Top Ad 728x90

ntv7 sasarkan penonton Cina

Saluran televisyen ntv7 kekal sebagai pendahulu bagi penonton masyarakat Cina di negara ini, dengan menguasai 23 peratus daripada jumlah tontonan kaum berkenaan.

Bahkan, angka itu melepas 25 peratus apabila saluran terbabit menyiarkan drama bersiri Iron Lady, sebuah produksi tempatan hasil kerjasama ntv7 bersama Double Vision.

Justeru, tidak ada alasan untuk stesen televisyen berkenaan mengubah arah tujunya buat beberapa tahun akan datang, apabila mereka sudah mengenal pasti kelompok sasarannya iaitu penonton Cina serta penonton bandar berusia 30 tahun ke atas.

Pengurus Besar ntv7, Airin Zainul berkata, berbeza dengan kewujudan stesen itu pada awal kemunculannya dulu, ia lebih terarah kepada menghiburkan penonton dengan kandungan rancangan yang dibawa dari luar.

"Namun, sejak akhir-akhir ini kami sudah berubah kepada sebuah stesen yang lebih mementingkan kandungan tempatan. Kini, kira-kira 60 peratus daripada kandungan saluran ini ialah produk tempatan dengan lebih 50 peratus daripadanya rancangan berbahasa Cina, sesuai dengan kelompok sasaran," katanya.

Bercakap kepada wartawan kumpulan akhbar New Straits Times Press (NSTP) sewaktu lawatan pegawai kanan ntv7 ke Balai Berita baru-baru ini, Airin memberitahu, rancangan berbahasa Cina selebihnya dibawa masuk daripada Hong Kong, China dan Singapura.

Turut serta dalam lawatan berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif ntv7, Suridah Jalaluddin; Pengurus Besar Operasi Berita, Sofwan Mahmood; Pengurusan Jenama Kumpulan (Urban), Emilya Abdul Rahman; Pengurusan Jenama Kumpulan (Cina), Lai Cheah Yee; dan Pengurus Perhubungan Awam, Mayeannie Ramli.

Mereka turut memberikan taklimat ringkas mengenai perkembangan dan perancangan ntv7 kepada pengurusan kanan akhbar kumpulan NSTP terdiri daripada Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Zainul Ariffin Mohammed Isa; Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Manja Ismail, Pengarang Kumpulan New Straits Times, Datuk Syed Nazri Syed Harun; Pengarah Pemasaran, NSTP, Zuraidah Mohamad, pengarang unit hiburan dari akhbar Berita Harian, Berita Minggu, Harian Metro, New Straits Times dan New Sunday Times.

Airin berkata, stesen itu amat berbangga dengan produk tempatan yang kini dilihat mampu menyaingi mutu drama yang dihasilkan syarikat luar negara.

"Lima tahun lalu, masyarakat kita masih ragu-ragu dengan mutu drama keluaran dalam negara. Namun, sejak tiga tahun lalu, kami nekad melabur dalam penghasilan produk tempatan ini, dengan mengadakan kerjasama beberapa produksi berpengalaman, sama ada dari dalam mahupun luar.

"Nampaknya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami berupaya menarik minat penonton tempatan untuk mengikuti drama atau siri yang dihasilkan oleh produksi tempatan. Bahkan, kami sudah membuktikannya menerusi rating yang diperoleh produk keluaran tempatan ini, yang mengatasi program terbitan TVB," katanya.

Doraemon catat rating tinggi

ANTARA drama Cina terbitan produksi tempatan yang baru saja dan akan ditayangkan di saluran itu pada separuh kedua tahun ini ialah Romantic Delicacies, My Kampong Days, Timeless Season, My Destiny dan Pasar.

Dari segi rancangan berbentuk drama, saluran itu berbangga apabila muncul saluran utama bagi penggemar drama Cina.

Lebih membanggakan, sebuah siri keluaran tempatan, Age of Glory siaran saluran berkenaan akan mengembara ke Tanah Besar China menerusi musim keduanya sedikit masa lagi. Siri itu mendapat perhatian, bukan saja penonton tempatan, malah masyarakat antarabangsa apabila musim pertamanya disiarkan ntv7. Ia mencatat jumlah melebihi 1 juta penonton.

Manakala Iron Lady yang turut mencatat sambutan memberangsangkan ketika ditayangkan saluran itu baru-baru ini, sudah pun mengembara ke Hong Kong, Singapura, Brunei dan Korea Selatan dalam bentuk DVD.

Tegas Airin, walaupun menggunakan drama Cina sebagai tarikan utama, namun stesen itu tidak melupakan tanggungjawab sosial mewujudkan masyarakat harmoni di Malaysia apabila setiap produk berbahasa Cina tempatan terbitan mereka turut menyelitkan elemen muhibah.

Ditanya apakah program paling popular di saluran itu ketika ini, sambil tersenyum Airin memberitahu, rancangan kartun Doraemon yang disiarkan setiap Sabtu, jam 7 malam, muncul program paling disukai penonton saluran terbabit.

Selain kanak-kanak, program terbabit turut ditonton seluruh anggota keluarga.

Ia diikuti oleh rancangan drama yang disiarkan 10 malam, setiap Isnin hingga Jumaat. Slot terbabit kini menggamit jumlah tontonan antara 800,000 hingga 1 juta penonton setiap hari. Jumlah itu tidak termasuk penonton di Sabah dan Sarawak.

Menyentuh mengenai sambutan ulang tahun ke-11 stesen itu, Airin berkata, di samping siaran rancangan biasa, pihaknya turut menyediakan pelbagai judul filem menarik untuk hiburan penonton ntv7 sepanjang Julai ini, terdiri daripada filem Inggeris, Cina dan telefilem Melayu.

Antara judul yang disediakan termasuk Ace Ventura, Ace Ventura: When Nature Calls, Robin Hood: Prince of Thieves, God of Gambler: The Early Stage, 2002, Twins Effect II, Initial D, My Dream Girl dan Enter the Phoenix.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90