Top Ad 728x90

,

Kejohanan Hoki Piala Asia VIII Malaysia tempat ke-4

Impian Malaysia sekurang- kurangnya menduduki tempat ketiga pada Kejohanan Hoki Piala Asia VIII, berkecai apabila kecundang 7-6 menerusi penentuan pukulan penalti kepada China pada perlawanan penuh dramatik di Stadium Hoki Indera Mahkota di sini, semalam.

Sebelum itu, kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada masa sebenar dalam pertemuan menentukan tempat ketiga dan keempat, yang terpaksa diheret ke masa tambahan.

Debaran memuncak apabila kedua-dua pasukan turut terikat 3-3 selepas lima pukulan penalti sehingga memaksa pukulan ulangan penalti pusingan kedua.

Selepas lapan pukulan disempurnakan, kedua-dua pasukan terikat pada kedudukan 6-6.

Namun, nasib tidak menyebelahi Malaysia apabila pukulan Nabil Fiqri Mohamad Nor berjaya ditampan oleh penjaga gol China, Feng Su Ri, sementara penjaga gol Malaysia pula, Kumar Subramaniam gagal menepis pukulan kapten pasukan China, Yi Song.

Perlawanan penuh mendebarkan itu turut disaksikan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Sultan Perak, Sultan Azlan Shah; Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah serta dua menteri iaitu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia, Datuk Seri Tony Fernandez turut menyaksikan perlawanan tersebut yang kemudiannya menyampaikan hadiah kepada pasukan Malaysia, sementara Ismail Sabri pula menyampaikan hadiah kepada pasukan China.

Malaysia bermula garang apabila mengejutkan pasukan hoki dari Tembok Besar itu dengan gol pendahuluan seawal minit pertama (48 saat) hasil jaringan Ismail Abu.

Bagaimanapun, kesilapan Kumar Subramaniam yang menjatuhkan pemain lawan menghadiahkan China pukulan penalti pada minit ke-19 yang disempurnakan oleh Yi Song.

Pun begitu, pasukan negara yang mendapat sokongan kira-kira 4,000 penonton menggandakan asakan dan sekali lagi mendahului pasukan China apabila memperoleh gol kedua hasil jaringan Chua Boon Huat pada minit ke-32 selepas menampan pukulan sudut yang disempurnakan oleh kapten, Mohd. Madzli Ikmar Mohd. Nor.

Malaysia bagaimanapun, sekali lagi berjaya memperoleh gol ketiga hasil pukulan Hafifihafiz Hanafi pada minit 64 yang merembat kencang bola lantun yang terkena badan penjaga gol China.

Sementara itu, jurulatih hoki negara, Tai Beng Hai tetap berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh anak buahnya memandangkan mereka hanya membuat persiapan dalam tempoh kurang lima bulan bagi menghadapi kejuaraan itu termasuk Piala Sultan Azlan Shah, baru-baru ini.

“Memang kita mendahului, tetapi walaupun kita main bagus macam mana pun, ia sebenarnya tetap bergantung kepada tuah,” katanya kepada pemberita.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90