Top Ad 728x90

Terengganu sedia hadapi banjir

Kerajaan Terengganu tidak mengehadkan peruntukan untuk bantuan banjir tahun ini, sebaliknya ia akan terus disalurkan mengikut keperluan semasa.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, peruntukan bantuan banjir untuk tahun ini dijangka melebihi RM2 juta hingga RM3 juta yang disalurkan pada tahun-tahun lepas berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi bahawa hujan lebat akan melanda negeri ini bermula hujung bulan ini hingga awal Januari 2009.

Menurutnya, bantuan awal untuk menghadapi banjir berupa barangan makanan yang mencukupi untuk bekalan selama tiga hari telah sedia untuk diagihkan di 88 buah pangkalan hadapan di kawasan-kawasan yang dikenal pasti sering dilanda bencana alam itu.

''Bekalan makanan yang akan diedarkan ialah beras, sardin, gula, serbuk teh, susu tepung, minyak masak, biskut jagung, garam halus serta tambahan dua barangan keperluan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu susu pekat dan serbuk kopi.

''Keperluan kelengkapan harian pula termasuk tikar, selimut, kain pelikat, kain batik dan tuala juga sedia diagihkan ke pangkalan hadapan untuk simpanan menghadapi banjir," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Ahmad memberitahu, Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri Terengganu telah mengenal pasti 239 kawasan di semua daerah yang sering dilanda banjir.

Untuk menampung keperluan mangsa, katanya, sebanyak 303 pusat pemindahan termasuk masjid, dewan sekolah dan balairaya disediakan sebagai tempat penginapan sementara yang mampu menampung 46,966 orang.

Selain itu, jelasnya, semua agensi yang terlibat dengan operasi pemindahan dan menyelamat mangsa banjir telah bersiap sedia dengan keperluan logistik melibatkan 386 kenderaan merangkumi pengangkutan darat, air dan udara manakala 81 kawasan pendaratan helikopter juga dikenal pasti jika diperlukan.

Menurutnya, semua pegawai daerah juga telah diarah menyelaras gerak kerja persiapan persediaan banjir manakala pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula diminta bersedia melaksanakan 'Ops Lumpur' iaitu membersihkan parit dan longkang supaya aliran air tidak tersekat.

''Talian bantuan kecemasan banjir di Bilik Gerakan Banjir Negeri dan beberapa jabatan lain akan diaktifkan apabila berlaku banjir," ujarnya.

Beliau menasihatkan penduduk supaya mematuhi arahan berpindah yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90