Top Ad 728x90

Taburan hujan tinggi dedah risiko tanah runtuh

Tiga kejadian tanah runtuh berlaku dalam masa seminggu dan terbaru meranapkan 14 banglo di kawasan Bukit Antarabangsa. Apakah faktornya sedangkan kekerapan hujan tidak banyak berubah berbanding tahun sebelum ini?

Malaysia memang tidak terkecuali daripada menerima proses hakisan tanah dan ia menjadi lebih buruk apabila negara ini berada dalam kawasan hujan Khatulistiwa dengan menerima hujan antara paling banyak dan kerap setiap tahun. Malah, secara puratanya, negara ini menerima sehingga 3,300 milimeter (mm) taburan hujan setahun sedangkan secara teorinya hakisan tanah boleh berlaku jika taburan hujan dalam setahun melebihi 1,000mm. Merujuk kepada kes yang berlaku akhir-akhir ini, ia disebabkan hujan sehingga lima hari berturut-turut. Mengikut kajian pihak kami, sekiranya hujan melebihi tiga hari berturut-turut, semua kawasan yang berada di cerun bukit dan tanah tinggi berkecerunan 35 darjah akan terdedah kepada risiko hakisan dan tanah runtuh. Kejadian di Bukit Antarabangsa awal pagi Sabtu lalu berlaku selepas hujan selama lima hari berturut-turut dan sehingga mencecah 70mm. Hasil pemantauan, 47 kes tanah runtuh yang pernah berlaku di negara ini terjadi selepas hujan sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Apakah yang menyebabkan kawasan di sekitar Bukit Antarabangsa sering berlaku tanah runtuh?

Kajian sudah banyak dilakukan sebelum ini dan kawasan itu memang dikategorikan sebagai kritikal serta terdedah kepada risiko berlaku tanah runtuh. Sebenarnya, tanah cerun di situ boleh runtuh lebih awal tetapi dihalang oleh pokok dan rumput yang banyak di situ. Namun, keburukannya pula ialah kita tak tahu apa yang berlaku di dalam tanah di bawah pokok kerana pemandangan kita terhalang. Realitinya, tanah cerun di situ mempunyai tahap kebolehruntuhan yang sangat tinggi dan kritikal. Lebih memburukkan keadaan, pembangunan di kawasan itu tidak mengikut proses atau piawaian pemantauan yang sepatutnya. Jika sebelum ini aktiviti pemantauan dan kajian struktur tanah dijalankan secara berkala dan tepat, kejadian itu boleh dihidu dan amaran awal dapat dikeluarkan. Kes sama seperti yang berlaku di Highland Towers pada 1993. Tanah di situ juga dikategorikan sebagai kritikal. Kawasan sebegitu lebih mudah terdedah kepada risiko tanah runtuh sekiranya taburan hujan tinggi, malah mungkin pergerakan tanah sudah lama berlaku cuma tidak dapat dikesan lantaran dihalang oleh pokok. Tetapi, kalau tak ada pokok, dah lama runtuh. Namun, pokok di situ mengaburi mata kita dan kebanyakannya beranggapan kawasan itu selamat. Saya yakin keadaan tanah di bawah pokok di kawasan itu berkelodak dan berpasir, sekali gus menjadikan struktur tanahnya lebih mudah terhakis.

Justeru, bagaimanakah kejadian sebegitu boleh dielakkan pada masa akan datang?

Dua kajian utama perlu dilakukan. Pertama, lihat struktur fizikal tanah terutama di kawasan bercerun untuk mengenal pasti kebolehruntuhan tanah. Ia terbahagi kepada beberapa skala dan jika keputusan diperoleh, pembahagian kawasan tanah itu mengikut zon perlu dilakukan. Tidak semua tanah boleh dikendali atau diselenggara menggunakan kaedah sama. Apa yang lebih penting, jika kawasan itu dilitupi pokok dan rumput, pastikan ujian terperinci turut dilakukan terhadap tanah di bawah pokok. Jika perlu, tebang pokok dan gantikan dengan tembok. Namun, ia tidak cukup setakat itu kerana aliran air juga perlu dipastikan lancar supaya tidak nanti tembok pula yang runtuh. Kajian kedua pula membabitkan tahap kebolehhakisan hujan. Kajian ini untuk mengenal pasti sama ada hujan boleh menyebabkan berlaku hakisan atau tidak. Banyak faktor boleh menyebabkan hakisan selepas hujan sama ada kerana kekerapannya, taburannya yang tinggi atau kekuatannya yang boleh menghakis tanah. Maklumat mengenai keadaan atau risiko di sesebuah tempat perlu disebarkan kepada orang ramai. Contohnya, tidak semua negeri atau kawasan mempunyai risiko dalam bulan yang sama. Di Lembah Klang misalnya, setiap Mac, November dan Disember memang terdedah kepada taburan hujan yang tinggi, sekali gus meningkatkan risiko. Lain pula halnya di Sarawak, Januari adalah bulan yang berisiko bagi mereka. Ketika itulah kejadian tanah runtuh selalunya berlaku. Jika semua kajian itu dibuat, sekurang-kurangnya orang ramai boleh mendapat maklumat segera sekiranya kemungkinan bencana dikesan.

