Top Ad 728x90

,

Nasib kontraktor kelas F akan terus dibela

Kerajaan hari ini memberi jaminan akan memastikan nasib kontraktor kelas F terus terbela walaupun negara menerima kesan daripada kemelesetan ekonomi dunia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, golongan itu adalah kumpulan pertama yang merasai nikmat daripada Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM7 bilion yang diumumkan kerajaan November tahun lepas.

Menurutnya, RM900 juta daripada pakej itu diperuntukkan bagi Projek Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) yang dikendalikan golongan itu bertujuan untuk menggerakkan pertumbuhan ekonomi melalui pelaksanaan projek-projek untuk kesejahteraan rakyat.

''Jika mahu menguntungkan ekonomi negara, semua projek kecil ini perlu diselesaikan akhir tahun ini.

''Sekiranya projek-projek ini berjaya diselesaikan pertengahan tahun ini, ia lebih baik dan kerajaan akan timbangkan untuk tambah peruntukan pada masa akan datang," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan proses pengundian projek kecil PIA dan PIAS daerah Kuala Terengganu di sini hari ini yang melibatkan 583 kontraktor kelas F.

Selepas pengundian, setiap kontraktor akan memperoleh satu projek setiap seorang yang keseluruhannya bernilai RM15.8 juta.

Menurut Najib, kerajaan Barisan Nasional (BN) akan melakukan apa saja usaha untuk mengelakkan kemelesetan ekonomi melanda negara ini termasuk melaksanakan projek-projek kecil ini supaya kontraktor kelas F mempunyai kerja untuk menyara keluarga.

''Kontraktor kelas F mendapat pembelaan yang sangat baik daripada kerajaan. Mengikut laporan Unit Penyelarasan Ekonomi (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), prestasi kontraktor kelas F mencapai 98 peratus.

''Sebab itu pada tahun ini kita tambah peruntukan untuk kontraktor kelas F menjadi RM900 juta," ujarnya.

Jelasnya, selain membantu kontraktor kelas F, projek-projek kecil yang dilaksanakan mereka adalah untuk kesejahteraan rakyat.

''Kita tidak mahu ekonomi menguncup. Kita mahu ekonomi kita terus berlaku pertumbuhan yang walaupun tidak tinggi, namun ada pertumbuhan," ujarnya.

- Utusan

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90