Top Ad 728x90

Piala Seri Iman galak percambahan inovasi batik


Sejak pertama kali diperkenalkan empat tahun lalu, Piala Seri Iman sudah sinonim dengan kebangkitan semula industri batik di Terengganu.

Di samping mencari dan mewujudkan produk batik, ia juga dianggap sebagai menggalakkan percambahan inovasi baru dari aspek rekaan, penggunaan bahan-bahan dan teknologi yang boleh membantu meningkatkan lagi industri batik.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera, pada tahun ini Piala Seri Iman mengetengahkan tema Eksperimental & Inovasi Dalam Batik dalam usaha menonjolkan lagi rekaan batik.

''Tema tahun ini merangkumi aspek eksperimentasi dan inovasi dalam rekaan batik dipilih oleh penganjur pertandingan iaitu Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) dan Terengganu International Design Excellence untuk rekaan yang lebih menarik.

''Eksperimentasi batik yang dimaksudkan adalah aplikasi dan kombinasi di antara teknik-teknik, bahan dan penggunaan warna agar menghasilkan rekaan yang menarik dan inovasi pula adalah pembaharuan dan penggayaan baru batik dalam menghasilkan corak yang unik dan luar biasa,'' katanya ketika ditemui pada Malam Gala Piala Seri Iman yang diadakan di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, seramai empat panel hakim pertandingan yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu International Design Excellence, Prof. Madya Sulaiman Ghani mengadili hasil kerja 10 finalis pertandingan itu.

Antara finalis tersebut ialah Datuk Paduka Sharifah Hishmah Shahabudin, Fatimah Ismail, Kartini Ilias dan Rodziah Md. Yusof.

Selain rekaan fesyen batik sebagai kategori utama yang menjadi tumpuan ramai, Piala Seri Iman turut mewujudkan kategori rekaan ukiran kayu, rekaan barangan kraftangan batik dan rekaan corak batik blok.

Mohamed yang juga Pengerusi Induk Malam Gala Piala Seri Iman berkata, Piala Seri Iman 2008 masih diteruskan lanjutan daripada sambutan yang menggalakkan daripada pertandingan tahun lepas.

''Pertandingan ini mampu memajukan industri batik dan merangsang kreativiti serta menjamin keunggulan, pertumbuhan dan keutuhan jangka panjang perkembangan industri batik negara dan Terengganu,'' katanya.

Menurutnya, melalui pertandingan seumpama ini diharap mampu memartabatkan seni kraftangan batik ke peringkat antarabangsa.

''Pertandingan ini merupakan batu loncatan untuk mewujudkan lebih banyak rekaan batik yang inovatif dan kreatif yang mampu memperkembangkan industri ini ke peringkat global,'' ujarnya.

Selain itu, jelasnya, ia merupakan antara strategi penjenamaan Terengganu sebagai pusat rujukan terulung bagi perkembangan batik negara.

Beliau memberitahu, ia juga bertujuan membuka minda pereka dan pengusaha batik untuk mempelbagaikan serta memperkayakan reka bentuk fesyen batik yang berkonsepkan anggun, sopan dan bergaya.

Penggunaan motif ukiran kayu dalam rekaan batik oleh dua pensyarah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Machang, Kelantan menambat hati para juri sehingga dinobatkan sebagai juara pertandingan rekaan batik sekali gus menggondol Piala Seri Iman 2008 baru-baru ini.

Wan Soliana Wan Md. Zin, 30 dan Hamdan Lias, 34, menghabiskan masa selama tujuh bulan untuk membuat kajian mengenai motif ukiran kayu daripada Norhaiza Nordin di Kampung Raja, Besut untuk dijadikan motif dalam rekaan batik mereka.

Mereka meluangkan masa untuk melakukan kajian itu bagi memastikan rekaan yang dihasilkan mampu bersaing dengan 10 peserta akhir lain semasa acara penentuan pada Malam Gala Piala Seri Iman di Pusat Konvesyen, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini.

Rekaan bermotifkan ukiran kayu yang bertemakan 'Sulur Bayur' itu menambat hati para juri dan dipilih sebagai pemenang kerana ia melambangkan jati diri dan semangat rakyat tempatan.

Wan Soliana ketika ditemui mengakui terkejut dengan kemenangan itu kerana ia merupakan penyertaan kali pertama beliau dalam Piala Seri Iman.

''Rekaan busana muslimah berasaskan warna putih mulus dengan motif ukiran kayu Terengganu ini sememangnya mempunyai keistimewaan dan keunikan yang tersendiri,'' jelasnya.

Menurutnya, sebelum ini, beliau pernah menyertai pertandingan Piala Seri Endon tetapi hanya mendapat hadiah saguhati.

Katanya, selepas terpilih menyertai Piala Seri Iman, beliau bersama Hamdan yang merupakan rakan setugasnya membuat penyelidikan ukiran kayu di Kampung Raja, Besut, Terengganu.

''Kami kemudiannya mendapat ilham untuk mengaplikasikannya dalam rekaan batik kami yang sememangnya menggambarkan identiti orang Terengganu selain mempunyai keunikan tersendiri.

''Pertama kali saya melihat ukiran kayu di Kampung Raja, saya terus mendapat idea untuk mengetengahkan ukiran tersebut pada rekaan kami," ujarnya.

Sementara itu, Hamdan berkata, walaupun motif ukiran kayu sinonim dengan senibina bangunan sahaja, namun ia mampu diolah untuk dijadikan corak batik kontemporari.

Menurutnya, kejayaan itu memberi semangat baru kepadanya untuk mengetengahkan rekaan batik ke peringkat antarabangsa.

Dengan kemenangan tersebut, Wan Soliana dan Hamdan membawa pulang RM15,000 dan trofi serta sijil penghargaan yang disampaikan oleh Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90