Top Ad 728x90

Tudung Sarimah Labuci 5 sen sehelai


Ketika ramai peniaga masih 'liat' menurunkan harga barang walaupun harga petrol sudah turun, sebuah syarikat perniagaan kain mengambil tindakan sebaliknya, dengan menjual tudung pada harga semurah lima sen.

Percaya atau tidak, itulah harga yang diletakkan oleh syarikat Desa Murni ketika mengadakan promosi untuk pembelian tudung yang dikenali sebagai tudung Sarimah Labuci.

Pengurus syarikat itu, Suhaimi Embong berkata, sambutan yang diberikan sangat menggalakkan ketika promosi tudung berkenaan diadakan pada setiap hari Sabtu bermula 6 Disember lalu.

''Sebanyak 300 helai tudung yang dipamerkan pada setiap Sabtu habis dijual di tiga kedai kami di Batu Enam dan Pengadang Baru di Kuala Terengganu dan DM Pemborong di Kuala Berang," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, tujuan promosi itu diadakan adalah untuk memperkenalkan perniagaan syarikat berkenaan selain untuk memberi peluang masyarakat setempat memperoleh tudung berkenaan pada harga paling minimum.

''Strategi perniagaan kami adalah memfokuskan kepada golongan berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan, jadi kami menjual barang jualan dengan harga yang murah," ujarnya.

Beliau memberitahu, walaupun tidak mendapat keuntungan daripada promosi itu tetapi hasrat syarikat untuk beramal berjaya dilaksanakan.

''Kami tidak memikirkan sangat mengenai keuntungan walaupun tudung ini pada asalnya berharga RM2.50.

''Untuk tudung jenis lain, kami juga menjualnya dengan harga yang rendah walaupun kami boleh meningkatkan harganya berdasarkan sambutan yang diterima sekarang," katanya.

Dalam pada itu, seorang pelanggan yang ditemui di Pengadang Baru, Mahani Abdullah, 47, berkata, dia datang membeli tudung berkenaan untuk anak- anaknya.

''Saya selalu datang membeli tudung di sini dan dengan promosi ini saya akan membeli lebih sedikit," katanya yang tinggal di Kampung Bukit Kulim, Pengkalan Berangan, Marang.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90