Top Ad 728x90

Kehebatan Proton Exora


SLOGAN 'Anda Pasti Terpegun' yang digunakan Proton bagi Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) Nasional pertama, Exora terbukti apabila model terbaru itu mendapat perhatian ramai sebaik sahaja dilancarkan, baru-baru ini.

Exora bukan sahaja luas dan selesa, malah beberapa teknologi terkini yang sebelum ini hanya diperoleh pada kenderaan berharga ratusan ribu ringgit, kini boleh ditemui pada MPV terbaru itu.


Paling menarik, harga ditawarkan begitu kompetitif iaitu RM69,998 bagi versi Medium Line dan RM75,998 untuk versi High Line.

Sudut luaran Exora menunjukkan ia adalah sebuah jentera sesuai bagi keluarga dengan tiga barisan tempat duduk selesa.

Bahagian hadapannya nampak kemas dengan sepasang lampu utama yang menirus manakala gril radiator nipis dipadankan bersama lampu kabus.

Lampu hadapan besar dan lampu belakang daripada LED memberikan wajah segar pada ahli keluarga terbaru Proton terbabit.

Malah, lampu isyarat membelok pada cermin sisi juga turut dipadankan dengan LED.

Biarpun tidak menggunakan pintu gelongsor, penumpang masih boleh keluar masuk dengan mudah kerana bukaan pintunya luas.

Garisan kontur sisi menambahkan lagi gaya terkini Exora.

Jentera menggunakan enjin Campro CPS 1.6L yang membolehkan Exora memiliki kuasa mencukupi berbanding MPV kapasiti 2.0L.

Campro CPS (Cam Profile Switching) adalah enjin paling berkuasa daripada Proton yang menjana 125 kuasa kuda dan tork setinggi 150Nm, tertinggi dalam kelasnya.

Teknologi Sub Rangka Pembentukan Hidro (Hydro Forming Sub-Frame) menjadikan logam kerangka lebih ringan, kukuh dan secara tidak langsung mengurangkan berat kenderaan.

Exora melepasi tahap piawaian Eropah ketat merangkumi pelanggaran impak hadapan, belakang dan sisi sehingga dianugerahkan empat bintang dalam ujian NCAP.

Antara ciri terkini dibekalkan kepada Exora adalah 'Follow Me Home Light' yang membolehkan lampu hadapan padam selepas 30 saat kenderaan dikunci.

Sistem penyaman udara individu membolehkan penumpang barisan ketiga menikmati perjalanan lebih selesa.

Bagi versi High Line, Exora dipadankan dengan kerusi dan kemasan panel pintu kulit, navigasi selain pemain Cakera Padat Digital (DVD).

Malah, sistem audio Clarion turut dipertingkatkan dengan slot USB, teknologi Bluetooth bagi membolehkan pemandu menjawab panggilan telefon tanpa perlu menggunakan alat bebas tangan.

Beg Udara berkembar, sistem brek ABS, EBD dan kawalan elektronik pintar yang membolehkan bukaan kunci automatik apabila berlaku pelanggaran adalah ciri keselamatan standard Exora.

Ditawarkan dengan enam warna pilihan iaitu Gaia Blue, Pyrite Brown, Tranquility Black, Blue Haze, Genetic Silver dan putih solid, Exora mampu menawan sesiapa saja yang masih mencari kenderaan MPV untuk keluarga.

- HARIAN METRO

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90