Top Ad 728x90

Prinsip pemerintahan Islam

Politik atau perkara berkaitan dengan kepimpinan dan kenegaraan merupakan satu bidang yang amat rumit serta berisiko tinggi. Setiap individu yang melibatkan diri dalam bidang ini perlu bersedia menghadapi risiko apabila gagal menunaikan tugas kepimpinan memerintah negara. Jawatan pemimpin dan pemerintah bukan merupakan satu pekerjaan yang kekal atau berbentuk warisan. Jawatan ini adalah berkaitan dengan amanah Allah kepada individu yang mempunyai kebolehan, kepakaran dan kebijaksanaan dalam mengendalikan urusan kemasyarakatan dan kenegaraan.

Dalam arena politik dan kepimpinan, kerjasama di antara pemimpin dan rakyat merupakan satu prinsip kepimpinan yang tidak boleh diabaikan. Islam memperkenalkan sistem kepimpinan dan pemerintahan berlandaskan kepada amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Setiap umat Islam mempunyai tugas masing-masing dalam mengendalikan urusan keduniaan berlandaskan kepada wahyu dan kepimpinan Rasulullah SAW.

Pemimpin atau pemerintah dianggap sebagai wakil rakyat untuk mengendalikan urusan kenegaraan dan kemasyarakatan berdasarkan kepada prinsip kepimpinan dalam Islam seperti mana dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat baginda.

Apabila konsep kepimpinan ditafsirkan sebagai amanah yang berbentuk wakil rakyat maka secara jelas menunjukkan bahawa setiap pemimpin dan pemerintah tidak mempunyai kuasa mutlak untuk menguasai dan mewarisi negara yang dipimpin dan diperintah oleh mereka.

Pemimpin dan pemerintah perlu akur kepada suara rakyat jika mereka tidak dapat memenuhi harapan dan impian rakyat dalam mengendalikan urusan keduniaan. Jika mereka mempunyai keupayaan dan kebolehan memerintah dan memimpin serta menyemarakkan keamanan, kestabilan politik, ekonomi serta bijak mengatasi rintangan dan permasalahan maka rakyat perlu akur kepada suara dan arahan pemimpin dan pemerintah.

Apabila seseorang pemimpin tidak mempunyai keupayaan dalam kepimpinan dan pemerintahan maka pelbagai permasalahan akan wujud dalam negara. Ketika ini rakyat perlu bersuara dan mengkritik kepimpinan dengan tujuan meminta dan menyeru supaya menyerahkan jawatan tersebut kepada orang yang lebih berkemampuan dan layak. Ini merupakan satu bentuk kepimpinan dalam Islam.

Perletakkan jawatan akibat kegagalan dalam kepimpinan bukan merupakan satu perkara yang aib, malah ia merupakan satu pengorbanan untuk kebaikan negara dan masyarakat. Sikap akur kepada suara rakyat merupakan satu bentuk penghormatan diri yang dimiliki oleh pemimpin Islam yang berwibawa.

Jawatan pemimpin hanyalah satu amanah dan tugas untuk mengendalikan urusan rakyat dan negara. Jika rakyat tidak memerlukan kepimpinannya maka beliau terlepas daripada memegang amanah berat yang dipikul selama ini.

Kepimpinan dan pemerintahan dalam Islam berunsurkan kepada kejujuran, keadilan, kebijaksanaan dan jiwa kemanusiaan yang tinggi. Jika ciri-ciri ini disebatikan dalam pemikiran dan hati nurani para pemimpin dan pemerintah negara Islam maka tidak akan berlaku perselisihan atau pertarungan hebat untuk memegang jawatan tertinggi dalam kepimpinan.

Pertarungan dan perselisihan di antara para pemimpin dan pemerintah yang wujud dalam negara Islam masa kini adalah akibat daripada salah tafsir dalam memahami konsep dan prinsip dalam kepimpinan dan pemerintahan. Ini disebabkan pemikiran dan jiwa umat Islam sering dikaburkan dengan keindahan dan kemewahan yang akan dinikmati ketika mereka dilantik menjadi pemimpin dan pemerintah.

