Top Ad 728x90

,

Pergaduhan di kem Tasik Chini tidak dirancang


Pergaduhan membabitkan 17 pelatih lelaki di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Tasik Chini, Pahang beberapa hari lalu dianggap kes terpencil dan tidak harus digambarkan sebagai kegagalan pelaksanaan program integrasi kaum serta pembinaan jati diri generasi muda.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata kes yang membabitkan pelatih Melayu dan Cina itu berpunca daripada salah faham kerana tolak-menolak ketika diarah berkumpul berikutan kebimbangan keselamatan pelajar kerana berlaku ribut.

Katanya, daripada jumlah kes pergaduhan yang dicatatkan, 80 peratus berpunca daripada salah faham, sekali gus menggambarkan pergaduhan tidak dirancang.

"Salah faham mudah berlaku kerana pelatih daripada latar belakang berbeza termasuk budaya, agama, keluarga dan pendidikan," katanya menjawab soalan tambahan Nancy Shukri (BN-Batang Sadong), di Dewan Rakyat semalam.

Berdasarkan perangkaan, 130 kes direkodkan pada 2007 tetapi menurun kepada 74 kes tahun lalu dan kini hanya 24 kes direkodkan.

Dr Abdul Latiff turut menjelaskan pelatih yang terbabit dalam pergaduhan di PLKN Tasik Chini adalah daripada kumpulan tiga yang mempunyai latar belakang berbeza berbanding kumpulan satu dan dua.

Kumpulan tiga daripada mereka yang sudah bekerja, gagal di sekolah, tidak bersekolah atau menamatkan pendidikan sehingga Tahun Enam atau Tingkatan Tiga.

"Lebih baik pergaduhan berlaku dalam kem PLKN kerana di situlah tempat kita membaja dan memupuk perpaduan dan kesefahaman antara kaum berbanding di luar PLKN," katanya.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90