Top Ad 728x90

Azizulhasni menang emas Piala Dunia Lumba Basikal


Azizulhasni Awang mencatat sejarah menjadi pelumba pertama negara berjaya memenangi pingat emas pada perlumbaan basikal trek Piala Dunia yang berlangsung di Melbourne, Australia, semalam.

Dalam aksi acara keirin yang mendebarkan itu, Azizulhasni menewaskan pelumba Ukraine, Andriy Vynokurov di tempat kedua dan pelumba Perancis yang mewakili kelab Cofidis, François Pervis, ketiga.

Turut menjadi mangsa kayuhan bertenaga pelumba cilik kelahiran Terengganu itu ialah pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Beijing dari Jepun, Kazunari Watanabe yang sekadar mampu menduduki tempat kelima daripada enam pelumba yang beraksi dalam acara akhir.

Kejayaan Azizulhasni itu sekali gus menebus kekecewaan dan kesilapannya di Beijing, Ogos lalu dan membalas dendam kekalahan kepada Watanabe yang menjadi musuh tradisinya di Asia.

Malah dalam perjalanannya ke perlumbaan akhir keirin, Azizulhasni mengungguli kesemua acara saringan iaitu pertama dan kedua.

Mengulas mengenai kejayaan itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Wahab berkata, ia satu pencapaian yang tentunya membanggakan.

"Josiah Ng juga pernah menang keirin pada Piala Dunia sebelum ini tetapi dia tidak menang emas sebaliknya hanya meraih mata sahaja.

"Kali ini pingat emas diberikan. Jadi ini kali pertama Malaysia bawa pulang emas malah kali pertama juga lagu Negaraku berkumandang pada trek Piala Dunia ini," katanya.

Menurut Abu Samah, Josiah bagaimanapun tidak beraksi dalam acara keirin semalam kerana satu negara hanya dibenarkan diwakili satu pelumba sahaja.

Sementara itu, dalam acara kejar mengejar berpasukan lelaki, kuartet negara hanya mampu menduduki tempat ketujuh dan tercorot.

Gandingan Akmal Amrun, Mohd Fadhli Fauzi, Jasmin Ruslan dan Thum Weng Kin mencatat masa 4 minit 28.344 saat.

Catatan itu jelas masih jauh daripada standard kelas dunia walaupun kayuhan mereka makin pantas berbanding rekod kebangsaan.

Acara itu semalam dimenangi Australia (4:03.483s) diikuti Sepanyol (4:07.945s) dan Ukraine (4:10.041s).

Hari terakhir saingan hari ini bakal menyaksikan Azizulhasni berpeluang menambah pingat emas untuk negara apabila beraksi dalam acara 200 meter pecut bersama Josiah.

Kelmarin, pelumba tunggal wanita negara, Fatehah Mustapha tewas seawal pusingan pertama lagi dalam acara 200m pecut wanita.

- Utusan

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90