Jika ada projek mahu dibangunkan di kawasan tanah tinggi, apakah kaedah yang perlu ditekankan atau adakah langsung tidak boleh dijalankan pembangunan di kawasan sebegitu.

Pembangunan sebenarnya boleh dilakukan di mana-mana. Sebagai contoh di Nagasaki, Jepun. Rumah didirikan di kawasan lereng bukit yang berkecerunan melebihi 35 darjah. Namun, pemantauan dan penyelenggaraan di situ sempurna. Di negara kita, pemantauan hanya pada peringkat awal. Kajian juga tidak dijalankan dengan sempurna dan bersepadu. Banyak tenaga pakar tidak digabungkan dalam mendapatkan kepastian mengenai keselamatan sesuatu kawasan. Sepatutnya, sebelum projek dimulakan, pihak pemaju mengemukakan sampel tanah atau keputusan mengenai kajian sifat fizikalnya untuk dikenal pasti kaedah pemantauan dan kawalan yang perlu dilakukan. Jika semuanya sempurna dan kawalan secara zon dapat dilaksanakan, tidak ada masalah pembangunan dilakukan di kawasan sebegitu. Masalahnya, pelaksanaan tidak berterusan. Ia berlaku sekerat jalan dan pada peringkat awal saja. Siasatan rapi tidak dijalankan. Contohnya, tragedi di Highland Towers dan di Bukit Antarabangsa itu sepatutnya boleh dikesan lebih awal. Seperti yang saya katakan tadi, Mac, November dan Disember adalah bulan berisiko di situ. Jadi, kajian dan pemantauan menyeluruh perlu dilakukan dua bulan sebelum itu.

Di manakah lagi kawasan yang sudah dikenal pasti berisiko tinggi untuk menerima bencana tanah runtuh dan adakah cara untuk orang ramai mengenal pasti tahap bahaya di kawasan mereka?

Semua kawasan yang berkecerunan 35 darjah pasti berisiko. Namun, sejauh mana risikonya bergantung kepada keadaan tanahnya. Ada yang kadar hakisannya tidak teruk dan ada yang sudah menunggu masa untuk runtuh. Menurut pemerhatian kami, kawasan tanah tinggi termasuk Bukit Fraser, Cameron Highlands dan Genting Highlands berisiko. Namun, di Genting Highlands, risikonya lebih tertumpu di kawasan bawah iaitu antara Awana ke bawah. Di kawasan atasnya setakat ini selamat. Sebenarnya, sesiapa saja boleh mengenal pasti risiko berlaku tanah runtuh dengan melihat keadaan hakisan di kawasan berhampiran kediaman mereka. Ada tiga jenis hakisan iaitu keping, alur dan gegeluk. Hakisan keping hanya membabitkan hakisan kecil di atas tanah, manakala hakisan alur pula membentuk pergerakan tanah seperti alur sungai dan agak besar. Hakisan gegeluk pula ialah hakisan yang membentuk lubang. Jika melihat berlakunya hakisan alur atau gegeluk di kawasan mereka, laporan segera perlu dibuat kerana ia sudah dianggap bahaya dan boleh menyebabkan tanah runtuh berlaku pada bila-bila masa. Namun, seperti yang berlaku di Bukit Antarabangsa, agak menyukarkan kerana penduduk tidak nampak struktur tanah kerana dilitupi pokok.

Adakah kemungkinan untuk bencana lebih besar berlaku pada masa akan datang?

Melihat kepada senario semasa dan kedudukan negara ini yang terdedah kepada pelbagai kesan bencana di negara berdekatan, kita bukan sekadar perlu risau dengan kejadian tanah runtuh saja kerana ada kemungkinan banyak lagi bencana lain yang lebih buruk bakal dialami sekiranya tiada kajian menangani bencana dilakukan segera. Tsunami, ribut, gempa bumi dan banyak lagi bencana yang sebelum ini tidak pernah dialami akan mula dirasa pada masa akan datang. Justeru, sudah sampai masanya semua agensi bekerja secara berpasukan untuk menggabungkan kepakaran bagi membuat penyelidikan dan pemantauan. Tidak cukup sekadar mengharapkan sesebuah agensi menjalankan tugas itu kerana tidak semua kepakaran dikuasai mereka.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90