Top Ad 728x90

TV3 kekalkan format Roda Impian

Rancangan game show terkenal, Roda Impian (RI) cukup sinonim dengan stesen televisyen berbayar Astro kerana sejak sekian lamanya, rancangan tersebut disiarkan melalui stesen televisyen berkenaan.

Namun, setelah sekian lama menyepi, RI kini menemui penonton setia stesen televisyen popular negara, TV3.

Program televisyen yang diadaptasi daripada game show popular Wheel Of Furtune akan bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Rabu,pukul 5.30 petang mulai 16 Februari ini.

Walaupun RI bakal disiarkan melalui stesen televisyen yang berlainan, tetapi ia masih mengekalkan konsep dan format yang sama seperti sebelum ini.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar, pihak TV3 merasakan format RI yang sedia ada cukup kuat dan menarik untuk dihidangkan kepada penonton tanpa perlu perubahan.

"Permainan teka perkataan ini amat menarik sekali. Permainan ini bukan sahaja melibatkan para peserta, tetapi penonton-penonton sama ada di studio mahupun di rumah boleh turut serta meneka perkataan tersebut.

"Pihak kami melihat, kekuatan inilah yang mampu menarik minat orang ramai untuk terus menontonnya dan mengikuti RI tanpa ada sebarang perubahan," katanya sebaik sahaja majlis pelancaran Roda Impian musim terbaru itu dilancarkan.

Konsep RI mudah untuk difahami memandangkan ia pernah disiarkan dulu dan merupakan game show popular yang ditayangkan di seluruh dunia mengikut versi negara masing-masing.

Melalui program tersebut, penonton bukan sahaja dapat berhibur melihat telatah para peserta, tetapi juga dapat menguji minda mereka sendiri.

Satu pembaharuan yang berlaku dalam rancangan RI ini ialah bakal menampilkan gandingan pengacara yang baru iaitu Kieran dan Fouziah Gous.

Apatah lagi, mereka menjanjikan persembahan yang menghiburkan melalui bakat dan penyampaian yang bersahaja sepanjang mengendalikan rancangan tersebut selama 65 episod.

Pada musim terbaru ini, peserta RI yang berjaya menjuarai pusingan akhir bakal membawa pulang hadiah utama bernialai RM100,000 dan kerata Suzuki Swift Sport 1.6 selain daripada hadiah-hadiah menarik yang ditawarkan.

Rancangan game show popular Roda Impian (RI) bakal menemui penonton setia TV3 mulai 16 Februari ini.

Usai sudah rakaman 65 episod yang dibuat di studio Filem Negara, kini gandingan pengacara baru RI, Kieran dan Fouziah Gous berdebar-debar menantikan reaksi daripada peminat setia rancangan berkenaan.

Betapa tidak rancangan yang pernah disiarkan melalui stesyen televisyen berbayar, Astro suatu ketika dulu pernah mencuri hati para peminat dengan pengacaranya, Halim Othman bergandingan dengan Eja, Allahyarham Hani Mohsin dan Liza AF1.

Walaupun memiliki kerjaya yang agak berbeza,apa yang nyata Kieran (penyampai radio) dan Fouziah Gous (pelakon dan model) tidak mempunyai masalah dalam mencari keserasian semasa mengendalikan rancangan berkenaan.

Kieran atau Maskiran Jakiran yang baru tiga bulan berhijrah ke radio Hot FM ketika ditemui memberitahu, dia tidak menduga ditawarkan menjadi pengacara Roda Impian musim terbaru.

"Sebenarnya saya dan rakan setugas, Faizal Ismail saja mencuba nasib dalam uji bakat Roda Impian yang diadakan akhir tahun lalu. Siapa sangka rezeki menyebelahi saya," cerita Kieran.

Menurut Kieran, walaupun dia gembira dipilih sebagai pengacara Roda Impian tetapi secara jujurnya dia amat gementar bila pertama kali menjalani rakaman rancangan tersebut.

"Rasa takut tetap ada kerana menanti reaksi daripada penonton terutamanya peminat setia rancangan Roda Impian. Apatah lagi, rancangan ini begitu sinonim dengan Halim Othman dan Allahyarham Hani Mohsin.

"Pernah semasa menjalani rakaman, ada peserta yang tersasul memanggil saya Halim," katanya berseloroh

Bagaimanapun kata Kieran, selepas sebulan rakaman dibuat di Filem Negara, dia sudah memberikan yang terbaik untuk rancangan game show berkenaan.

"Walaupun pihak produksi memberi kelonggaran untuk saya membawa stail sendiri tetapi sifat dan perawakan gila-gila perlu saya 'simpan' bagi mengikut konsep RI yang sebenar. Tetapi kadang kala, terlepas juga," ujar Kieran yang bakal menimbang cahaya mata pertama bersama isterinya,Yang Azliyang Mohd. Yunus pada Mac ini.

Soal selidik responden

Sementara itu bagi pelakon Fouziah Gous peluangnya menjadi pasangan Kieran dalam Roda Impian tidaklah semudah yang disangkakan.

Ini kerana menurut Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar, pihaknya melakukan soal selidik responden mengenai siapa yang mereka rasakan sesuai untuk mengendalikan rancangan tersebut.

Menariknya, dalam beberapa nama selebriti yang disenaraikan, rata-rata responden memilih Fouziah Gous untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

Fouziah yang ditanya mengenai pemilihannya itu berkata; "Saya terima apa jua rezeki yang datang. Namun, sebelum menerima tawaran tersebut saya meneliti konsep program serta jadual penggambaran terlebih dahulu.

"Alhamdulillah, saya tidak mempunyai masalah dengan konsep RI. Paling penting, jadual rakaman tidak bertindih dengan mana-mana jadual penggambaran drama saya dengan pihak produksi lain.

"Sebab itulah saya menerima tawaran tersebut. Lagipun tujuan saya adalah untuk mencari rezeki dalam dunia hiburan. Apa salahnya saya mencuba bakat saya dalam bidang pengacaraan," katanya kepada media.

Menurut Fouziah, selepas menerima tawaran itu dia berjumpa dengan Eja (bekas pengacara RI) untuk meminta pendapatnya.

"Eja menyarankan saya menerima tawaran tersebut dan jangan ambil peduli dengan cakap-cakap yang akan memperlekehkan tugas saya itu," kata Fouziah.

Walaupun tugas Fouziah kelihatan mudah, sebagai pembuka huruf dan perkataan, tetapi ia cukup mencabar.

Apa tidaknya, sepanjang menjalani rakaman, bekas pramugari ini terpaksa berdiri tegak dan sentiasa senyum walau dalam apa jua keadaan sekalipun.

"Bayangkan sehari, kami menjalani rakaman enam episod. Sepanjang rakaman, saya terpaksa berdiri dan berjalan dengan kasut tinggi serta pakaian yang labuh dan sarat dengan perhiasan.

"Kieran sendiri mengalami lenguh-lenguh kaki, inikan pula saya yang sentiasa mengenakan kasut bertumit tinggi.

"Tapi... saya gembira telah dapat menjalankan tugas saya seperti yang dimahukan penerbit," kata Fouziah.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90