Top Ad 728x90

,

Iluminasi

Oleh ZANAZANZALY
www.zanazanzaly09.blogspot.com

Teman saya ada berkata, semua unsur alam adalah wajah hidup kita. Meski apa pun beban menimpa atau gelombang mendatang, pasti ada kekuatan yang menjadi bentengnya. Saya percaya akan kata-katanya sebagaimana saya percaya kepada petanda alam. Sangat percaya.

Sejuta ceria yang menggebu dalam jiwa saya sejak pagi kelmarin layu disapa petaka. Seorang teman berbicara bersanggakan kalimah-kalimah sumpah yang sewenang-wenangnya digunakan bagi menutupi kalang dusta. Memang pantang bagi saya jika berjanji tidak ditepati.

Apa guna dia memasung janji kalau mahu dimungkiri? Bukankah manusia itu dipegang pada janjinya? Jika serangkaian kata-kata pun tidak berdaya dikota, masakan dia layak bergelar manusia yang mukallaf? Sebuah janji bukan boleh diambil mudah. Ia penentu maruah dan penanda aras amanah.

Api dusta yang dia nyalakan dalam jiwa saya pagi ini saya sekam dalam-dalam kerana enggan memungkiri janji saya pada diri sendiri. Natijah marah membawa padah. Slogan itu kukuh saya pasak dalam kalbu.

Saya tidak mahu marah menjadi paku yang menusuk dinding kalbu teman saya itu kerana saya tahu kalau pun saya berjaya mencabut kembali paku itu, saya tetap akan meninggalkan kesan berlubang pada dinding kalbunya. Sungguh saya tidak mahu.

Saya cuba redakan marah yang melahar dengan memandang ke luar. Matahari garang mencerlung dari laman hadapan kediaman. Kura tangan kanan saya cembungkan untuk melindungi wajah yang kepijaran.

Saya sekadar meminjam sinar matahari pagi untuk menyuburkan jiwa saya yang kelayuan setelah dikhianati seseorang. Tiada secuing pun niat untuk mencabar kerana saya sedar, saya tidak berdaya bersin dengan mata terbuka.

Sesaat, hangat matahari mengembang saya nikmati dengan mata dipejam.

Saya menapak longlai ke laman belakang. Sunyi pagi ini benar-benar memekakkan telinga hingga tidak kedengaran langsung suara gigi tupai menggulati duku muda. Laman belakang kaku lesu menghidu pandan dan serai yang hilang bau, mengucup kantan dan kucai berbunga kelabu.

Apabila sepi berbicara, jiwa saya limpah rasa dan sifar pun menakluk kata. Diam memujuk saya memejam mata. Telinga cuba mencari-cari hingar dari dalam sukma.

Argh! Gejolak jiwa terus membara. Saya beristighfar dan berselawat. Kemudian, berwuduk untuk solat Dhuha. Usai empat rakaat, saya masih juga tidak mampu menahan sakit belikat akibat tekanan perasaan yang hebat.

Saya tahu, saya perlu berehat agar darah saya yang sedang menyirap ini kurang meruap. Marah ini harus saya tangani secara bijaksana. Mustahil bagi manusia terpelajar dan rasional, mengambil tindakan melulu dengan mengutuk peribadi seperti yang telah dia lakukan kepada saya. Itu refleksi sikap defensifnya yang hilang hujah.

Puas saya cuba, mata tetap enggan lena.

Alternatifnya, saya cuba letihkan badan. Saya ambil keputusan untuk mencuci bilik air. Semasa memberus tandas, saya bayangkan saya sedang mencuci hati teman saya yang telah melanggar janji itu sebersih-bersihnya agar dia insaf dan bertaubat tidak melukai hati orang lain lagi.

Sesudah mencuci, saya sembur bilik air kombinasi hitam putih itu dengan pewangi yang paling mahal saya beli.

Selepas penat, saya rebahkan badan ke ranjang. Saya pujuk marah agar tidur.

Antara sedar dengan jaga, sayup-sayup bergema di dalam minda muzik bertabuh yang saya rakam dari kampung seberang memainkan lagu Hulubalang Berjalan.

Semalam, saya ke kampung seberang bersama sahabat kerana ditarik oleh poster yang mengiklankan persembahan wayang kulit Islamik daripada Dalang Seri Terapeutik.

