Top Ad 728x90

,

Nizar enggan terima kenyataan


Terus ingkar titah Sultan. Itulah yang berlaku apabila bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin bukan saja enggan meletakkan jawatan dan tidak menerima kenyataan Barisan Nasional (BN) sudah membentuk kerajaan negeri baru hari ini.

Malah, beliau masih ke Pejabat Menteri Besar di Bangunan Perak Darul Ridzuan dan terus menggunakan kemudahan-kemudahan sebagai Menteri Besar termasuk kediaman rasmi di Jalan Raja Dihilir di sini dan kenderaan rasmi Toyota Camry 2.4 bernombor plat AJS10.

Mohammad Nizar bersama bekas-bekas Exco pakatan rakyat tiba di pintu masuk Bangunan Perak Darul Ridzuan pada pukul 9.45 pagi tetapi hanya dibenarkan masuk tiga minit kemudian selepas berlaku sedikit kekecohan.

Berpuluh-puluh wartawan dan jurugambar yang menunggu ketibaan bekas Menteri Besar itu terus mengekori kenderaan beliau memasuki bangunan tersebut.

Mohammad Nizar memasuki Pejabat Menteri Besar kira-kira pukul 9.55 pagi tetapi kemudian terkejut apabila mendapati ia telah dikosongkan.

Sejurus itu, beliau mengadakan sidang akhbar pada pukul 10.06 pagi dan memulakannya dengan mempersoalkan tindakan mengosongkan pejabat tersebut.

"Ini tindakan menyelongkar pejabat saya, tiada notis untuk mengosongkannya," katanya yang tidak berpuas hati.

Beliau mendakwa beliau hanya menerima surat supaya memulangkan kunci-kunci bilik pejabat dan kenderaan rasmi daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim.

Bagaimanapun sidang akhbar itu hanya berlangsung kira-kira enam minit apabila Abdul Rahman bersama-sama Ketua Polis Daerah Opih, Asisten Komisioner Azisman Alias tiba-tiba masuk dan meminta semua wartawan keluar dari Pejabat Menteri Besar dan bangunan itu.

Semasa Abdul Rahman masuk, Mohammad Nizar sedang menjawab beberapa soalan berkisar kepada keengganan beliau meletakkan jawatan seperti dititahkan Sultan Perak.

Tindakan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak itu menimbulkan kemarahan beberapa penyokong pakatan pembangkang yang menyerbu beliau sebelum ditenangkan oleh polis.

Mohammad Nizar dan beberapa bekas exco beliau kemudian diberi penerangan oleh Abdul Rahman dan Azisman. Selepas itu mereka beredar ke bekas pejabat Datuk Ngeh Koo Ham.

Dalam satu laporan TV1 hari ini, stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu memetik Abdul Rahman yang menjelaskan, tindakannya meminta Mohammad Nizar dan kesemua bekas Exco mengosongkan pejabat masing-masing bertujuan melindungi dokumen rasmi kerajaan khususnya dokumen rahsia.

Pada pukul 10.40 pagi, Mohammad Nizar meninggalkan Bangunan Perak Darul Ridzuan menaiki kenderaan rasmi kerajaan negeri, dipercayai kembali ke kediaman rasmi Menteri Besar.

Terdahulu di pekarangan Kediaman Rasmi Menteri Besar, wartawan yang berkumpul seawal pukul 7.30 pagi mendapati kenderaan rasmi membawa bekas Exco kerajaan pakatan pembangkang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), para penyokong DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memasuki kediaman tersebut.

Wartawan bagaimanapun tidak dibenarkan masuk bertemu dengan bekas Menteri Besar itu. Pintu pagar utama ditutup dan dikawal ketat oleh kira-kira 10 anggota Unit Amal Malaysia - pasukan pengawal berpakaian seragam merah yang dibentuk oleh Pas.

Tepat pukul 9.40 pagi, Mohammad Nizar meninggalkan kediaman rasmi diiringi beberapa kenderaan menuju ke Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Mohammad Nizar sempat menurunkan sedikit cermin keretanya ketika mendekati kumpulan wartawan dan jurugambar di luar pagar.

"Nak ke pejabat... nak ke pejabat," katanya ringkas sambil melambaikan tangan dan tersenyum meninggalkan wartawan-wartawan.

Mohammad Nizar kembali semula ke kediaman rasmi itu kira-kira pukul 10.45 pagi apabila diarah meninggalkan pejabat Menteri Besar oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.

Beliau hanya keluar semula dari kediaman itu untuk solat Jumaat pada pukul 1.05 tengah hari tanpa memaklumkan masjid mana yang akan dikunjunginya.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90