Top Ad 728x90

,

Komentar - Kembalikan mandat kepada rakyat

Ternyata berakhirnya 'perang' pada pilihan raya kecil bagi merebut kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari lalu yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) tewas dan Pas menambah sebuah lagi kerusi, belum mampu meredakan arena politik negara.

Ketika pelbagai pihak masih memperkatakan mengenai kekalahan BN dan bagaimana masa depan UMNO berikutan apa yang berlaku, tumpuan secara tiba-tiba beralih ke Perak. Ia berikutan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Nasaruddin Hashim mengumumkan keluar UMNO dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Keputusan itu disambut dengan gembira dan gegak-gempita oleh kerajaan negeri yang dianggotai oleh Pas, PKR dan DAP. Ini kerana ia menjadikan pakatan itu mempunyai 32 kerusi manakala BN turun kepada 27 buah.

Berikutan langkah Nasaruddin juga, BN dan UMNO Perak mendapat nafas baru apabila Pengerusi Perhubungannya, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali mengumumkan peletakan jawatan.

Namun kegembiraan tidak berkekalan apabila secara tiba-tiba juga kerajaan negeri dikejutkan dengan berita 'kehilangan' dua wakil rakyatnya apabila ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu dan ADUN Behrang Jamaludin Mohd. Radzi dilaporkan mengundurkan diri. Sama ada berita itu sahih ataupun tidak, semuanya menunjukkan kerajaan negeri semakin rapuh ketika ini.

Hakikatnya, kita tidak tahu apa kesudahannya drama politik yang berlaku di Perak tetapi apa yang pasti ia membuktikan bahawa Perak ternyata sudah tidak mempunyai kestabilan politik lagi.

Keadaan itu berlaku kerana kerajaan negeri bukanlah sebuah kerajaan yang kuat. Selain tidak memiliki majoriti dua pertiga di DUN, ia memerintah hanya dengan kelebihan tiga kerusi sahaja sebelum tindakan Nasaruddin.

Keadaan menjadi lebih rumit apabila pemimpin Pas terpaksa dilantik memegang jawatan Menteri Besar biarpun DAP mempunyai kerusi terbanyak iaitu 18 kerusi, manakala PKR pula tidak mempunyai pemimpin berwibawa untuk diketengahkan. Kesudahannya walaupun Pas menjadi Menteri Besar namun kata putus tetap di tangan orang lain.

Akibatnya maka berlakulah kekalutan dalam pentadbiran kerajaan negeri dan seterusnya banyak tindakan dilihat mengecewakan rakyat. Persoalannya sampai bilakah rakyat Perak harus dibiarkan terumbang-ambing berikutan kekalutan politik itu?

Dalam keadaan sekarang, adalah lebih baik jika semua ahli politik di negeri itu berjiwa besar dengan menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk menentukan siapakah sebenarnya yang mereka mahukan. Lompat-melompat, keluar parti atau menjadi wakil rakyat Bebas bukan mandat sebenar yang diberikan oleh rakyat dalam pilihan raya umum lalu.

Mungkin sesebuah parti itu akan berasa gembira bila ada wakil rakyat melompat ke partinya tetapi persoalannya apakah itu yang dikehendaki oleh rakyat? Pengundi memberikan mandat kepada beliau berdasarkan kepada parti yang diwakilinya.

Justeru adalah tidak wajar selepas beliau menang maka dengan sewenang-wenangnya bertukar parti hanya kerana kepentingan peribadi. Atas alasan itu jugalah, kita berhak menegur beberapa pemimpin pembangkang yang secara tiba-tiba bercakap soal rang-undang antilompat.

Mereka menyokong cadangan mewujudkan undang-undang itu bukan demi rakyat tetapi setelah melihat apa yang berlaku di Perak.

Pada mulanya mereka gembira kerana yang melompat terjun ke pihak mereka tetapi apabila perkembangan terbaru tidak menyebelahi mereka maka berkobar-kobar mereka bercakap berhubung undang-undang itu.

Justeru tidak ada keikhlasan sebenarnya dalam memastikan rakyat tidak terus pening kepala dengan kerenah ahli-ahli politik. Apa yang berlaku di Perak sekarang harus dihentikan.

Jika pakatan kerajaan negeri merasakan mereka sentiasa mendapat sokongan rakyat dan tidak akan kalah dalam pilihan raya serta yakin rakyat sentiasa bersama mereka, maka bubarkan Dewan Undangan Negeri.

Beri peluang kepada rakyat untuk menilai siapa paling berhak memerintah. Dalam politik bukan soal siapa paling pandai memancing ADUN untuk melompat parti tetapi sejauh manakah rakyat memberikan kepercayaan kepada seseorang ahli politik atau parti itu untuk berkuasa.

Jika cara memperolehi kuasa dilakukan melalui cara yang tidak sepatutnya, maka rakyat pasti akan membalas dendam pada pilihan raya akan datang.

Oleh itu untuk bertindak adil kepada rakyat Perak, serahkan kembali mandat kepada mereka. Jangan biarkan matlamat menghalalkan cara sehingga akhirnya yang akan menderita ialah rakyat sendiri.

Mohamed Nizar dan rakan-rakannya dalam kerajaan negeri harus jujur untuk memperakui kedudukan mereka sekarang.

Jangan kerana hendak mempertahankan kuasa dan kedudukannya, maka mereka sanggup melakukan apa sahaja ibarat memaksa sebuah kereta yang sudah pancit keempat-empat tayarnya untuk bergerak, izinkanlah penumpang yakni rakyat memilih kenderaan baru bagi memastikan perjalanan mereka selamat dan berjaya.

Apa pun, terserahlah kepada ahli-ahli politik Perak memikirkannya tetapi apa yang pasti jangan menyusahkan rakyat kerana mereka sudah letih dengan pelbagai adegan politik yang tercetus sejak 8 Mac tahun lalu.

Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang sentiasa memikirkan kepentingan rakyat bukannya mementingkan kuasa dan kedudukan, persoalannya berapa ramai pemimpin seumpama ini di Perak?

Sukar dipastikan. Apa yang nyata rakyat negeri itu memerlukan sebuah kerajaan yang kuat. Kini berdasarkan kepada apa yang berlaku, mereka pastilah belajar bahawa pilihan raya bukanlah medan ujian, semoga rakyat Perak tidak silap percaturan lagi.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90