Jumaat, Februari 20, 2009

Komentar - Cari ubat kekalutan politik semasa

Kemelesetan ekonomi yang berlaku di negara ini akan teruk jadinya dengan kekalutan politik. Kesan daripada kemelesetan ekonomi seperti pembuangan pekerja dan pertambahan kadar pengangguran nampaknya tidak mempengaruhi senario politik negara ini.

Sepatutnya kemelesetan ekonomi pada masa ini menyedarkan ahli-ahli politik dengan azam untuk memastikan ekonomi negara ini bertambah baik dan akhirnya kekuasaan politik mereka juga semakin kukuh.

Kekalutan politik berlaku apabila orang politik tidak lagi memperjuangkan kehidupan rakyat dan negara. Masing-masing ingin mendabik dada dan cuba berkuasa walaupun kekuasaan tersebut memecah-belahkan rakyat.

Bagi mereka, walaupun keadaan persekitaran politik negara ini kacau-bilau dan tidak tenteram, mereka menghalalkannya. Kepercayaan yang diberikan oleh rakyat untuk berkuasa, digunakan dengan ulasan-ulasan yang bersifat retorik dengan menghentam puak yang menjadi musuh mereka. Akhirnya keadaan menjadi lebih panas dan seterusnya mengundang perpecahan di kalangan rakyat.

Kekalutan politik kini seharusnya ditangani oleh para pemimpin yang mempunyai kuasa. Pilihan raya lalu telah memberi mandat yang besar kepada mereka untuk memerintah dan menentukan bentuk pentadbiran kerajaan Pusat atau negeri.

Pemimpin kita telah penat memberikan pelbagai pendapat bagi memastikan keamanan dan kestabilan politik negara ini. Corak dan bentuk pentadbiran yang diamalkan oleh para pemimpin terdahulu telah dijadikan contoh bagi memacu dan membangunkan negara.

Bagaimanapun masih lagi ramai di kalangan pemimpin, sama ada parti pemerintah atau pembangkang yang cuba mengambil kesempatan dalam kekacauan politik pada masa ini. Pemimpin ini sentiasa berada di kalangan rakyat dan cuba mengapi-apikan masalah yang berlaku supaya rakyat akan menyebelahinya.

Pemimpin sebegini sebenarnya tidak sesuai untuk diketengahkan dalam masyarakat. Kita mahukan pemimpin yang bersifat diplomasi dan terbuka, kerana negara ini ditegakkan dengan cara diplomasi dan permuafakatan, bukannya melalui tunjuk perasaan dan gerakan revolusi yang keterlaluan.

Politik tidak dapat dipisahkan dengan kekuasaan. Kekuasaan akan memudahkan perjalanan pentadbiran politik. Justeru, ramai kalangan pemimpin politik yang merasakan tampuk kekuasaan yang ada pada mereka mesti digunakan dengan sebaik-baik mungkin.

Salah satu strategi ialah melemahkan musuh atau mengambil kesempatan di atas kelemahan musuh dengan menonjolkan diri mereka di kalangan rakyat. Tindakan tersebut jika dihalusi akan mendatangkan kesan yang parah kepada persekitaran politik negara.

Tindakan yang terburu-buru dan tidak diperhalusi dengan sebaik-baiknya, sebenarnya jelas mengucar-kacirkan persekitaran politik negara ini yang kurang stabil. Keadaan ini menjadi lebih parah dengan kewujudan pemimpin yang menggunakan emosi untuk mendapatkan sokongan daripada rakyat.

Rakyat seharusnya dapat menilai dan membuat pertimbangan masing-masing sebelum mempercayai dan mengikut pemimpin yang sebegini.

Pemimpin politik yang menaikkan sentimen penyokong mereka dan rakyat seharusnya tidak diberikan tempat di negara ini. Kata-kata mereka telah mewujudkan ketegangan yang tidak sepatutnya berlaku di negara ini. Kebanyakan masa rakyat telah digunakan untuk berdemonstrasi dan menyalahkan pemimpin.

Rakyat sebenarnya cukup matang dalam politik. Selain daripada tunjuk perasaan, mereka sebenarnya tahu apa seharusnya dilakukan untuk menangani kemelut politik yang berlaku.

Rakyat juga harus sedar, dalam kemelesetan ekonomi sekarang, masa yang ada hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya kerana silap percaturan bahang kemelesetan ini akan membakar seperti mana api marak membakar di Victoria, Australia.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts