis itu. Kita boleh pakai pelbagai warna & fesyen pakaian yg menutup aurat, tetap sah solat selagi rukunnya dipenuhi....begitulah jg masjidnya....maka mudahlah nak dakwah kat org Cina kat Malaysia ni
    sbbnya masjid mcm tokong tp cuma tukar tuhan drpd yg byk kpd yg Esa.
    Rasanya mcm makanan cina yg telah diasimilasikan yang telah rakyat malaysia makan spt kuihpau, nasi ayam,
    char-kuehtiau, charkueh, yong-tofu yg mmg sedap pun, org melayu ramai suka...janji halal. Apalah salahnya masjid mcm senibina tokong, sbbnya di malaysia aje senibina gitu dijadikan tokong, tp di negara Cina, senibina gitu dijadikan masjid. Sama dgn bangunan Gereja di Eropah dijual kpd umat Islam yg dijadikan masjid, luar nampak mcm gereja sbb bangunan itu takboleh diubah luaran oleh pihak berkuasa tp crossnya
    boleh diturunkan ditukar kpd bulan & bintang....sah namanya Masjid !!

    Sekian, mudahan dakwah islamiah boleh berkembang pantas dgn pelbagai asimilasi& inovasi budaya, senibina & makanan selagi dlm batas syarak.

    Wslm

    BalasPadam
  3. mohd nosdin bin abdul ingin mendapatkan nombor telefon Imam atau AJK masjid untuk membuat penggambaran Persada Jurnal (Jakim Putrajaya). HP saya 0163282247....terima kasih kepada pemberi maklumat.

    BalasPadam

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90