Top Ad 728x90

Black Metal Haram

Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam semalam memutuskan ajaran Black Metal yang diasaskan kumpulan muzik berirama rock berat dari Barat adalah haram dari segi Islam.

Pengerusi Jawatankuasa majlis itu, Datuk Dr Shukor Husin, berkata dengan fatwa itu, pihak yang mengamalkan ajaran Black Metal kini boleh dikenakan tindakan mengikut hukum syarak.

Katanya, pihak berkuasa agama negeri kini dalam proses mewartakan undang-undang mengharamkan ajaran kumpulan itu mengikut Enakmen Jenayah Syariah.

"Kita sedang tunggu pihak berkuasa agama negeri untuk fatwa ini diwartakan mengikut Enakmen Jenayah Syariah.

"Bila kita dah haramkan Black Metal, pihak berkuasa agama negeri akan berunding. Terpulanglah kepada negeri (untuk ambil tindakan)," katanya selepas mempengerusikan Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan ke-72 di sini, semalam.

Beliau berkata, tindakan pengikut ajaran Black Metal yang memijak al-Quran, memuja syaitan, anti-Tuhan dan mengamalkan seks bebas adalah jelas bercanggah dengan ajaran Islam.

"Selepas mengkaji dan menilai, Majlis Fatwa Kebangsaan mendapati Black Metal adalah kumpulan sesat dan ajarannya bercanggah dengan ajaran syariah Islam.

"Oleh itu, semua pihak khususnya ibu bapa perlu segera mencegah perkara ini daripada terus merebak dan memastikan tidak berlaku sebarang peningkatan golongan Black Metal di negara ini," katanya

Selain itu, Dr Shukor berkata, majlis turut membincangkan mengenai penggunaan ayat al-Quran dan hadis sahih untuk mengubati penyakit rohani.

"Penggunaan ayat al-Quran ini sudah digunakan secara meluas sejak zaman dulu sama ada ditiup di kepala pesakit atau dibacakan pada air untuk diminum atau disapu pesakit.

"Tetapi, penggunaannya secara komersial tidak dibenarkan kerana ia dikhuatiri boleh menyebabkan khurafat iaitu mempercayai kuasa lain selain Allah," katanya.

Beliau berkata, umat Islam yang menggunakan ayat al-Quran untuk tujuan perubatan perlu menganggap ia sebagai doa untuk mengubati sesuatu penyakit yang dihidapi mereka.

FAKTA: Majlis Fatwa Kebangsaan perjelas tindakan ajaran bercanggah Islam

Ajaran Black Metal yang menggalakkan pengikutnya memijak al-Quran, memuja syaitan, anti-Tuhan dan mengamalkan seks bebas menjadi punca ia diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Namun adalah tidak menjadi kesalahan jika seseorang itu mendengar muzik Black Metal.

Susunan muzik dan lirik Black Metal banyak diilhamkan daripada ideologi antipembangunan, antiagama, perlakuan kejam dan memuja syaitan.

Mula berkembang di Malaysia berikutan penubuhan kumpulan Tormentor, Brain Dead, Skull Head, Sillhanaz dan Suffercation.

Muzik Black Metal dihasilkan untuk mempengaruhi peminatnya supaya menafikan kewujudan agama melalui lirik yang merosakkan minda dan memesongkan akidah.

Lirik dalam lagu Black Metal dengan jelas mengajak pengikut memuja syaitan dan membenci Tuhan.

Ia turut menganjurkan beberapa acara pemujaan seperti memijak al-Quran selain mengamalkan seks bebas.

Pengikut Black Metal turut mengamalkan seks bebas, meminum darah dan minum arak.

Mempunyai kitab sendiri yang mencampuradukkan beberapa ayat suci al-Quran tulisan rumi, hadis dan Injil.

Ada ahli kumpulan yang dikatakan memasukkan titisan darah mereka ke dalam gelas yang dipercayai bercampur darah kambing dan kemudian diminum.

Ada remaja wanita yang berbogel sambil mengoyak al-Quran dan ditaburkan, sebelum menghina ayat suci itu dengan melakukan seks di atas cebisan naskhah al-Quran.

INFO: Black Metal

Black Metal adalah muzik yang muncul pada awal 1980-an, sama era muzik Heavy Metal. Ia berkembang daripada Thrash Metal sama seperti Death Metal.

Pengasas muzik Black Metal ialah seperti kumpulan Venom, Mercyful Fate, Bathory, Hellhammer, Bulldozer, Celtic Frost dan Mayhem.

Nama Black Metal diilhamkan daripada tajuk album kumpulan Venom "Black Metal" yang bermaksud logam hitam.

Black Metal mengukuhkan kedudukannya pada masa kini dengan dipengaruhi kumpulan muzik dari Norway seperti Darkthrone, Enslaved, Burzum, Mayhem, Immortal, Ancient dan Emperor.

Muzik ini jelas menjurus kepada pemujaan syaitan dan liriknya antiagama.
Ciri-ciri Muzik Black Metal :

Petikan gitar menggunakan irama muzik yang keras.

Lirik yang memuja syaitan, unsur pemujaan atau mengutuk agama.

Bunyi gitar yang nyaring dan juga menggunakan bunyi gitar yang tebal.

Pengeluaran album yang terhad kerana permintaan yang kurang.

Muzik laju, ketukan dram agresif dan bingit. Kadang kala ketukan dikurangkan.

Kebiasaannya menggunakan keyboard elektronik. Juga memasukkan bunyian biola, organ dan iringan koir bagi memasukkan elemen orkestra.

Nada bunyi yang tinggi dengan suara yang menjerit
Sejarah Black Metal

Pemain gitar Mayhem berbangsa Norway, Oystein Aarseth atau lebih dikenali Euronymous adalah anggota yang paling menonjol pada lewat 1980-an dan awal 1990-an. Black Metal yang diperkenalkan Aarseth ada kaitan dengan National Socialist Black Metal (NSBM- ada pengaruh neo-Nazi), beliau memasukkan elemen yang menentang Yahudi.

Pergerakan kumpulan itu dilakukan secara sembunyi bermula di bilik bawah tanah kedai muzik milik Aarseth. Kemudian dikembangkan di kalangan sahabat rapat mereka. Bilik bawah tanah itu dikenali sebagai Helvete (neraka). Kedudukan rumah itu turut menempatkan studio rakaman yang menghasilkan produk Mayhem dan kumpulan lain yang berada di bawah label mereka.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90