Top Ad 728x90

Kepentingan ilmu pengurusan kewangan berhemah

Walaupun 2008 semakin menghampiri penghujungnya, suasana ekonomi global kini menyaksikan ketidaktentuan hala tuju apabila beberapa kuasa besar seperti Amerika Syarikat terpaksa bertungkus-lumus menyelamatkan ekonominya.

Krisis subprima membabitkan kenaikan harga bahan bakar dan kredit sebelum ini menjejaskan banyak industri sehingga menyebabkan syarikat gergasi gulung tikar, termasuk terpaksa meminta ehsan tabung kewangan untuk terus bertahan.

Tempiasnya turut dirasai negara rantau Asia yang mengambil langkah segera untuk memastikan ekonomi negara terus bertahan.

Sebagai persediaan untuk berdepan krisis berkenaan, pengurusan kewangan secara berhemah adalah langkah terbaik bagi memastikan aliran kewangan individu sentiasa seimbang.

Sebagai pengguna atau pengurus kewangan yang bijak, kejayaan mengikis tabiat suka berbelanja untuk barangan tidak perlu serta membazir sememangnya langkah sewajarnya.

Tidak dinafikan sikap membazir dan suka berhutang antara faktor menyebabkan terdapat segelintir pengguna sentiasa diburu kebimbangan dan tertekan, apatah lagi kerana dikejar pemungut hutang atau along.

Lebih menyedihkan ada yang disenarai hitam institusi kewangan sehingga sukar untuk membuat sebarang pinjaman.

Dalam kebanyakan kes, faktor menyumbang kepada masalah hutang dan ketidakupayaan membayar balik pinjaman disebabkan perancangan kewangan lemah, tidak mempunyai pengetahuan membuat perancangan kewangan dan tidak berdisiplin dalam kehidupan mereka.

Ada peminjam bermasalah disebabkan faktor luar jangkaan seperti masalah kesihatan, kematian pencari nafkah, kehilangan pekerjaan dan kegagalan perniagaan.

Dalam menangani masalah itu, masyarakat yang kini dibebani masalah kewangan boleh memanfaatkan fungsi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi membantu mereka.

Perkhidmatan yang disediakan AKPK adalah percuma.

Berdasarkan statistik sehingga September lalu, AKPK sudah memberikan perkhidmatan kepada 64,186 pelanggan di seluruh negara.

Daripada jumlah berkenaan, hampir 46,000 pelanggan sudah mendapatkan perkhidmatan kaunseling dan lebih 18,000 lagi dibantu melalui Program Pengurusan Kredit.

Daripada kes dikendalikan AKPK menerusi program pengurusan kredit, 17.2 peratus membabitkan hutang kad kredit, pinjaman kereta (1.6 peratus) dan pinjaman rumah (2.2 peratus).

Kes lain bagi pinjaman berjangka, pinjaman peribadi dan pembiayaan margin saham yang secara keseluruhan 21.2 peratus.

Peminjam individu boleh mendapatkan bantuan AKPK untuk membuat penstrukturan semula pinjaman perumahan, pinjaman kenderaan, pinjaman peribadi atau baki tertunggak kad kredit atau caj yang didapati daripada penyedia kewangan di bawah kawal selia Bank Negara.

Sejak memulakan perkhidmatannya April 2006, AKPK sudah mencapai tahap membanggakan, terutama selepas pembukaan pejabat cawangannya di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Lumpur, Kuching, Kota Kinabalu, Melaka, Ipoh dan Kuantan.

Pembukaan pejabat cawangan berkenaan memberi kemudahan kepada orang ramai, khususnya penduduk di negeri terbabit untuk mendapatkan perkhidmatan daripada AKPK.

Ketua Eksekutifnya, Mohamed Akwal Sultan, berkata visi agensi berkenaan ialah untuk memastikan rakyat Malaysia terus berdaya tahan dan berhemah dalam pengurusan kewangan dan penggunaan kredit mereka.

Katanya, organisasi yang ditubuhkan Bank Negara Malaysia sejak dua tahun lalu itu menyediakan saluran berkesan kepada peminjam serta bakal peminjam mendapat khidmat nasihat serta bantuan mengenai pengurusan kredit bagi memastikan isi rumah terus berdaya tahan.

“Kes yang dirujuk kepada AKPK dijangka meningkat tahun depan, terutama dalam keadaan semasa. Orang ramai kini mula sedar mengenai fungsi AKPK dalam membantu mereka mengurus kewangan dan hutang mereka,” katanya.

Usaha berkenaan dilaksanakan AKPK menerusi pendidikan kewangan komprehensif serta memberi perkhidmatan kaunseling kewangan dan program pengurusan kredit profesional supaya masyarakat boleh mengendalikan kewangan mereka.

AKPK mempunyai matlamat memastikan sektor isi rumah terus berdaya tahan dengan menyediakan saluran bagi peminjam individu dan bakal peminjam mendapatkan nasihat dan bantuan berhubung pengurusan kredit.

Perkhidmatan yang diberikan itu juga menggalakkan sistem perbankan yang teguh dan mantap dengan memudahkan usaha pembayaran balik hutang dan meminimumkan kes tidak berbayar akibat daripada pengurusan hutang kurang cekap.

Bagi memudahkan pengguna, AKPK menyediakan pelbagai perkhidmatan antaranya pendidikan kewangan dengan memberi kemahiran asas pengurusan kewangan dan penggunaan kredit yang wajar dan secara bertanggungjawab.

Program pendidikan kewangan AKPK itu disampaikan menerusi taklimat dan penerangan yang dirangka khusus kepada kumpulan atau individu, termasuk kumpulan sosial serta organisasi.

Pengguna yang mendapatkan perkhidmatan akan diberikan nasihat dan kaunseling mengenai pengurusan kewangan, termasuk bajet kewangan sehingga pengurusan perbelanjaan.

Sementara itu, Program Pengurusan Kredit (PPK) membantu pengguna menyelesaikan masalah pinjaman dengan institusi kewangan yang dikawal selia Bank Negara dengan menyediakan pelan pembayaran semula pinjaman bagi peminjam yang layak.

Menerusi perkhidmatan disediakan AKPK, perancangan pengurusan kredit dapat membantu peminjam mengurus belanjawan, menolong membuat pembayaran balik pinjaman dan mengendalikan perbelanjaan harian dengan teratur.

Program berkenaan berjaya mengurangkan jumlah hutang yang tidak berbayar dan menghindari rumah daripada dilelong.

Pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan AKPK tergolong daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Penggabungan pendidikan kewangan ke dalam program yang disediakan AKPK fungsi sektor kewangan dapat diperbaiki dengan wujudnya peminjam yang bijak serta menggalakkan pembayaran dan budaya pembayaran semula pinjaman dengan teratur.

Dengan bertambahnya pengetahuan kewangan, keperluan untuk menabung dapat diwujudkan dengan asas kepada pengumpulan harta sebagai persediaan untuk menghadapi perbelanjaan tidak diduga, malah dapat membantu dalam persaraan.

Pendidikan kewangan dan kredit adalah penyelesaian ke atas semua masalah dihadapi pengguna pada masa ini.

AKPK bermatlamat untuk menyediakan pelbagai perkhidmatan pendidikan bagi membantu individu mengawal keadaan kewangan dan membolehkan mereka hidup dalam keadaan tenteram melalui cara pengurusan kredit yang wajar.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90