Top Ad 728x90

,

Kabinet tolak syor akta perpaduan

Selepas mengambil kira maklum balas daripada pelbagai pihak, Kabinet menolak cadangan mewujudkan Rang Undang-undang Perpaduan dan Perhubungan Kaum yang pada awalnya diharap mampu membantu menyatupadukan semua kaum di negara ini.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata keputusan itu dibuat selepas Kabinet berpendapat usaha menyatupadukan kaum di negara ini lebih wajar dilakukan melalui didikan berbanding pelaksanaan undang-undang.

“Perbincangan dan maklum balas mengenai usaha mewujudkan Akta Perpaduan dan Perhubungan Kaum diperoleh hingga Oktober lalu dan usaha itu termasuk mengadakan pertemuan serta perbincangan dengan wakil negeri dan ketua pelbagai agama.

“Hasil perbincangan, sebahagian besar kumpulan berpendapat tidak perlu untuk mewujudkan satu Akta Perpaduan dan Perhubungan Kaum,” katanya pada sidang media selepas majlis meraikan media anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang juga Timbalan Pengerusi MCPF dan Naib Pengerusi MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye.

Mohd Shafie, yang juga Pengerusi MCPF berkata, mesyuarat Kabinet dua minggu lalu itu juga berpendapat usaha menyatupadukan tidak seharusnya dibuat menerusi paksaan, sebaiknya menerusi didikan yang dipupuk sejak usia muda.

“Kita tidak perlu menyatupadukan kaum dengan melaksanakan undang-undang, sebaliknya masyarakat perlu dididik bukan saja pada peringkat dewasa, malah pada peringkat kanak-kanak lagi dan ini lebih berkesan,” katanya.

Mohd Shafie berkata, maklum balas dan hasil perbincangan mengenai perkara itu juga sependapat mengatakan perpaduan kaum di negara ini masih baik malah undang-undang dan peraturan untuk mengenakan tindakan terhadap sebarang salah laku yang boleh menggugat perpaduan, sudah ada.

Sementara itu, dalam majlis berasingan semalam, Mohd Shafie berkata, kementeriannya menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) juga menyokong sepenuhnya usaha untuk menjana kecemerlangan industri perfileman.

Dalam tempoh tiga tahun lagi, katanya dijangkakan lebih 35 filem akan dipasarkan dan bilangan ini meliputi peningkatan filem digital, dokumentari serta filem animasi.

- Berita Harian

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90