Panadol Actifast dah habis di Ipoh!

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN on Sunday, February 1, 2009

Lebih 10 tahun dulu, kem Pemuda UMNO dibom pada jam 2 pagi. Anak-anak muda yang sedang tidur ketika itu dibawa masuk ke dalam beberapa buah lori sebelum dicampakkan di beberapa lokasi -- termasuklah di kebun kelapa sawit -- di sekitar kem di Ulu Kenas, Perak itu. Ada yang memakai seluar tanpa baju. Ada juga yang berkain pelikat dan t-shirt saja. Pendek kata, semuanya sehelai sepinggang. Tanpa wang. Tanpa apa-apa bekalan.

Dalam gelap malam itu, mereka diarahkan untuk menyelamatkan seorang ketua yang disembunyikan di Kuala Kangsar, Bandar Diraja. Mereka terpaksa berjalan kaki merentasi kebun dan kampung. Apabila haus, mereka singgah dan meminta segelas air dari orang kampung. Perjalanan dari Ulu Kenas ke Kuala Kangsar penuh dengan ranjau dan duri.

Beberapa orang terpaksa terjun ke sungai yang mengalir deras apabila diserbu musuh. Basah dan bercalar badan. Sekitar Asar, barulah kesemua berjaya menyelamatkan ketua mereka. Di tengah-tengah hujan, mereka bersama-sama ketua tersebut berjalan kaki dari Kuala Kangsar pulang ke kem di Ulu Kenas.

Di tengah-tengah hujan lebat di Ulu Kenas, salah seorang daripada mereka menadah tangan berdoa. Mengalir air mata kesemua di situ. Dan mereka berpelukan antara satu sama lain sambil menangis teresak-esak.

Keesokan harinya, Timbalan Presiden UMNO datang bagi menyampaikan amanat. Tidak ada protokol. Tidak ada bunga manggar. Tidak ada sambutan. Dia datang, masuk ke dewan dan terus menyampaikan ucapan. Tidak ada kata-kata aluan. Tidak ada VIP.

Selepas ucapan itu, Timbalan Presiden memeluk erat Ketua Pemuda UMNO dengan cukup lama; seolah-olah tidak ada apa-apa pun yang dapat memisahkan mereka.

Hari ini, Timbalan Presiden UMNO itu menjadi Ketua Umum PKR dan Ahli Parlimen Permatang Pauh. Manakala Ketua Pemuda UMNO itu adalah calon Naib Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Bagan Datoh. Ahli-ahli Pemuda UMNO yang menjalani latihan "Ops Sambar Helang" itu juga berpecah kepada dua. Sebahagian dalam UMNO, manakala sebahagian lagi dalam PKR.

Persaingan "menyelamatkan ketua" berulang lagi. Kali ini bukan lagi dalam latihan, tetapi adalah realiti. Ia boleh menukar tangan sebuah kerajaan negeri seperti yang pernah berlaku di Sabah dulu. Dato' Seri Anwar Ibrahim yang mengetuai ops menukar kerajaan di Sabah dulu tentunya tahu bahawa itu bukanlah mustahil.

Kedua-dua pihak tahu strategi masing-masing. Mereka boleh menjangkakan percaturan pasukan lawan. Kalau saya yang tak aktif politik ini pun dapat membacanya, inikan pula mereka yang berada di medan pertempuran.

Adakah Kerajaan Negeri Perak akan bertukar tangan? Mungkin ya, mungkin juga tidak. Saya tidak dapat menjawabnya. Dari semasa ke semasa saya mendengar "khabar angin" orang itu dan orang ini akan melompat parti. Oleh kerana saya bukanlah seorang wartawan, maka saya tidak melaporkannya di blog ini. Saya hanyalah seorang pemerhati yang berminat menganalisis strategi yang digunakan oleh kedua-dua belah pihak.

Bagaimanapun, apa yang sedang berlaku sekarang hanya melariskan Panadol Actifast -- ubat sakit kepala -- di Perak. Seorang kawan bergurau, "Panadol Actifast dah habis di Ipoh!".

- NOBISHA

{ 2 comments... read them below or add one }

rantong said...

Sekadar ingat mengingatkan. Jangan lupa selalu berdoa untuk saudara kita di Palestin. Doa Qunut Nazilah

“Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.

Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuham, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.

Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”
Sumber: JAKIM
View Profile: Rantong

HOT ZOOM KOMUNITI said...

Salam
Realiti hidup kita ni umpama roda,kadang diatas dan kadang tu dibawah,kadang sahabat jadi musuh dan begitu juga musuh jadi sahabat.

Post a Comment

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...




 

KATEGORI

Artis (285) Astronomi (79) Berita (1897) Bolasepak (114) DPLI (39) Dunia (855) Ekonomi (787) Gempar (206) Hiburan (486) Islam (2229) Isu Semasa (114) Jawatan Kosong (1489) Keluarga (270) Kerjaya (1797) Kesihatan (977) Kewangan (356) Komentar (155) KPLI (91) KPLSPM (27) Mistik (49) Motivasi (620) Pendidikan (1115) Pentadbiran (219) Personaliti (221) Politik (1693) Sastera (77) Sejarah (208) Soal Jawab (88) Teknologi (766) Temuramah (19) Umum (946) Undang-Undang (225)

BLOG TERKINI