Top Ad 728x90

Pemuda UMNO Terengganu janji sokong calon

Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu berjanji akan memberi sokongan kepada siapa saja calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari depan.

Ketuanya, Mohd. Sabri Alwi berkata, pihaknya akan akur dengan keputusan yang dibuat kerana ia adalah ketetapan pucuk pimpinan dalam memilih calon yang paling sesuai untuk menggalas cabaran BN.

Katanya, bagi pergerakan itu siapa yang menjadi calon tidak penting kerana yang lebih diutamakan sekarang ialah memastikan BN menang dalam pilihan raya kecil yang dianggap penting dan mencabar itu.

''Kita akan bekerja kerana yang lebih diutamakan adalah kemenangan parti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pergerakan itu di pejabat UMNO negeri di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini berkata beliau telah mempunyai nama calon untuk pilihan raya kecil berkenaan, namun menyerahkan kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengumumkan.

Najib pula memberitahu, beliau telah dimaklumkan mengenai calon yang dipilih dan mungkin membuat pengumuman minggu depan. Lima nama kini disebut-sebut sebagai bakal calon yang akan membawa cabaran BN pada pilihan raya kecil itu kelak iaitu Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang merupakan Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Nama lain yang turut disebut-sebut ialah Bendahari Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Roslan Awang Chik; bekas Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Che Mat Jusoh; Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Mohd. Sabri Alwi dan Ketua Sektor (Akademik) Jabatan Pendidikan Negeri, Zuber Embong.

Mohd. Sabri berkata, pihaknya akan berusaha untuk menjejaki 20,000 pengundi muda yang berdaftar sebagai pengundi bagi memastikan mereka kembali menyokong calon BN dalam pilihan raya kecil nanti.

Katanya, mereka seharusnya didekati kerana sebahagian besar daripada golongan terbabit menyokong calon pembangkang dalam pilihan raya umum ke-12.

''Apabila dijejaki, kami akan mendekati dan seterusnya memastikan mereka kembali menyokong BN," ujarnya.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90