Top Ad 728x90

Bahan bahaya dalam ubat tradisional

Kementerian Kesihatan telah mengesan produk ubat tradisional tempatan yang dipasarkan di luar negara mengandungi campuran bahan kimia berbahaya sehingga menjejaskan imej negara.

Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan berkata, pihaknya telah menerima laporan dari luar negara mengenai campuran kandungan bahan kimia dalam rumusan herba ubat tradisional keluaran Malaysia.

"Tindakan pengusaha produk tradisional ini telah memberi imej negatif serta menjejaskan maruah negara di mata dunia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Berikutan tindakan itu, katanya, Kementerian Kesihatan memberi amaran kepada pengusaha supaya jangan campur kandungan bahan kimia berbahaya dalam rumusan herba ubat tradisional bagi meningkatkan keberkesanan produk keluaran mereka.

Katanya kementerian berkenaan telah melaksanakan sistem pendaftaran ubat-ubatan termasuk ubat tradisional bagi memastikan kandungannya hanya mengandungi bahan herba dan semulajadi sahaja.

Bagaimanapun, biro itu berkata, masih terdapat ubat tradisional di pasaran yang mengandungi bahan berbahaya seperti sildenafil, tadalafil dan steroid.

Menurut kenyataan itu, dari tahun 2006 hingga 2008, terdapat 17 produk untuk kesihatan lelaki, enam produk pelangsing badan, lima ubat batuk dan empat ubat sakit sendi yang mengandungi bahan campuran berbahaya.

"Perkara ini sangat serius kerana penggunaan ubat-ubatan ini berpotensi mengakibatkan kesan buruk kepada pengguna yang menghidap penyakit jantung, darah tinggi atau mereka yang sedang menggunakan ubat-ubat lain," katanya.

Katanya, kementerian akan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat atau pengeluar termasuk membatalkan pendaftaran produk dan lesen pengilang di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90