Skuter Modenas Passion - Lebih kuasa & bergaya
Skuter adalah motosikal mudah ditunggang dan menjadi antara pengangkutan terbaik di bandar terutama pada waktu puncak.
Selain bentuknya kecil, kebanyakan skuter didatangkan dengan transmisi automatik yang bukan sahaja menarik perhatian kaum hawa, malah penunggang lelaki juga tidak perlu 'merosakkan' kasut kulit mereka untuk memasukkan gear.
Selepas dibanjiri skuter dari Jepun, kini Motosikal dan Enjin Nasional (Modenas) turut mengeluarkan skuter yang tidak kurang hebatnya.
Peluang menunggang uji selama beberapa hari terhadap model Passion 125 Sports bukan sahaja memberi pengalaman baru, malah kuasa yang ada pada jentera berkenaan sangat mengagumkan.
Model yang diperkenalkan pada tahun 1995 itu mengalami beberapa perubahan dan Passion 125 Sports terbaru sangat menarik untuk ditunggang.
Rupa bentuknya yang kecil membolehkan penulis menyelit di antara kenderaan ketika ke pejabat dan melakukan perkara sama ketika pulang ke rumah.
Walaupun tubuh penulis tinggi, ia tidak mengganggu tunggangan dan keluasan ruang kaki memberi kelebihan kepada Passion 125 Sports.
Antara aksesori yang menjadi perhatian adalah 'Aero Deco' seumpama sirip yang menjadikan jentera dua roda ini kelihatan garang dan ranggi.
Mini poket di bawah pemegangnya boleh dimanfaatkan dengan meletak barangan peribadi termasuk telefon bimbit dengan mudah dan selamat.
Panel meter dihias corak grafik baru dan reka bentuk lampu depan menarik dengan lampu hadapan berkembar untuk cahaya maksimum ketika tunggangan malam.
Reka bentuk tirus dan berpelana rendah memudahkan pengendalian Skuter Passion 125 Sports dipertingkatkan untuk memberi keselesaan, gaya serta prestasi kepada peminatnya.
Dibekalkan dengan enjin empat lejang, Passion Sports mampu memberi kuasa diperlukan dan tidak hairanlah dengan saiznya yang kecil, motosikal ini mampu memecut sehingga 130 kilometer sejam (km/j) dengan mudah.
Kuasa yang dijana enjin 4T/SN 125PE dengan piston 51.5mm dan lejang 60.0mm memampatkan campuran bahan api dengan nisbah 9:9 sebelum disalurkan melalui sistem CVT.
Passion 125 Sports dilengkapi penghidup elektrik dan memudahkan penunggang terutama wanita menghidupkan enjin pada waktu pagi.
Bagaimanapun, tuil penghidup tendang turut disediakan sebagai persediaan ketika motosikal menghadapi masalah penghidup elektrik terutama apabila kehabisan bateri.
Penggunaan monoshock belakang dan penyerap hentak depan teleskopik menjadikan motosikal comel ini lebih stabil selain dipadankan dengan rim bersaiz 14 inci.
Walaupun bersaiz kecil, Passion 125 Sports dilengkapi brek cakera hadapan untuk pemberhentian lebih baik dan bantuan brek gelendung di belakang membolehkan jentera ini berhenti mengikut kehendak penunggang.
Penggunaan minyak sangat menjimatkan dan penulis hanya membelanjakan RM5 seminggu untuk mengisi petrol bagi jarak perjalanan melebihi 40 kilometer sehari.
Didatangkan dengan empat dwi-warna pilihan, Modenas Passion 125 Sports dijual pada harga RM4,302 seunit dan menjadi antara motosikal paling menjimatkan dan praktikal untuk kegunaan bandar.
SPESIFIKASI
Modenas Passion Sports 125
ENJIN: Penyejuk cecair empat lejang 124.5cc
KUASA MAKSIMUM: 7.1kw pada 7,750 rpm
TORK MAKSIMUM: 9.3Nm pada 6,750 rpm
BREK HADAPAN: Cakera
BREK BELAKANG: Gelendung
SISTEM PENGHIDUP: Elektrik dan tendang
TRANSMISI: CVT emparan automatik
HARGA: RM4,302
sy telah memiliki modenas 125 passion ni.. tp sy masih meragui terhadap part ganti atau modifikasi motor skuter ni.. kalau ada part atau sesiapa yang telah modifikasi skuter modenas ni.. tunjukkan pada sy agar sy tak meraguinya lagi
saye pon baru je bli moto nih..
nampak cam lawa...
tp ade ape2 cadangan tak nk cantikkan lagi scoot nih