Top Ad 728x90

Jangan Ingkari Fatwa

Majlis Fatwa Kebangsaan adalah badan yang amat dihormati oleh masyarakat Islam di negara ini. Keputusan Majlis Fatwa atas pelbagai isu yang berbangkit dibuat secara teliti dan cukup halus berasaskan rujukan daripada sumber agama membabitkan Al-Quran, hadis dan ijmak ulama.

Proses untuk mengeluarkan sesuatu fatwa cukup sistematik dan dibuat secara ilmiah dengan membabitkan tokoh yang memiliki pelbagai kepakaran dan diperakui kebolehannya. Pada hemat saya, peranan fatwa dalam Islam adalah menjelaskan kesamaran yang berlaku membabitkan kepentingan ummah untuk tujuan dihormati dan dipatuhi, jauh sekali untuk diingkari.

Mengingkari fatwa yang dikeluarkan bermakna mencabar Allah dan Rasul-Nya. Fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan tidak harus ditentang kerana membabitkan isu hukum-hakam Islam yang cukup kemas lagi kukuh untuk ditakwilkan. Fatwa yang dikeluarkan mesti diterima kerana bertepatan dengan syariat.

Tidak pernah berlaku dalam mana-mana isu yang diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan, ditentang oleh orang Islam. Mereka faham dan akur dengan keputusan Majlis fatwa. Umat Islam faham bahawa fatwa yang dikeluarkan adalah demi kemaslahatan umat Islam saja dan menjaga akan kepentingan umat daripada tergelincir landasan.

Justeru, fatwa yang dikeluarkan boleh mengelakkan umat Islam daripada memilih jalan sendiri dengan membuat tafsiran agama berasaskan dorongan perasaan dan naluri masing-masing.

Kali ini fatwa mengenai pengkid menjadi medan tempur baru. Tidak pernah berlaku kepada umat Islam sebelum ini bahawa fatwa yang dibuat demi kepentingan dan maslahah umat Islam dicabar oleh kelompok tertentu dan kalangan badan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menjelaskan fatwa yang dikeluarkan itu sebagai panduan bagi menyelamatkan generasi muda melakukan perkara yang dilarang agama.

Ertinya, dalam hal ini golongan bukan Islam tidak ada hak untuk mempertikai dan mempersoalkan keputusan fatwa berkenaan, apatah lagi memperlekehkannya. "Kita minta pihak berkenaan tidak mencampuri hak orang Islam dalam menganuti agama Islam, apatah lagi mempertikai pihak berkuasa agama negara ini dalam menegakkan syiar Islam," kata Wan Mohamad.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran keras kepada golongan NGO termasuk bukan Islam agar tidak mencabar kewibawaan fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan kerana membabitkan hukum berdasarkan sumber nas Quran, sunah, ijmak dan qias.

Golongan ini perlu menghormati fatwa tanpa bersikap semberono mempertikaikan sesuatu hukum berasaskan logik akal semata-mata untuk kepentingan liberalisme bagi kelompok tertentu.

Tahap keberanian kelompok tertentu dan kumpulan NGO bukan Islam ini sudah melepasi garisan kemarahan umat Islam. Sebenarnya, mencabar Majlis Fatwa bermakna mencabar Majlis Raja-Raja Melayu. Majlis Fatwa dipilih oleh Majlis Raja-Raja Melayu dan mereka diberikan kuasa untuk memberikan garis panduan kepada umat Islam terhadap sesuatu yang tidak ada hukum.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah, rakyat negara ini yang berani ke tahap mencabar kewibawaan Raja-Raja Melayu. Keberanian yang tidak kena pada tempat dan bersifat membabi buta ini perlu dibendung.

Golongan ini mesti diingatkan agar tidak bertindak di luar batasan. Jangan mengajar umat Islam untuk menjadi lebih berani dalam episod ini, membabitkan golongan yang mencabar mereka berada dalam keadaan tidak jelas di segi hak dan batasan bersuara dan berdemontrasi. Jangan curahkan minyak untuk menyalakan api persengketaan.

Sepatutnya kelompok dan golongan NGO bukan Islam yang tidak faham peranan Majlis Fatwa Kebangsaan dan fungsi fatwa yang dikeluarkan, memohon penjelasan dalam majlis yang mereka boleh anjurkan. Mereka kena ingat bahawa fatwa, hukum, peraturan dan sebagainya bukan bertujuan menyekat kebebasan dan bersifat mengongkong.

Sebaliknya, memperbetulkan manusia supaya kembali kepada fitrah tetapkan agama. Agama bukan penyekat tetapi penyelamat manusia sejagat dan pemandu kepada umat manusia untuk patuh kepada nilai yang ditetapkan Allah.

Tindakan Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Ivy Josiah yang mempertikaikan fatwa berkaitan dan menyifatkannya sebagai mahu mengongkong kebebasan wanita di samping menjadikan negara ini dipandang serong serta ditertawakan negara luar, amat dikesali dan lebih bersifat emosi yang tidak terkawal semata-mata kononnya untuk memperjuangkan kebebasan.

Amat malang kalaulah kebebasan itu ditafsirkan sebagai bebas untuk berperilaku sesuka hati mengikut naluri dan kerakusan nafsu tanpa perlu mengikut undang-undang. Tidak ada dalam dunia ini kebebasan melampau yang membabitkan negara dan penghuninya.

Sebaliknya kebebasan sebenar adalah bermaksud memandu manusia secara lancar dan mengelakkan diri daripada terbabas kehidupannya dan fatwa yang dikeluarkan bertujuan menjadikan manusia lebih berhemah dan memahami hakikat diri ketika memandu diri dalam arus kehidupannya.

Tidak elok kalau isu ini sengaja dimainkan untuk mengaut keuntungan populariti peribadi atau pertubuhan yang membabitkan dirinya. Apatah lagi apabila pertikaian itu hanya dilandaskan kepada emosi dan pandangan peribadi semata-mata.

Apakah peraturan itu sesuatu yang tidak baik? Bukankah melalui peraturan dan peringatan kepada manusia itu menjadikan manusia lebih tersusun, beradab dan lebih mengenali hakikat diri untuk dibandingkan dengan binatang yang langsung tidak dikawal oleh aturan dan peraturan.

Janganlah kerana kejahilan kita untuk memahami peranan dan tanggungjawab badan lain, maka kita mengambil jalan mudah untuk membuat tafsiran sendiri terhadap sesuatu isu itu. Pepatah ada menyebut 'malu bertanya, sesat jalan'. Jangan menyalahkan orang lain kerana kita tidak bertanggungjawab kepada diri kita sendiri, apatah lagi kepada orang lain untuk membina ketamadunan manusia.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90