Apa yang menarik? Watak-watak mainan dalang itu bukan lagi bernama Seri Rama mahu pun Sita Dewi. Sebaliknya nama-nama watak itu sama seperti nama manusia biasa yang saya jumpa hari-hari. Ceritanya bukan semata-mata ekspresi. Jauh sekali, khayalan liar mahu pun emosi luar kawal.

Satu demi satu buah-buah hikmah yang dipencarkan melalui kelir putih oleh dalang wanita graduan universiti tempatan itu mensirnakan waham yang menyekam dalam jiwa saya.

Pernah kalian dengar kisah seorang penjual tapai diwayang kulitkan?

Di hadapan kelir, rumah beratap limas bersebelahan pohon merimbun dipamer. Ada papan tanda bertulisan jawi - Kampung Bayu Lalang. Dari sisi kanan, dalang menggerakkan watak wanita berkelubung kain lepas putih berbunga hijau.

Melalui suara dalang, penonton faham watak itu sedang menabur ragi ke atas pulut tanak dan ubi kayu rebus pada dua talam berbeza.

Dipendekkan cerita, membuat dan menjual tapai di pasar ialah sumber pendapatan makcik itu untuk menyara hidup yang kini sebatang kara setelah anaknya meninggal dunia akibat terkena belantan pasukan keselamatan ketika berdemontrasi mendaulatkan bahasa sendiri.

Belantan itu tepat mengenai umbuk punai pada belakang tengkok Sufi dan menjadi sebab pelengkap kematian setelah gemulah sesak nafas terhidu gas pemedih mata.

Ada watak dua tokoh pujangga bangsa yang saya kenali turut dilukis pada belulang. Segak tak sangga berganding lengan dengan Sufi, perwira bangsa. Seorang berjanggut putih panjang. Lagi seorang, dilukis rapi menyisir rambut lurus ke belakang.

Muzik bertabuh lagu perang. Tiupan serunai sayu bertingkah dengan gong dan gedombak mengujakan saya sehingga empangan mata saya pecah tanpa boleh diseka-seka.

Tiba-tiba, sehelai sapu tangan dihulurkan. Saya menyambut huluran itu dengan menoleh sekilas ke muka sahabat di sebelah kanan. Kelihatan, sahabat pantas mengelip-ngelipkan tubir matanya yang kemerahan.

Berbalik kepada cerita.

Sebagaimana lazimnya, pada suatu pagi, ketika makcik itu sedang bersiap-siap untuk ke pasar, tiba-tiba dia tersedar yang tapai beras pulut dan ubi kayu itu masih belum menjadi sepenuhnya. Kebiasaannya, tapai masak sebelum dia bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan lain. Sah, kesemuanya mentah.

Perempuan tua itu sedih sekali memikirkan tapainya belum menjadi. Pasti, rezeki pun enggan menghampiri.

Dalam duka, 'Abidah yang kuat beribadah segera teringat firman Allah yang menyatakan bahawa Allah dapat melakukan perkara-perkara ajaib. Tiada yang mustahil bagi-Nya.

"Ya Allah, kumohon kepada-Mu agar beras pulut dan ubi kayu yang telah kulumuri ragi ini menjadi tapai."

Seraup doa 'Abidah aminkan setulus jiwa dan dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tapai dengan hujung jarinya. Dia menyelak sedikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban ubi kayu itu menjadi tapai.

Sejenak, dia termenung. Kemudian, perlahan-lahan dia membuka satu bungkusan lagi yang berisi pulut tanak.

Helaan nafas panas mengiringi matanya sejurus melihat ketulan ubi kayu berbalut daun pisang kebatu dan pulut tanak dalam bungkusan daun getah.

Kalimat putus asa tidak pernah dicetak dalam kamus hidup wanita berjiwa sasa itu. Dia fikir doanya kurang kesungguhan.

"Ya Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagi-Mu. Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual tapai kerana inilah mata pencarianku. Tukarkan pulut tanak dan ubi kayu ini kepada tapai."

Sepenuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan itu. Dia termangu melihat isi bungkusan masih tetap begitu.

Hari yang tidak pernah mungkir janji semakin meninggi. Pasar kian hingar dengan aktiviti jual beli.

"Belum tentu sebelum diuji, itulah petanda dugaan imani. Maka berangkatlah 'Abidah, wanita tua yang sasa jiwa bersama sebakul pulut tanak berlumur ragi dijunjungi, sejeluk ubi yang belum jadi tapai lagi dikilik di sisi."

