Top Ad 728x90

Pelanggan Celcom dilindungi insurans

Pelanggan Celcom (Malaysia) Bhd kini boleh menikmati skim perlindungan kemalangan peribadi 24 jam, susulan kerjasama strategik pengendali telekomunikasi mudah alih itu dengan MAA Takaful Bhd.

Ketua Eksekutif Celcom, Datuk Seri Shazalli Ramly, berkata skim perlindungan itu ditawarkan menerusi produk Takaful Kemalangan Peribadi MAA yang dibangunkan secara ekslusif untuk pelanggan Celcom.

Katanya, skim itu yang tidak menetapkan had usia, menyediakan perlindungan kepada semua pelanggan Celcom selepas menerima SMS bagi mempelawa mereka untuk melanggan perkhidmatan berkenaan.

"Skim perlindungan seluruh dunia ini ditawarkan kepada semua rakyat Malaysia; manakala bukan warga negara, penduduk tetap dan lain-lain mereka hanya dilindungi ketika berada di dalam Malaysia," katanya selepas majlis memeterai perjanjian kerjasama itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

MAA diwakili Ketua Eksekutifnya, Salim Majid Zain manakala Ketua Pegawai Kewangan Celcom, Mohamed Adlan Ahmad Tajudin memeterai bagi pihak syarikat itu.

Pelanggan Celcom yang layak akan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi mempelawa mereka menggunakan perkhidmatan itu; dan pengguna hanya perlu menghantar SMS 'MAA On' ke nombor 28881.

Bagi tujuan tuntutan pula, ia perlu dilakukan secara terus ke MAA Takaful dan cawangan syarikat insurans itu di seluruh negara.

Pengguna prabayar 'Celcom Blue' yang melanggan produk itu tidak dikenakan bayaran bagi tahun pertama dan hanya perlu membayar RM12 setahun pada tahun kedua dan seterusnya.

Bagi pelanggan Xpax pula, bayaran yang dikenakan bagi pelan perlindungan kemalangan peribadi itu ialah RM1 sebulan, bermula dari hari pertama ia diaktifkan.

Pelan eksekutif Celcom turut memberi peluang kepada pelanggannya untuk mendapatkan perlindungan takaful hanya pada RM1 sebulan.

Shazalli menambah, syarikat kini mempunyai kira-kira lapan juta pelanggan pascabayar dan enam juta pelanggan prabayar.

"Menjelang 2011, kami menjangkakan hampir semua pelanggan aktif syarikat akan melanggani produk skim takaful kemalangan peribadi berkenaan," katanya.

Sementara itu, Salim berkata, skim perlindungan kemalangan peribadi 24 jam seluruh dunia itu dapat melindungi pelanggannya daripada kes kematian dan kecederaan kekal pada anggota badan.

Katanya, syarikat itu mengunjurkan sumbangan antara RM2 juta hingga RM3 juta daripada kerjasama strategik itu pada tahun pertama, dengan asas pelanggan dijangka mencecah dua juta.

Hadir sama Ketua Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan MAA Holdings Bhd serta Pengarah Takaful Bhd, Muhamad Umar Swift.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90