Top Ad 728x90

,

Pakej lebih baik PPSMI

Satu pakej yang lebih baik akan dikemukakan berhubung keputusan muktamad mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dijadual diumumkan dalam masa terdekat ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan mengenainya akan mengambil kira kepentingan semua pihak terutama pelajar terbabit yang berjumlah kira-kira lima juta orang, guru-guru dan ibu bapa.

"Apapun keputusan yang bakal dibuat, kita akan kemukakan pakej yang dianggap lebih baik berhubung PPSMI," katanya yang juga Menteri Pelajaran kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Beliau yang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Perancis, sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Ibu Pejabat UNESCO di sini.

Muhyiddin berkata, kerajaan tidak boleh terburu-buru dalam membuat keputusan berkenaan kerana kesannya sangat besar dan melibatkan banyak pihak.

"Apa juga keputusan yang dibuat kita kena fikirkan kesannya bukan sahaja pelajar malah masyarakat dan negara. Kalau nak ubah sistem memang senang tetapi apa sistem gantinya," katanya.

Baru-baru ini, Muhyiddin mengumumkan analisis menyeluruh dan kertas mengenai hala tuju PPSMI sudah siap dan akan dibentangkan kepada Kabinet untuk mendapatkan keputusan muktamad mengenainya.

PPSMI mendapat banyak bantahan daripada pelbagai pihak termasuk bukan Melayu yang bimbang dengan pencapaian pelajar dalam subjek berkenaan khususnya di kalangan pelajar luar bandar.

Malah pejuang bahasa kebangsaan juga melihat PPSMI bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan apabila bahasa Melayu tidak digunakan sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah-sekolah.

Kemuncak terhadap bantahan itu apabila Gerakan Menentang PPSMI (GMP) mengadakan perhimpunan membabitkan kira-kira 5,000 orang yang kemudiannya berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara bagi menuntut pemansuhan dasar tersebut.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90