Suara dalang hebat itu diiringi muzik bertabuh memainkan lagu Raja Berangkat.

Sepanjang jalan, doa dan zikir tidak lekang dari bibir. Sesampai di pasar, meskipun hatinya masih berdebar-debar, 'Abidah dengan yakin dan sabar buat kesekian kali menekan-nekan satu bungkusan berbalut daun pisang dengan hujung jari. Masih keras lagi seperti tadi.

Ternyata tapainya masih belum menjadi setelah diperam tiga hari. Dia membungkam. Nafas ditarik dalam-dalam. Kecewa mula menyelinapi jiwa. Keadilan Yang Maha Kuasa mula dipersoalkan. Akhirnya dia cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab mustahil ada orang yang mahu membeli tapai yang baru separuh menjadi.

Hari semakin petang. Pasar mulai lengang. Para pembeli sudah kurang. 'Abidah berhati walang. Tidak sanggup menghadapi kenyataan tiada hasil jualan bakal dibawa pulang.

Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan. Iman menyangga keyakinan. Telapak tangan dicepung menadah ke langit buat kali terakhir kepada Allah dia berbisik.

"Ya Allah, berikanlah penyelesaian terbaik kepada tapaiku yang belum menjadi ini."

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita, "Makcik ada menjual tapai yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencari tapi masih belum berjumpa lagi."

Dia terpinga-pinga. Detak jantungnya bagaikan paluan gendang ibu. Berpuluh tahun menjual tapai, tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tapai yang belum menjadi.

Sebelum dia menjawab sapaan wanita tadi, cepat-cepat dia berdoa di dalam hati "Ya Allah, saat ini aku tidak mahu tapai ini menjadi. Biarlah ia kekal seperti tadi."

Dia membuka sedikit daun getah di dalam bakul. Girang hatinya bukan kepalang. Ke hadrat Allah syukur dipanjatkan. Dia berterima kasih selepas berakad jual beli kepada wanita yang memborong habis kesemua tapainya yang belum menjadi.

Sebelum wanita itu pergi, sempat 'Abidah bertanya tujuannya mencari tapai yang sedemikian isi. Wanita itu menerangkan, anaknya kini berada di England terlalu ingin merasa tapai dari desa. Jadi terpaksalah dia menghantar tapai yang belum menjadi supaya apabila tiba di sana, ia menjadi tapai yang sempurna.

"Maka, hilanglah waham dalam dada 'Abidah setelah faham Allah memakbulkan doanya yang akhir dengan tidak memperkenankan doanya yang awal. Makaru wamakarallah. Wallahu khairul maakiriin."

Lagu bertabuh menandakan persembahan khalas. Saya tersedar dari lena yang pulas. Saya bingkas ketika jam melebihi angka dua belas.

Marah saya kendur semasa tidur. Saya ke dapur mencari pisang dengan harapan protien trypotophan segera diubah oleh tubuh saya menjadi serotonin dan berjaya membuat perasaan saya tenang dan bahagia. Seraya mengunyah jelai berangan, saya berdoa potassiumnya segera dapat menstabilkan denyutan jantung sehingga otak juga stabil setelah menerima banyak oksigen.

Sejurus memperoleh tenaga daripada sesikat jelai berangan yang saya habiskan, saya pun segera berwuduk untuk solat Zuhur.

Usai solat, sahabat muncul dari dalam kamar kerja membawa berita. Teman saya yang khianat itu baru sekejap tadi diberkas akibat rasuah. Rupa-rupanya dialah musang berbulu ayam yang mendedahkan sebut harga tender kepada syarikat lawan. Syarikat kami disisih Tuhan daripada menanggung kerugian akibat kontrak membekalkan peti-peti undi pemilihan sebuah parti yang dia alibabakan.

Jauh saya membuang pandang ke langit lepas. Tompok-tompok awan seputih kapas menebengi garang matahari petang. Di celahan putih awan, kuntum-kuntum senyum mekar kemerahan.

Isnin esok, saya nekad mahu berpuasa sunat. Pahalanya ikhlas saya hadiahkan buat teman yang rendah sahsiah agar dia segera berubah.

Saya mempateri satu lagi janji dengan diri sendiri, semua tuba yang saya terima, mahu dibalas susu. Iluminasi jiwa membahagiakan saya berbuat begitu.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90