Khamis, April 02, 2009

Pesta buku Terengganu catat sejarah

Hampir 75,000 pengunjung membanjiri Pesta Buku Peringkat Negeri Terengganu 2009 sepanjang seminggu pesta itu berlangsung di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) bermula 23 Mac, sekali gus mencatat sejarah apabila menunjukkan peningkatan daripada jumlah pengunjung pesta buku tahun lalu yang berjumlah 60,000 pengunjung sahaja.

:Setiausaha pengelola pesta buku, Mohd Noor Ali berkata, peningkatan jumlah pengunjung itu menunjukkan penganjuran berkenaan berjaya mencapai matlamat dan memberi petanda positif bagi meningkatkan budaya membaca terutama dalam kalangan pelajar di negeri ini.

:“Pihak kami bersyukur kerana niat murni mahu menyemai semangat membaca melalui penganjuran pesta buku seumpama ini mendapat sambutan amat menggalakkan dan secara tidak langsung membuktikan bahawa masyarakat semakin sedar mengenai kepentingan membaca yang menjadi asas kepada pembentukan generasi berilmu.

:“Matlamat pihak kami menjayakan pesta buku ini yang menggunakan tema ‘Merealisasikan Terengganu Anjung Ilmu’ akhirnya membuahkan hasil amat manis.

:“Insya-Allah, pesta buku ini akan diteruskan pada tahun akan datang kerana manfaat yang diperoleh adalah amat besar,” katanya kepada :Sinar Harian.:

:Menurut Mohd Noor, kebanyakan ibu bapa turut membawa anak masing-masing mengunjungi pesta buku untuk mencari bahan bacaan terutama buku baru yang masih belum berada di pasaran.

:“Selain itu, pihak sekolah juga memainkan peranan penting memeriahkan pesta buku tahun ini dengan menghantar rombongan pelajar, sekali gus memberi peluang mereka membeli buku rujukan dan latihan dengan harga lebih rendah daripada harga pasaran biasa.

:“Ada juga rombongan sekolah yang datang dari Kelantan dan negeri lain turut sama membuat lawatan ke pesta buku ini, sememangnya kami amat berbesar hati menerima kehadiran mereka.

:“Pelbagai pengisian menarik sepanjang pesta buku berlangsung juga menjadi daya tarikan kepada pengunjung untuk singgah di TTC seperti permainan tradisional dan penganjuran seminar berbentuk akademik.

:“Stesen radio THR turut membuat lintas langsung ketika pesta buku berlangsung, seterusnya memeriahkan lagi pesta ini,” katanya.

:Menurut Mohd Noor, tanpa sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak, kemungkinan pesta berkenaan tidak dapat dijalankan dengan jayanya.

:“Justeru, pihak kami mengucapkan terima kasih dan menghargai kerjasama yang diberikan sehingga pesta buku kali ini mencatat kejayaan cemerlang,” katanya.

- SINAR HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts