Top Ad 728x90

,

Cara tentukan jantina bayi

Oleh Dr.Ismail Thamby

Setiap pasangan yang berkahwin tentu menginginkan anak sebagai penghubung kasih sayang mereka. Ada pasangan merancang untuk menentukan jantina anak mereka, terutama yang pertama.

Ada yang berpendapat lebih baik mendapat anak lelaki sebagai anak sulung kerana boleh memikul tanggung jawab berat apabila dewasa, dan ada juga inginkan anak perempuan dengan alasan lebih senang dididik bagi menguruskan keluarga.


Berikutan itu, wujud unsur mengikut kepercayaan agama dan budaya masing-masing hingga terjadinya perbuatan tidak masuk akal dalam menentukan jantina anak.

Ada juga kita dengar, ada pasangan sanggup tidur bersama pedang atau senjata yang menjadi lambang lelaki untuk mendapat anak lelaki.

Ada juga pasangan melakukan hubungan kelamin di kawasan terbuka seperti ladang dengan pancaran cahaya bulan terang, kononnya akan dianugerahkan anak lelaki.

Masyarakat Cina purba pula percaya, melakukan hubungan kelamin pada hari dan waktu tertentu akan dianugerahkan anak lelaki sehingga mereka sanggup tidur berasingan beberapa minggu supaya hasrat termakbul.

Di samping itu, pernah juga ada masyarakat purba Asia percaya jika pasangan wanita mengiring ke kanan selepas bersetubuh akan menghasilkan anak lelaki dan jika mengiring ke kiri pula dapat anak perempuan.

Mengikut pandangan perubatan dan kesihatan, merancang jantina anak untuk mengelak masalah kesihatan akibat penyakit baka perlu dilakukan jika ada kemudahan dan kepakaran.

Mengikut pandangan pakar kependudukan pula, penentuan jantina boleh memberi kesan ketidakseimbangan antara wanita dan lelaki dan sudah tentu akan mempengaruhi taburan penduduk masa depan.

Sebenarnya, memang ada teori dalam menentukan jantina anak sebelum kelahirannya seperti Kaedah Shettles. Mengikut kajian Dr Shettles, jika benih X lelaki bercantum dengan telur perempuan yang semuanya X, anak itu jantinanya perempuan dan jika sperma Y bercantum dengan telur X, jantina anak itu lelaki.

Mengikut Dr Shettles, hubungan kelamin yang mana wanita mencapai kemuncak menggalakkan pencapaian anak lelaki dan sebaliknya untuk anak perempuan.

Makan makanan yang banyak kalsium daripada sodium (garam) juga menggalakkan anak perempuan dan sebaliknya mungkin anak lelaki.

Bagaimanapun, kaedah itu tidak lagi digunakan kerana cara lebih berkesan seperti penyemaian benih dalam rahim ketika wanita subur.

Penyemaian benih dilakukan dengan menapis benih untuk memastikan hanya benih yang membawa baka Y (untuk anak lelaki) dan benih X (untuk anak perempuan) mengikut pilihan pasangan kelamin itu.

Kini, ada banyak teknik penapisan sperma yang lebih berkesan, termasuk kaedah bayi tabung uji untuk pasangan yang mengalami masalah kesuburan mendapat dan memilih jantina anak.

Menerusi kaedah itu, ia dilakukan ketika telur dibiarkan bercantum dengan sperma lelaki, janin yang terjadi boleh dikenal pasti jantinanya dengan mengambil satu sel dari embrio untuk diperiksa baka seksnya.

Jika embrio itu dikenal pasti dari baka seks pilihan, ia dimasukkan ke dalam rahim supaya embrio itu menginap kepada enometrium dan terus berkembang.

Apa juga kaedah yang dicuba dan juga jantina anak yang diingini, harus diingat dan paling penting adalah sentiasa bersyukur dan terima apa saja jantina anak dianugerah Allah SWT.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90