Pemikiran dan jiwa yang dihiasi dengan keindahan material dan keduniaan menyebabkan umat Islam sering tersungkur apabila menjadi pemimpin negara.

Prinsip dan konsep kepimpinan dalam Islam terkubur apabila para pemimpin dan pemerintahan Islam beranggapan bahawa kuasa yang dimiliki itu merupakan satu kuasa mutlak, dan hak serta keistimewaan negara dijadikan hak milik diri dan ahli keluarga. Ini merupakan satu dilema yang paling getir dihadapi oleh dunia Islam masa kini.

Kekayaan

Negara Islam yang mempunyai sumber kekayaan paling bernilai menjadi negara miskin kerana harta dan kekayaan negara dimiliki oleh para pemimpin dan dikongsi bersama pelabur asing. Kemiskinan yang wujud dalam negara-negara Arab yang terkenal dengan sumber kekayaan dunia perlu dijadikan tauladan kepada para pemimpin dan pemerintah dalam negara ini.

Umat Islam perlu memahami bahawa negara adalah hak milik penghuni dalam negara tersebut. Setiap sumber kekayaan negara perlu dikongsi bersama dengan rakyat. Tanggungjawab para pemimpin dan pemerintah perlu berasaskan kepada konsep kecintaan kepada rakyat dan merupakan amanah Allah dalam mengendalikan urusan makhluknya di muka bumi ini.

Jawatan pemimpin bukan merupakan satu jawatan yang terlalu istimewa mengikut perspektif Islam. Ia hanya merupakan tugas dan amanah yang berat dan akan dipersoalkan oleh Allah di hari Akhirat. Oleh itu setiap pemimpin perlu akur kepada suara dan rintihan rakyat supaya kepimpinan mereka direstui oleh rakyat dan diberkati oleh Allah.

Konsep dan prinsip kepimpinan Islam perlu disemat dalam pemikiran dan jiwa umat Islam supaya setiap individu yang dilantik menjadi pemimpin dan pemerintah memahami bahawa setiap pergerakan dan aktiviti mereka dipantau oleh masyarakat. Ini merupakan satu cara untuk membentuk sistem politik dan keperibadian umat Islam bersesuaian dengan konsep dan prinsip sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

Konsep dan prinsip kepimpinan yang berunsurkan demokrasi yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat perlu dijadikan panduan umat Islam. Rasulullah SAW tidak mewarisi jawatan khalifah kepada ahli keluarga baginda atau individu tertentu. Baginda menyerahkan perkara tersebut kepada masyarakat untuk menentukan siapakah yang layak menjadi pemimpin selepas baginda.

Konsep keterbukaan menjadi amalan kepada para sahabat Rasulullah SAW semasa memimpin negara. Abu Bakar secara terbuka meminta umat Islam menyokong dan taat kepada beliau jika beliau melaksanakan tugas dengan baik. Beliau juga menggalakkan masyarakat mengkritik dan menyuarakan tentangan terhadap beliau jika beliau gagal dalam melaksanakan tugas.

Abu Bakar juga menyeru masyarakat menentang dan memecat beliau daripada jawatan khalifah jika beliau gagal dalam pemerintahan dan ingkar meletakkan jawatan. Oleh itu perlucutan jawatan dalam kepimpinan dan pentadbiran akibat kelemahan dan kegagalan para pemimpin dan pentadbir merupakan satu fenomena biasa dalam sistem politik dan pemerintahan dalam Islam.

Berdasarkan kepada prinsip dan konsep kepimpinan dan pemerintahan dalam Islam maka diharapkan setiap pemimpin dan pentadbir dalam negara ini menumpukan perhatian kepada tugas dengan sebaik mungkin semoga sumbangan dan pengorbanan mereka direstui oleh rakyat dan diberkati oleh Allah.

Oleh itu rakyat dan pemimpin dalam negara ini perlu bekerjasama untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam yang maju.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90