Top Ad 728x90

,

Komentar - Keadilan dalam organisasi elak salah guna kuasa, penindasan

Oleh NOR HARTINI SAARI
Pegawai Penyelidik Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Islam menuntut umatnya berlaku adil dalam segala hal. Takrifan keadilan dalam Islam merangkumi keseimbangan, kesaksamaan dan pemberian hak kepada mereka yang berhak dan meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul.

Secara keseluruhan, keadilan bermakna tidak berlaku penindasan, tidak ada berkepentingan, tidak menzalimi dan tidak memilih kasih dalam memberi layanan dan hak kepada orang lain.

Justeru, tidak hairan jika Islam menekankan keadilan dalam segala urusannya, apatah lagi dengan melaksanakan keadilan mencegah penindasan, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan perkara bertentangan nilai murni.

Hal berkaitan keadilan turut dituntut dalam pengurusan organisasi. Tuntutan ini memerlukan kepemimpinan yang bertanggungjawab serta mempunyai kekuatan moral serta kejujuran yang tinggi.

Keadilan dalam pengurusan organisasi bermula daripada proses pelantikan jawatan. Majikan perlu melantik calon berkelayakan dan berkebolehan. Contohnya, sesi temuduga ialah alternatif yang diamalkan sehingga hari ini. Cara itu terbukti berkesan dan adil bagi mengelak salah pilih pekerja.

Sejarah tamadun Islam menunjukkan contoh keadilan dilakukan Rasulullah SAW antaranya ketika pelantikan Mu'adh Jabal sebagai Gabenor Syam. Baginda yang melakukan temuduga itu.

Baginda SAW mengemukakan soalan sejauh mana kelayakan Mu'adh untuk menjawat jawatan berkenaan dan sama ada beliau mampu menangani permasalahan yang mungkin timbul kelak.

Sementara Abu Zar pula meriwayatkan beliau semalaman memujuk Rasulullah SAW supaya melantiknya sebagai pemimpin. Beliau berkata: "Ya Rasulullah, lantiklah aku. Rasulullah SAW menjawab: Sesungguhnya ia amanah yang menjadi celaan dan penyesalan pada hari kiamat nanti."

Apa yang dapat kita perhatikan, pelantikan dan pemilihan pekerja secara adil bukan sekadar mengisi kekosongan sebaliknya, memilih orang yang layak memegang tugas diamanahkan.

Hal ini menggambarkan kepada kita, pelantikan dan pemilihan calon yang tepat menyebabkan organisasi berjalan lancar dan berkesan. Bayaran gaji dan imbuhan yang setimpal juga perlu dibuat secara adil dan setimpal dengan kelayakan, taraf hidup serta keadaan setempat.

Bagi mengelak penipuan dan diskriminasi dalam organisasi, Islam menghendaki diwujudkan kontrak yang adil antara pekerja dan majikan. Kontrak keadilan penting bagi mengelak sesuatu tidak diingini berlaku antara majikan dan pekerja.

Di samping itu, keadilan dalam kebajikan pekerja perlu diberikan perhatian sewajarnya. Sebagai majikan, mereka perlu adil dalam kebajikan terutama dari segi, kesihatan dan keselamatan. Pengabaian majikan terhadap kebajikan pekerja menyebabkan produktiviti pekerja menurun. Secara tidak langsung, menjejaskan matlamat organisasi.

Dari segi pengembangan kerjaya, majikan perlu bertindak adil dengan memberi ruang dan peluang kepada pekerja untuk kenaikan pangkat, latihan meningkatkan kemahiran dan insentif serta pengiktirafan kepada yang layak atau yang lama berkhidmat.

Begitu juga bebanan tugas dan tanggungjawab yang diberikan perlu adil serta saksama. Islam membenci penganiayaan dalam apa juga bentuk termasuk pembahagian tugas.

Contohnya, pembahagian beban tugas antara pegawai atasan dan bawahan perlu berpadanan dengan imbuhan diberikan.

Prinsip kesaksamaan dinyatakan dengan jelas dalam firman Allah bermaksud: "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Baginya mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (daripada kejahatan) yang dikerjakannya." (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Majikan perlu memastikan hanya pekerja yang benar-benar melakukan kesalahan dan jenayah diberhentikan atau dikenakan tindakan disiplin. Sebarang hukuman dikenakan tanpa bukti yang sahih menggambarkan ketidakadilan berlaku ke atas pekerja itu.

Sehingga kini, sejauh manakah keadilan dilaksanakan dalam organisasi anda? Yang pasti, soal keadilan sangat diperlu dalam organisasi bukan saja demi kepentingan organisasi malah untuk kepentingan masyarakat dan negara.

Tanpa keadilan wujud masalah seperti penindasan, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam organisasi.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90