Top Ad 728x90

,

Orang yang hilang pekerjaan boleh mohon bantuan Baitulmal

Orang ramai yang hilang pekerjaan dan punca pendapatan ekoran kelembapan ekonomi, boleh meminta bantuan zakat menerusi Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Pengerusi Pusat Pungutan Zakat MAIWP (PPZ-MAIWP), Datuk Mustafa Abdul Rahman berkata, bantuan zakat akan disalurkan kepada sesiapa sahaja yang layak menerima mengikut syarak termasuk orang yang kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan.

Bagaimanapun katanya, bantuan tersebut terhad kepada mereka yang tidak mempunyai tabungan semasa, simpanan pelaburan atau sudah tergolong dalam golongan miskin tegar akibat hilang pekerjaan dan punca pendapatan.

"Selain itu, pemberian zakat Baitulmal juga bergantung kepada tanggungan keluarga, tahap kesihatan dan tidak menerima mana-mana bantuan lain mengikut syarak.

"Bantuan diberikan dalam bentuk wang tunai di antara RM200 hingga RM1,000 sebulan mengikut perkiraan pegawai Baitulmal MAIWP yang merangkumi bantuan untuk keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, persekolahan anak- anak dan pengangkutan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima cek bernilai RM164,781 pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Pos Malaysia Berhad di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Pos Malaysia (Bhd.), Datuk Abu Huraira Abu yazid.

Mustafa berkata, orang ramai yang hilang pekerjaan dan punca pendapatan yang terdesak serta memerlukan bantuan kewangan boleh datang terus ke Baitulmal MAIWP untuk mendapatkan bantuan zakat tersebut.

"Ini merupakan tanggungjawab Baitulmal MAIWP untuk menyalurkan bantuan kepada sesiapa sahaja tidak kira sama ada baru kehilangan pekerjaan mahu pun hilang keupayaan untuk bekerja," tambahnya.

Sementara itu Abu Huraira berkata, pihaknya telah membayar zakat perniagaan kepada PPZ-MAIWP dengan jumlah terkumpul sebanyak RM1,556,888 sejak tahun 2001 termasuk pembayaran zakat perniagaan bagi tahun 2006 yang diserahkan hari ini.

Katanya, Pos Malaysia kini sedang bekerja sama dengan PPZ-MAIWP dan pusat zakat negeri khususnya sebagai agen pungutan zakat bagi memudahkan orang ramai menunaikan ibadat itu melalui pos di 691 buah pejabat pos seluruh negara.

Mengenai kutipan pula, Mustafa memberitahu, kutipan semua jenis zakat bagi tempoh 1 Januari hingga 28 Februari 2009 meningkat sebanyak 10 peratus iaitu RM26.3 juta berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas sebanyak RM23.8 juta.

Beliau berkata, jumlah urusniaga pembayaran zakat juga turut meningkat daripada 62,395 urusniaga pada tempoh 1 Januari hingga 28 Februari 2009 berbanding tempoh sama pada tahun lepas sebanyak 57,920 transaksi.

"Urusniaga pembayaran zakat ini merangkumi pembayaran bagi zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat simpanan, zakat harta, qadha zakat dan lain-lain kutipan.

"Bagaimanapun, PPZ-MAIWP menjangkakan pungutan zakat bagi tempoh suku tahun ketiga bermula September hingga Disember tahun ini akan menunjukkan penurunan berbanding tahun lepas ekoran kelembapan ekonomi yang kian dirasai di negara ini," katanya.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90