Top Ad 728x90

,

Pelaris makan diri

Dia cuma mahu mendapatkan pelaris daripada seorang bomoh warga asing bagi memajukan perniagaan kedai makan yang baru diusahanya bersama suami.

Wanita beranak lima itu tidak menyangka bomoh terbabit sebenarnya pakar pembelit yang mampu memperalatkan pelanggan menurut perintahnya.

Ketika berurusan mendapatkan pelaris, mangsa berusia 42 tahun bukan saja diarah membekalkan gadis jelita untuk menjerat lelaki kaya dan dijadikan hamba seks bomoh itu, malah menjadi punca dia bercerai dengan suami.

Mengimbas peristiwa hitam itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Rasyidah, berkata dia bersama suami berjumpa bomoh berkenaan, Mac tahun lalu, ketika baru memulakan perniagaan kedai makan.

“Apabila mendapat tahu bomoh itu boleh menyediakan pelaris, kami bertemunya. Dia memberikan tiga botol minyak pelaris setiap satu berharga RM240.

“Kami diminta mencampurkannya dalam air mandian yang didakwa bomoh itu boleh menyebabkan kami kelihatan berseri, sekali gus menarik minat pelanggan ke gerai,” katanya.

Bagaimanapun, beberapa minggu selepas pertemuan itu, sikap Rasyidah berubah menjadi terlalu bencikan suami dan sering teringatkan bomoh terbabit.

Pertengkaran demi pertengkaran akhirnya menyebabkan mereka bercerai, September tahun lalu.

Bomoh itu menabur kata-kata manis mengajak Rasyidah berkahwin.

“Disebabkan saya enggan berkahwin dengannya, saya diikat dengan sumpahan supaya memperkenalkan gadis jelita kepada bomoh itu untuk ditidurinya selain menjerat lelaki kaya.

“Saya memperkenalkan enam gadis, termasuk dua rakan sekerja berusia 22 hingga 36 tahun. Mereka diperbodohkan dan menjadi tempat melampiaskan nafsu serakah lelaki terbabit,” katanya.

Menurut Rasyidah, bekas suaminya tidak putus-putus bersolat memohon pertolongan Allah membuatkannya menyedari melakukan dosa besar menganiaya gadis terbabit.

“Bekas suami turut berjumpa beberapa ustaz dalam usaha memulihkan saya daripada sihir serta kembali kepada keluarga,” katanya yang sudah merujuk dengan suaminya pada 2 Februari lalu.

Rasyidah bersyukur suaminya masih mahu menerimanya walaupun dia mengaku segala perbuatan buruk dengan bomoh terbabit, termasuk terlanjur.

Kini, dia dihantui penyesalan amat sangat kerana tindakan memperkenalkan enam gadis kepada bomoh itu menyebabkan mereka menjadi hamba seks selain diperalatkan menjerat lelaki kaya dengan keuntungan diberikan kepada lelaki terbabit.

Berikutan itu, dia bertekad membongkar keburukan bomoh berkenaan sehingga diugut lelaki asing itu.

Ini membuatkan Rashidah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

“Bomoh itu mengugut akan memusnahkan kehidupan saya sama ada cara ‘kasar atau halus’ tapi saya tidak gentar dan mengatakan kepadanya saya hidup dan mati kerana kekuasaan Allah.

“Hampir setiap malam saya menangis mengenangkan perbuatan syirik dan keji sebelum ini. Saya berdoa semoga Allah mengampunkan dosa saya serta memberikan balasan setimpal kepada bomoh itu,” katanya yang tidak mahu lagi berurusan dengan sebarang bomoh.

Dia cuba menyelamatkan keenam-enam gadis terbabit, tetapi hingga kini gagal disebabkan pengaruh bomoh itu masih kuat menyelubungi mereka.

- HARIAN METRO

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90