Ahad, Januari 11, 2009

Lapor Bank Negara jika pinjaman ditolak

Institusi perbankan di seluruh negara diarahkan meluluskan pinjaman kepada pemohon-pemohon yang ingin melaksanakan projek-projek pembangunan negara.

Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, pihak bank tidak mempunyai alasan untuk tidak meluluskan permohonan pinjaman khususnya daripada pemohon yang menjalankan projek-projek yang mampu disiapkan dalam jangka masa singkat.

"Walaupun dalam keadaan negara merasai tempias krisis ekonomi yang sebenarnya melanda negara Barat seperti Amerika Syarikat dan Eropah, tetapi sebagai institusi perbankan tempatan, mereka mempunyai amanah yang harus dilaksanakan demi menunjukkan keyakinan kepada pihak swasta bahawa ekonomi negara kita berada dalam keadaan baik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Zon Pemprosesan Makanan Industri Asas Tani di Taman Air Tawar, Teluk Air Tawar di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar, Jahara Hamid, ADUN Sg. Dua, Datuk Jasmin Mohamd, ADUN Penaga, Datuk Azhar Ibrahim, Pengarah Pertanian Negeri Pulau Pinang, Abdul Nasir Hasan dan Pengarah Pengembangan, Perundingan, Pelaburan dan Industri Asas Tani dari Jabatan Pertanian Putrajaya, Datuk Safie Baharom.

Nor Yakcop yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, permohonan yang tidak diluluskan pinjamannya mempunyai mekanisme lain untuk mendapatkan bantuan.

"Mereka ini boleh membuat laporan kepada pihak Bank Negara sekiranya permohonan mereka ditolak dan selain itu, pemohon juga boleh memohon kepada Bank Negara untuk mendapatkan bantuan pinjaman," katanya.

Beliau menegaskan, sebagai sebuah institusi beramanah, bank perlu berpegang kepada amanah itu untuk memberi pinjaman kepada pemohon mengikut ekuiti dan sistem yang dilaksanakan oleh sesebuah institusi perbankan.

Sementara itu, Nor Yakcop turut memberitahu, mulai awal tahun ini, semua agensi di bawah kementeriannya telah diarahkan untuk menghabiskan peruntukan yang diterima menerusi Pelan Rangsangan ekonomi.

Beliau berkata, peruntukan sebanyak RM7 bilion di bawah pelan tersebut perlu digunakan untuk dibelanjakan supaya pihak swasta berkeyakinan untuk membuat pelaburan dalam negara.

"Selaras dengan arahan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya semua kementerian dan agensi-agensi kerajaan menghabiskan peruntukan RM7 bilion dengan serta merta pada tahun ini juga dengan cuba melaksanakan projek secara fast track," katanya.

- Utusan

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts