Top Ad 728x90

Cinta berdarah

Seorang gadis menemui ajal akibat ditikam bertubi-tubi sejurus mengungkapkan hasrat ingin memutuskan hubungan cinta dengan seorang duda yang dikenali sejak kecil kerana mahu bertunang dengan lelaki pilihan hatinya, semalam.

Mangsa, Nurbahirah Ishak, 22, bekas pelajar Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim, ditemui tidak sedarkan diri dalam bilik di rumahnya di Taman Perak di sini, kira-kira jam 9 pagi.

Duda terbabit yang turut cedera, ditemui dalam keadaan separuh sedar di ruang tamu rumah berkenaan oleh jiran dan beberapa anggota polis yang memeriksa kediaman itu selepas mendengar bunyi bising seperti pergaduhan.

Ketika kejadian, mangsa berada berseorangan di rumah manakala ibu tiri dan empat adik-beradiknya ke sekolah dan keluar bekerja.

Duda berusia 26 tahun itu tinggal di Juru, Pulau Pinang dan dipercayai dikenali ahli keluarga mangsa.

Setakat ini, tidak diketahui bagaimana duda terbabit boleh masuk ke rumah mangsa.

Jiran mangsa, Azizul Abdul Aziz, 26, berkata ketika kejadian, dia berada di rumah apabila tiba-tiba menerima panggilan daripada abang mangsa yang ketika itu bekerja dan memintanya ke rumah untuk melihat keadaan adiknya selepas menerima panggilan daripada jiran lain mengenai kejadian di rumahnya.

Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di kawasan rumah itu, dia melihat beberapa anggota polis dan jiran sudah berada di luar rumah dan ketika itu, rumah mangsa dikunci dari dalam.

“Saya menghubungi semula abang mangsa bagi memaklumkan perkara itu dan bertanyakan kunci rumah.

“Abang mangsa memaklumkan kunci disimpan di luar rumah sebelum saya mengambilnya dan membuka pintu,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Kulim, di sini semalam.

Menurutnya, selepas pintu dibuka, dia bersama beberapa jiran serta anggota polis terkejut apabila menemui seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah serta tidak bermaya di ruang tamu rumah.

Selepas itu, katanya mereka menemui Nurbahirah dalam keadaan terlentang berlumuran darah di atas katil dalam biliknya dan ketika itu, mangsa sudah tidak sedarkan diri.

“Kami bergegas membawa mangsa ke Hospital Kulim (HK) untuk rawatan. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

“Suspek yang berusia 26 tahun ditahan polis sebelum membawanya ke HK untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh, berkata pihaknya menyiasat kes itu daripada pelbagai sudut untuk mengetahui punca sebenar kejadian.

Katanya, hasil bedah siasat mengesahkan kesan kecederaan di kepala serta beberapa bahagian badan mangsa akibat tikaman senjata tajam.

“Ketika ditemui mangsa masih bernyawa, tetapi disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

“Polis menahan suspek yang turut cedera dan menemui senjata yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu dalam rumah berkenaan.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan pesalah boleh dihukum gantung sampai mati mandatori, jika sabit kesalahan,” katanya.

- HARIAN METRO

1 Comment:

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90