Khamis, November 13, 2008

Sistem kewangan Islam berkesan atasi krisis ekonomi

Krisis ekonomi global sekarang menggambarkan keperluan yang mendesak supaya dilaksanakan pengubahsuaian dalam sistem kewangan yang ada sekarang, sehingga ada pihak menyarankan sistem kewangan Islam diguna pakai sebagai alternatif. Oleh itu, sistem kewangan Islam mesti bersedia melaksanakan dimensi baru untuk memenuhi keperluan perniagaan yang berubah dalam persekitaran global. Dalam hubungan ini, sistem kewangan Islam perlu secara pantas berintegrasi dengan sistem kewangan antarabangsa dan membuktikan ia alternatif terbaik kepada sistem kewangan konvensional yang diamalkan sebahagian besar negara di dunia.

Hakikatnya, sistem kewangan Islam amat baik dilaksanakan apatah lagi ketika dunia kini sedang dilanda kemelut ekonomi. Ini kerana kewangan Islam berbeza daripada kapitalisme dalam dua perkara utama iaitu ia mengharamkan pinjaman yang mengamalkan faedah - dilihat sebagai riba yang diharamkan dalam Islam dan juga mengharamkan spekulasi. Sebaliknya, ia menyokong perkongsian risiko antara bank dan pelanggan. Sistem berasaskan prinsip Islam menawarkan satu alternatif yang mampu mengurangkan risiko.

Oleh itu, kita mengalu-alukan kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin yang mahukan komuniti kewangan Islam membuktikan kepada pasaran global bahawa sistem kewangan Islam berdaya tahan dan maju serta pilihan terbaik menggantikan sistem perbankan konvensional. Seperti kata Perdana Menteri, krisis kewangan yang dihadapi dunia kini adalah peluang terbaik bagi mengetengahkan keunikan kewangan Islam dan peluang itu wajar digunakan secara bijak. Komuniti kewangan Islam seharusnya berusaha secara berterusan ke arah mewujudkan kewangan Islam sebagai industri berdaya maju dan menguntungkan kedua-dua pihak - pengusaha dan pelanggan.

Sebagai contoh, ada produk kewangan Islam yang dibenarkan di sebuah negara Islam dianggap meragukan, tetapi dianggap terbaik di negara lain. Islam membenarkan perbezaan dalam tafsiran syariah, tetapi banyak lagi yang perlu dilakukan bagi menjayakan sistem kewangan Islam kerana ia kini digunakan dalam pelbagai bidang berbeza dan perlu disepadukan.

Menurut satu kajian, sepanjang tiga dekad lalu, jumlah institusi kewangan Islam meningkat melebihi 300 buah yang berkembang di 75 negara dengan jumlah aset keseluruhannya kira-kira AS$300 bilion (RM1.05 trilion) dan berkembang pada kadar 15 peratus setahun. Ulama terkenal, Sheikh Yussef al-Qaradawi dalam satu persidangan di Doha, Qatar, baru-baru ini menyatakan keruntuhan kapitalisme berasaskan riba dan bukan menggunakan dagangan barang di pasaran adalah bukti ia dalam krisis serta menunjukkan falsafah ekonomi Islam mampu bertahan.

Misalnya, Malaysia sudah meneroka secara progresif sistem kewangan Islam bagi meningkatkan penyertaan pelabur asing kerana ia membentuk komponen penting dan kompetitif dalam keseluruhan sistem kewangannya yang beroperasi sejajar dengan sistem perbankan konvensional, selain memberi perkhidmatan kepada komuniti Islam dan bukan Islam. Liberalisasi sistem kewangan Islam di negara ini dilakukan menerusi pengeluaran lesen baru dan penyertaan asing yang semakin meningkat dalam syarikat takaful dan bank Islam, selain lesen baru bagi pengurus dana dan firma pembrokeran saham asing.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts